Angkasawan kita dilarang terima pelawat

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Dua angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Kapten Dr. Faiz Khaleed dikenakan syarat kuarantin begitu ketat di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan sehingga tidak dibenarkan menerima pelawat termasuk ibu bapa sendiri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, hanya pihak tertentu seperti doktor yang dibenarkan mendekati mereka.

Jelasnya, langkah tersebut penting bagi memastikan kesihatan kedua-dua angkasawan tersebut tidak terjejas menjelang tarikh pelancaran Rabu ini.

“Segala pergerakan serta aktiviti mereka dikawal begitu ketat untuk tujuan keselamatan dan kesihatan.

“Mereka tidak dibenar melakukan sentuhan secara fizikal dengan sesiapa pun kecuali doktor,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini, hari ini.

Sheikh Muszaphar dan Faiz kini dikuarantin sejak Rabu lalu di Baikonur Cosmodrome sebagai persiapan akhir menjelang pelancaran ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini.

Di situ, kedua-dua mereka menjalani pelbagai latihan simulasi dan eksperimen bagi menyesuaikan diri apabila berada di angkasa lepas selama 10 hari nanti.

Selain itu, mereka juga meneruskan latihan bagi mengekalkan kecergasan fizikal serta kekuatan mental.

Menurut Jamaludin, sekembalinya ke tanah air selepas misi angkasa lepas nanti, kedua-dua angkasawan itu akan dilantik sebagai duta untuk Program Angkasawan Negara selama dua tahun.

Dalam tempoh tersebut, katanya, Sheikh Muszaphar dan Faiz akan melawat ke sekolah-sekolah bagi memberi ceramah mengenai pengalaman mereka sebagai angkasawan.

“Diharap dengan cara ini akan menarik minat golongan muda kepada sains dan teknologi khususnya aeroangkasa,” katanya lagi.

0 comments: