|
|
Kenderaan-kenderaan tentera kelihatan meronda di jalan-jalan raya di Yangon sepanjang malam dan mengancam penduduk menggunakan pembesar suara.
“Kami mempunyai gambar mereka. Kami akan menangkap mereka!” tegas pihak junta.
Keadaan Yangon kembali pulih tetapi masih sepi dengan hanya beberapa perniagaan sudah dibuka tetapi jalan-jalan raya kelihatan lengang.
Pemangku Duta Amerika Syarikat (AS), Shari Villarossa berkata, orang ramai ketakutan dan kehadiran askar masih mengganggu.
“Rakyat berasa tidak gembira sejak sekian lama.
“Selepas kejadian minggu lalu, perasaan tidak gembira itu bergabung dengan marah dan takut,” kata beliau.
Kebencian terhadap pemerintahan tentera yang berkuasa sejak 45 tahun lepas meledak pertengahan Ogos lalu akibat kenaikan harga bahan bakar yang mencecah 500 peratus, sekali gus menambahkan beban penduduk di negara miskin ini.
Bantahan kecil-kecilan akhirnya meningkat sehingga menjadi demonstrasi besar-besaran dengan diketuai oleh para sami Buddha.
Bagaimanapun, pihak tentera berjaya mematahkan demonstrasi itu pada 26 dan 27 September lalu apabila mereka mula menggunakan peluru hidup, gas pemedih mata dan membelasah para penunjuk perasaan.
Sementara itu, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari yang baru menyelesaikan misi empat hari di Myanmar tiba di Singapura lewat semalam tetapi enggan mendedahkan hasil pertemuannya dengan junta tentera.
Beliau dijangka tidak mengeluarkan kenyataan sehingga selesai memberi taklimat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki- moon, Jumaat ini.
– AP
0 comments:
Post a Comment