Junta mahu buru penunjuk perasaan

YANGON: Junta Myanmar memberi amaran bahawa tentera sedang memburu penunjuk perasaan, manakala wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus membisu mengenai misinya meyakinkan pemerintah tentera untuk menamatkan tindakan keras menghapuskan bantahan prodemokrasi.

Kenderaan tentera meronda di jalan raya di Yangon tengah malam kelmarin dan menggunakan pembesar suara mengumumkan tentera sedang memburu penunjuk perasaan: "Kami ada gambar. Kami akan melakukan tangkapan."

Selepas ketenangan menakutkan di Yangon, kehidupan normal kembali ke bandar raya terbesar di Myanmar itu, dengan beberapa kedai dibuka dan lampu isyarat menyala di jalan raya.

Bagaimanapun, "orang ramai masih takut," kata pemangku Duta Amerika Syarikat ke Myanmar, Shari Villarosa, menerusi temubual telefon.

"Rakyat sudah tidak berasa gembira sejak sekian lama. Sejak peristiwa minggu lalu, kini tidak gembira bercampur dengan kemarahan dan ketakutan," katanya kepada The Associated Press di Bangkok, Thailand.

Luahan kemarahan ke atas pemerintahan tentera selama 45 tahun meletus pada pertengahan Ogos selepas kenaikan harga minyak sehingga 500 peratus, menambahkan bebas di negara miskin itu. Perarakan kemudian membesar menjadi demonstrasi prodemokrasi diketuai sami Buddha yang dipuja di negara itu.

Tentera menghapuskan tunjuk perasaan pada 26 dan 27 September menggunakan peluru hidup, gas pemedih mata dan memukul penunjuk perasaan. Beratus-ratus sami dan penduduk awam dibawa ke kem tahanan.

Kerajaan berkata 10 orang maut dalam keganasan tetapi kumpulan penentang meletakkan angka kematian mencecah 200 orang, manakala 6,000 lagi ditahan. � AP

FAKTA NOMBOR
Tunjuk perasaan di Myanmar


10 - Kematian menurut sumber kerajaan
6,000 - Ditahan

0 comments: