Kenapa kekayaan Petronas tidak dinikmati rakyat?

Azamin Amin
Thu | Oct 04, 07 | 9:29:12 am MYT

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Hrkh) - Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar hasil minyak dan mempunyai keuntungan yang berlipat ganda namun kekayaannya walaupun secebis tidak dinikmati sepenuhnya oleh rakyat jelata, malah semakin hari semakin dihimpit dengan kos sara hidup dan beban yang tinggi.

Malaysia kaya kerana keuntungan yang diperolehi daripada perniagaan Petronas setiap tahun.

Petronas mencatatkan keuntungan kira-kira RM35.5 bilion pada tahun kewangan 2004-2005 iaitu satu kadar yang jika dibahagi jumlah warganegara Malaysia maka setiap individu akan memperolehi RM1,500 seorang bagi setahun, demikian menurut petikan daripada tuntelanai.blogspot.com.

Keuntungan ini tidak termasuk RM3.12 bilion yang dibayar kepada kerajaan dalam bentuk cukai, duti dan pembayaran royalti. Dan adalah dijangkakan bagi tahun berakhir 2005-2006 pula pendapatan ini akan mencecah RM50 bilion bermakna setiap rakyat Malaysia akan menerima RM2,000 seorang.

Sejak ditubuhkan pada awal 70an tidak ada satu sen pun duit keuntungan petronas digunakan untuk faedah orang miskin melalui sistem zakat. Perbelanjaannya tidak bertunjangkan kepada kebajikan rakyat dan seringkali dibelanjakan dengan tidak cermat, dibazirkan, tidak digunakan secara berhemah untuk membantu rakyat yang miskin dan daif.

Duit Petronas banyak sekali dihabiskan melalui projek-projek yang tidak menguntungkan rakyat dan dilihat hanya menguntungkan pemimpin Umno dan kroni-kroninya seperti disenarai di bawah :

i. Membail-outkan Bank Bumiputra (kini CIMB) dua kali bernilai RM4.86 bilion akibat pengurusan bank tidak ada integriti salah urus dan melonggarkan syarat-syarat pemberian pinjaman yang besar kepada kroni-kroni yang tidak dibayar balik pinjaman.

ii. Membeli bon kerajaan sendiri bernilai RM3.8 bilion.

iii. Membina gelanggang Formula 1 berharga RM286 juta dan setiap kali ada perlumbaan Petronas akan menjadi hostnya berbilion ringgit dikeluarkan.

iv. Beli Hicom (Proton) berharga RM999.4 juta dan selesaikan hutang RM1,299.6 juta.

v. Membangunkan Putrajaya dan MSC berharga RM22 bilion.

vi. Membail-outkan MAS sebanyak RM668.8 juta.

vii. Penubuhan Dana Harta sebagai modal permulaan sebanyak RM4.56 bilion.

viii. Membina KLCC berharga RM1.8 bilion. Maintenance sebulan bernilai RM95,000.00, setahun sudah menjadi RM108 juta.

ix. Membina KLIA sebanyak M9 bilion, peruntukan tahunan sebanyak RM900 juta dan maintenance sebulan RM75 juta.

Semua yang berlaku ini dilihat hanya untuk menyelamatkan dan memperkayakan pemimpin semata-mata termasuk mengekalkan kuasa yang sedia ada.

Akibat daripada itu rakyat dibebankan dengan kenaikan harga petrol tertinggi dalam sejarah tanah air pada tahun 28 Februari 2006 sebanyak RM0.30, manakala LPG naik 30 sen sekilogram.

Kenaikan ini turut mempengaruhi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Kemudian diikuti dengan kenaikan kadar tarif elektrik dan air.Kenaikan ini menyebabkan kehidupan rakyat tertekan dan dihimpit dengan kemiskinan yang melampau.

Ketika harga minyak di pasaran antarabangsa meningkat sampai USD72.00 setong menyebabkan kantung Petronas juga turut mendapat keuntungan kerana Malaysia juga merupakan salah sebuah negara pengeksport minyak dunia yang terkenal (menjadi ahli OPEC), tetapi nasib rakyat Malaysia amat malang mendapat pemimpin yang tidak cekap mengurus dana negara.

Apakan tidak, sepatutnya harga minyak diturunkan, tetapi dengan tiba-tiba arahan dikeluarkan untuk menarik balik subsidi minyak kira-kira RM4.4 bilion kerana kononnya kerajaan tidak mampu lagi.

Wang subsidi yang dapat dijimatkan itu dikhabarkan untuk memperbaiki sistem pengangkutan di negara ini yang dikatakan sangat buruk itu, tetapi sampai sekarang sudah hampir 2 tahun tidak nampak sebarang projek pun dilaksanakan.

Apa yang kita lihat ialah sistem pengangkutan di negara ini bertambah buruk apatah lagi semua laluan di lebuh raya semakin sesak dan sendat dengan berbagai jenis kenderaan.

Selain itu, rumah rakyat miskin dan setinggan dirobohkan sesuka-hati untuk memberi laluan taukeh-taukeh kaya membuat pembangunan di situ.

Walaupun sudah 50 tahun merdeka ada yang masih guna air perigi dan rumah masih lagi macam reban ayam sedangkan pemimpin rumah bagaikan istana.

Dalam konteks negara ini, kerajaan bukan Umno dan Umno bukan kerajaan. Apa yang terjadi sekarang ialah fahaman rakyat bahawa UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu adalah Umno. Akibat daripada fahaman ini, maka muncullah berbagai menyalahgunaan kuasa yang menyebabkan para pemimpin Umno/BN menggunakan harta kerajaan dengan sewenang-wenangnya tanpa sedikit pun merasa bersalah dan berdosa.

Seperti slogan PAS yang perlu dinilai dan disokong semua pihak:" Negara dalam bahaya, Selamatkanlah Malaysia!" - mks.

0 comments: