THE HAGUE, Belanda 16 Nov. – Tiada satu peta pun dikeluarkan oleh Singapura sebelum 1995 yang membuktikan Pulau Batu Putih miliknya tetapi kini negara itu mendakwa ia mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut sejak 1847 atau 1851.

“Ia menimbulkan persoalan. Mengapa Pulau Batu Putih tiada dalam peta-peta Singapura? Kesimpulan paling jelas ialah kerana kartografer (cartographer) tahu pulau itu bukan sebahagian daripada Singapura,” hujah peguam Penelope Nevill.

Beliau berhujah pada hari terakhir pusingan pertama hujah lisan Malaysia bagi kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge di Mahkamah Keadilan Antarabanga (ICJ) di sini hari ini.

Nevill memberitahu mahkamah, terdapat tiga peta Singapura iaitu ketika bermula pentadbiran Negeri-Negeri Selat pada 1824 hingga 1852. (Singapura mendakwa mempunyai kedaulatan di Pulau Batu Putih pada tahun itu.)

Sketch of the British Settlement of Singapore bertarikh 2 Ogos 1824 oleh Pembantu Jurutera, Lietunant Jackson jelas mengesahkan Pulau Batu Putih terletak dalam kawasan Kesultanan Johor di bawah pengaruh British.

Satu lagi peta, menurut Nevill, dikeluarkan pada 1849 berikutan pengukuran oleh juruukur kerajaan, J.T. Thomson menyamai peta pertama dan pulau itu masih terletak dalam wilayah kesultanan Johor.

“Beliau (Thomson) adalah orang yang mengetahui sama ada British mempunyai kedaulatan di Pulau Batu Putih pada 1847 hingga 1851,” hujahnya.

Peta-peta itu termasuk yang dikeluarkan oleh Agensi Perisikan Antarbangsa Amerika Syarikat dan Kementerian Pertahanan Singapura. Namun tiada satu pun menunjukkan Pulau Batu Putih.

– Utusan

Oleh SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR – Menjelang sepak mula saingan Liga Super esok, penyandang juara Kedah melaungkan amaran kepada pencabar-pencabarnya bahawa tidak mudah bagi mereka untuk merampas gelaran juara daripada tangan Sang Kenari.

Ini kerana di sebalik muka-muka lama yang dipertaruhkan Kedah, skuad bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah itu akan tampil dengan semangat dan harapan baru untuk terus mencipta kegemilangan dalam kancah bola sepak tempatan.

Mohd. Azraai berkata, meskipun skuad Sang Kenari tidak melakukan rombakan besar-besaran musim ini, namun barisan pemainnya telah bersedia dan memahami sepenuhnya cabaran yang bakal ditempuhi lebih-lebih lagi apabila berjaya merangkul tiga kejuaraan musim lalu.

Pada masa sama, katanya, para pemain Kedah telah ditanam dengan perasaan rendah diri dengan tidak memandang enteng terhadap lawan walaupun memiliki status selaku penyandang juara.

“Kami menyedari setiap pasukan akan berusaha meningkatkan prestasi dan persembahan masing-masing pada musim baru nanti.

“Kedah sebagaimana musim lalu akan turut berusaha meningkatkan prestasi dengan mengekalkan komitmen dan disiplin. Walaupun dibarisi muka-muka lama, namun rata-rata usia pemain sebenarnya masih muda. Semangat mereka masih berkobar-kobar selain menunjukkan kematangan dalam permainan.

“Kedah tidak akan memberi laluan mudah kepada lawan kerana kami akan berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kedah akan membuka tirai musim baru Liga Malaysia dengan menentang pasukan jiran, Perlis di Stadium Darul Aman bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah, malam esok.

Mengulas pertemuan itu, Mohd. Azraai menjangkakan bakal berdepan cabaran sengit Perlis yang dilihat semakin konsisten dengan kehadiran lebih ramai pemain-pemain berpengalaman ke dalam skuad itu.

Oleh Azidan Nahar

MUSIM baru Liga Malaysia akan bermula dengan penuh cabaran buat Perlis apabila bertemu jiran, Kedah yang membawa imej besar selaku juara tiga piala utama musim lalu pada perlawanan pembuka tirai Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah, malam esok.

Apapun, anak-anak buah Abd Rahman Ibrahim jelas sudah bersedia memadam semua kenangan musim lalu terutama tewas penentuan sepakan penalti kepada Kedah dalam perebutan Piala FA.

Bagi Abdul Rahman, anak-anak buahnya akan bertandang ke Stadium Darulaman dengan misi untuk mempertahankan Piala Sumbangsih dan membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan sulung kempen Liga Super musim ini.

“Musim ini tak boleh nak ramal, tahun lalu lain, tahun ini lain,” katanya mengenai peluang Perlis musim ini.

Jelasnya, ramai tidak menyedari Liga Super musim ini akan menampilkan dua pasukan baru iaitu Polis dan UPB-MyTeam yang disifatkannya mampu mendatangkan cabaran buat pasukan lain.

“UPB-MyTeam dan Polis adalah pasukan baru yang berbelanja besar, kita tidak boleh memandang rendah mereka, Selangor juga sudah mengambil tiga pemain import baru.

“Banyak pasukan lain mengambil tiga pemain import dan mereka semakin kuat. Jika dulu hanya ada Perlis, Kedah, Perak dan Terengganu yang kuat, kini tidak lagi,” katanya.

Pengurus pasukan, Datuk Ismail Kassim, berkata skuad Perlis kini sedang dalam proses mendapatkan seorang lagi pemain import tengah selepas mengekalkan Phillimon Chipeta dan Kabwe Kamuzati.

“Kita sudah ada pemain sayap iaitu Badrul Azam Zamree dan K Soley, di tengah kita ada Yusri (Che Lah) serta Kabwe dan jika boleh kami mahukan seorang lagi,” katanya yang menegaskan sasaran awal Perlis ialah kelompok tiga teratas Liga Super musim ini.
Mazlan Jusoh
Fri | Nov 16, 07 | 11:15:30 am MYT

Kejayaan kerajaan Kelantan di bawah teraju PAS tetap terserlah walaupun cuba dipertikai pemimpin Umno/BN. Sejak 17 tahun lalu, negeri ini banyak mencetus kelainan yang berpaksikan asas Islam. Bagi mendapat gambaran kejayaan tersebut ikuti temu bual wakil Harakahdaily bersama Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan, Dato' Husam Musa.

Sejauh mana kejayaan Kelantan selepas 17 tahun di bawah teraju PAS?

Â

Kejayaan utama kerajaan Kelantan selama 17 tahun menonjolkan kelainan berasaskan Islam dalam pelbagai segi. Perkara yang kecil di mana orang bukan Islam boleh memasak bubur asyura pada festival Islam. Perkara seperti itu tidak berlaku di negeri lain. Orang bukan Islam terlibat sama dalam program anjuran orang Islam. Perubahan besar yang berlaku di Kelantan termasuk pelancaran pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Komitmen politik rakyat bersama dengan perjuangan Islam yang ditonjolkan PAS menghasilkan program-program pembangunan dibawa kerajaan Pusat untuk negeri Kelantan biarpun kerajaan negeri tidak berubah. Ketika masih lagi di bawah PAS program pembangunan sudah dilancarkan. Ini adalah satu pengiktirafan kemenangan rakyat Kelantan, biarpun mereka mempunyai sebuah kerajaan yang berbeza. Pembangunan tidak dihalang dibawa ke negeri mereka. Ia menjadi satu sejarah yang berkekalan. Ini satu kemenangan politik buat rakyat Kelantan. Â

Pembangunan dibawa ke Kelantan menggambarkan pendekatan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih lembut berbanding era Tun Dr Mahathir Mohamad?

Â

Sikap kita apabila berbunyi guruh di langit air di tempayan tidak dicurahkan. Kita terus ke hadapan dan tidak boleh leka. Kita yakin sekiranya keseimbangan politik ini dikekalkan rakyat terus memberi kepercayaan kepada kepemimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hendak tidak hendak kerajaan Pusat akan mengotakan janji mereka. Â

Dato' yakin ECER menjadi realiti?

Â

ECER merupakan satu program yang sudah terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan rancangan akan datang. Beberapa kompenan dalam ECER sebenarnya sudah ada dalam RMK-9 contohnya pembinaan lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan Universiti Malaysia Kelantan. Kalau ECER tidak ada pun program ini tetap dilaksanakan. ECER ada juga mengenegahkan beberapa program lain. Selagi Rancangan Malaysia ini dilaksanakan ia akan menjadi satu realiti. Kita panjatkan doa semoga ia menjadi realiti. Kita harap mendapat pelabuhan, lapangan terbang, universiti yang lebih baik. Saya yakin sekiranya tidak ada halangan baru berlaku, perkara itu akan dilaksanakan. Kita pun rasa pelik program ini (ECER) dilancar ketika pelan pembangunan sudah lama diatur. Â

ECER mungkin menarik sokongan rakyat terhadap BN?

Â

Ada kecurigaan seperti itu. Ini memandangkan program itu dilancarkan menjelang pilihan raya. Sebab itu saya nasihatkan rakyat Kelantan tidak mudah termakan umpan. Saya yakin rakyat Kelantan bijak menilai, bahkan sekiranya ECER terlaksana, keyakinan tinggi politik rakyat Kelantan itu membolehkan kerajaan pusat membawa pembangunan ke negeri mereka. Kita jangan mudah mengubah sikap politik, kedatangan projek pembangunan ini adalah komitmen politik kita memiliki sebuah kerajaan yang berbeza daripada kerajaan Pusat. Â

Mungkinkah ECER boleh menyebabkan tanah rizab Melayu semakin kecil?

Â

Saya ingat tidak berbangkit perkara tersebut. Tanah-tanah kerajaan masih banyak. Â

Apabila pembangunan pesat melanda, sudah tentu akan menyebabkan kehadiran lebih ramai lagi penduduk bukan Islam. Bagaimana kerajaan negeri menanganinya?

Â

Saya yakin Kelantan memerlukan kemudahan infrastruktur yang lebih baik. Perkara itu kita tidak boleh nafikan. Bagaimanapun orang Kelantan lebih cepat membaca perubahan yang berlaku dan mengambil peluang. Kita lihat pembangunan politeknik di Kok Lanas, format dan kesan ekonominya berbeza sekali dengan negeri-negeri lain. Di negeri lain kerajaan terpaksa membina politeknik dan asrama. Jadi wang datang dari kerajaan dan tidak ada hasil kepada kerajaan. Tetapi di Kelantan rakyat berlumba-lumba membina rumah sewa di sekitar kawasan politeknik. Jadi penduduk mendapat pendapatan daripada sewaan rumah. Ekonomi pun berkembang kerana adanya pembinaan projek rumah tersebut. Pemilik rumah itu kebanyakan orang Melayu. Selain itu ada juga rumah-rumah kedai. Mereka juga membekalkan peralatan kepada pelajar-pelajar. Rakyat Kelantan mampu mengambil peluang tersebut. Sikap rakyat Kelantan mudah cepat respon. Mereka cepat mengambil kesempatan. Ini berbeza rakyat Kelantan berbanding dengan negeri lain. Â

Bagaimana PAS mahu menghadapi pilihan raya ketika pembangunan semakin sendat dibawa kerajaan Pusat?

Â

Ini tidak membimbangkan kerana rakyat Kelantan perlukan pembangunan tetapi mereka mempunyai prinsip yang tinggi. Mereka meletakkan pembangunan ini penting tetapi bukan yang paling penting. Lebih penting mereka melaksanakan cara hidup berasaskan Islam. Mereka mahu sebuah kerajaan Islam yang dipimpin oleh pemimpin yang bertaqwa. Inilah hasrat yang paling tinggi bagi rakyat Kelantan. Prinsip ini masih utuh dan kalau tidak ada pembangunan pun tidak mengapa bagi mereka. Sebagai pejuang Islam kita duduk dalam harap dan bimbang. Dengan kebimbangan ini kita boleh bersiap sedaya upaya kita. Dan dalam masa yang sama kita perlu yakin Allah tetap akan memberi pertolongan. Kita perlu mempunyai harapan untuk terus berjaya. Bagaimanapun saya sebenarnya lebih bimbang kepada penipuan dalam pilihan raya. Ini lebih mencemaskan saya biar pun rakyat tetap bersama kita. Dengan mekanisme yang berat sebelah dan ini telah terbukti salah guna kuasa apabila mereka membawa pengundi dari luar Kelantan. Ada juga pengundi dialih ke tempat lain tanpa pengetahuan mereka. Perkara itu berlaku dalam daftar pemilih suku ketiga 2007 yang dipamerkan. Ini boleh mengalahkan undi rakyat yang sebenar. Ini cukup berbahaya. Â

Ada mekanisme tertentu bagi menghadapi pengundi luar?

Â

Tanggal 10 November lalu cukup penting untuk memberi pengajaran kepada kerajaan Malaysia jika sekiranya mereka menggunakan cara-cara di luar amalan demokrasi yang bersih dan adil. Rakyat Malaysia bersedia membetulkan ketidakadilan tersebut. Tidak selama-lamanya rakyat Malaysia akan menerima sebarang bentuk penipuan terhadap amalan demokrasi di negara kita. Perhimpunan itu sangat penting dan kerajaan tidak boleh selamanya mempermainkan rakyat. Â

Melalui himpunan itu bermakna kita lebih yakin untuk menghadapi pilihan raya?

Â

Saya yakin faktor-faktor utama yang besar boleh mengubah pendirian rakyat tidak akan berlaku di Kelantan biar pun mereka melakukan pelbagai cara. Trend umum di seluruh negara ialah untuk memberi satu pengajaran terhadap kerajaan BN kerana kelemahan yang berlaku. Di Kelantan isu utama sekarang ialah Adun-Adun BN gagal melaksanakan janji-janji mereka pada pilihan raya 2004. Dan prestasi Adun BN tidak seperti yang diharap-harapkan. Ada juga fenomena di mana pemimpin-pemimpin kerajaan Pusat mendapat faedah daripada rancangan pembangunan yang diumumkan.

Mereka mendapat kekayaan mudah dengan membelakangkan rakyat biasa. Ini dapat digambarkan gaya hidup pemimpin mereka yang boleh dilihat rakyat. Ini menjadi halangan yang besar kepada rakyat untuk memberi peluang kepada mereka memerintah negeri ini. Ketika belum memerintah pun mereka telah menunjukkan selera yang tinggi untuk mengautkan kekayaan. Selain itu isu-isu utama kenaikan harga barangan harian yang semakin membebankan, peningkatan kadar jenayah, gejala sosial seperti dadah tidak ditangani secara bersungguh-sungguh sehingga menggelisahkan rakyat. Tidak ada koridor pembangunan insan yang dilancarkan. Tiada koridor pembangunan moral.

Semua koridor dilancarkan lebih bersifat materialistik. Ini menggambarkan kerajaan yang ada sekarang memberi pandangan yang tidak seimbang. Di peringkat institusi utama negara mengalami kegoncangan, ia disebut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Dato’ Ramli Yusof yang mendakwa BPR menggunakan kuasa mereka bukan untuk mencegah jenayah, sebaliknya seakan-akan melindungi penjenayah. Ini satu dakwaan yang berat menggoncangkan intergriti BPR. Kegoncangan yang sama turut berlaku dalam institusi polis, Jabatan Peguam Negara dan kehakiman, di mana kerajaan tidak boleh memberi penumpuan dalam kes klip video VK Lingam. Mereka hanya mahu mengesahkan video tersebut asli atau tidak. Sedangkan kandungan dalam video tersebut tidak diendahkan. Ini sudah cukup menggambarkan kerajaan BN berdepan dengan masalah. Dalam isu kenaikan harga minyak di pasaran dunia sekarang dengan cara perbelanjaan kerajaan BN, sebagai contoh pelancaran ECER melibatkan jumlah peruntukan yang besar iaitu sebanyak RM20 juta. Dengan cara membazir ini ditambah pula kenaikan harga minyak akan mencengkam ekonomi negara dan kewangan kerajaan. Â

Kelantan sering diuar-uarkan sebagai negeri kebajikan?

Â

Jiwa berkebajikan ini memang diutamakan dalam Islam. Fahaman materialistik tidak akan menghayati jiwa berkebajikan. Untuk berkebajikan bermakna kita perlu berkorban dengan mengutamakan kumpulan dhuafat, fukara, armalah dan anak-anak yatim. Inilah kumpulan sasar yang disenaraikan oleh Islam. Jauh sebelum peradaban barat dan moden, Islam telah menyenaraikan mereka dalam al-Quran. ‘Haq Kaa Qua’ bersamaan fakir dalam Islam. Islam sejak awal lagi memperkenalkan dua kategori kemiskinan iaitu fakir dan miskin. Islam telah sebut 1,000 tahun yang lalu. Menjadi agenda yang utama bagi kerajaan untuk melayani kumpulan-kumpulan ini.

Kerajaan mesti berjimat dan berhemah dalam perbelanjaan mereka. Islam telah meletak pertanggungjawaban bagi membantu kumpulan sasar ini. Kita telah memperkenalkan pelbagai perubahan dalam membantu kumpulan tersebut. Kita menjadi negeri pertama memperkenalkan pegawai pembangunan armalah di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri. Kita juga memperkenalkan Kifaalah untuk warga emas. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Selain itu program Ladang Rakyat di mana keluarga miskin dibantu sebanyak RM200 sebulan. Dalam bahasa ECER disebut sebagai agropolitan. Kita telah melaksanakan program ini lebih awal. Kos pengeluaran petrol di negara kita antara AS$30 hingga AS$40 bagi satu tong. Dan harga bagi minyak Malaysia lebih AS$98 satu tong. Jadi kita mempunyai sumber yang besar bagi kebajikan rakyat jelata. Tanpa pembaziran yang tidak menentu kalau kita diberi peluang mentadbir Malaysia pada suatu masa nanti. Â

Ada program kebajikan lain bakal diperkenalkan?

   Â

Ada dua perkara yang dirancang kerajaan negeri iaitu membina rumah mampu milik berskala besar. Sebahagian rumah ini akan diperuntukan kepada penduduk miskin bagi membolehkan mereka tinggal lebih selesa. Kerajaan sedang mengenalpasti untuk menawarkan tanah-tanah kerajaan kepada mana-mana pihak yang berminat. Selain itu kerajaan akan melaksanakan sistem pemilikan ladang komersial sawit kepada semua rakyat. Sebelum ini kerajaan memberi tanah yang luas kepada syarikat-syarikat tetapi rakyat tidak mempunyai kesempatan untuk memiliki ladang sawit. Kita merancang melaksanakan perladangan sawit memandangkan harga yang tinggi dan dapat dijual dengan unit-unit yang kecil kepada rakyat. Semua lapisan rakyat berpeluang untuk memiliki ladang sawit yang komersial. Â

Ada dakwaan mengatakan perpaduan agak longgar di kalangan pimpinan Kelantan?

Â

Pada pendapat saya perpaduan di semua peringkat parti adalah lebih kukuh berbanding pada masa-masa tertentu sebelum ini. Prestasi kita yang lemah pada 2004 kerana ada sedikit sebanyak ketidakutuhan perpaduan. Di mana ada kes undi-undi yang diperolehi calon peringkat Dun lebih besar berbanding peringkat Parlimen. Bagaimanapun pada masa ini semua pihak sudah menyedari kelemahan tersebut. Perpecahan biar pun kecil akan melibatkan kesan politik yang lebih besar kepada mana-mana parti. Jadi saya yakin unsur-unsur seperti itu sudah difahami oleh ahli dan penyokong. Kalau ada mana-mana pihak yang memainkan peranan negetif tersebut dia akan dipulau ahli-ahli PAS - lanh

Salmiyah Harun
Fri | Nov 16, 07 | 10:52:46 am MYT

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Hrkh) - Orang Melayu di negara ini tidak akan mengecapi masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang jika gejala negatif seperti rasuah dan salah guna kuasa tidak dihapuskan, kata pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus Dato' Abu Bakar A.Hamid.

Ketika diwawancara Harakah di pejabatnya minggu lalu, beliau kesal kerana hampir semua institusi yang dikuasai oleh orang Melayu terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa seperti badan kehakiman, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Korupsi dan salah guna kuasa, saya ingat inilah sebab paling besar yang sudah menjadi mainan orang Melayu dan semua institusi yang dipegang oleh Melayu.

"Selagi kita tidak boleh hapuskan korupsi dan salah guna kuasa. Saya ingat tidak ada masa depan bagi orang Melayu. Saya pun tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini," jelas beliau.

Menyentuh tentang rasuah pilihan raya, Abu Bakar yang juga bekas Pengerusi Bernama mahu masyarakat Melayu bersikap bijak.

Beliau pernah dimaklumkan oleh seorang rakannya yang menerajui sebuah badan integriti negara bahawa seorang pengundi yang menerima wang daripada sesebuah parti politik tetapi tidak mengundi parti tersebut tidak dianggap menerima rasuah.

"Kalau kita mengambil duit dan diminta mengundi (sesuatu) parti itu, kemudian (kita) mengundi (parti yang memberi rasuah), itulah yang dinamakan rasuah; tetapi jika kita ambil duit itu dan tidak mengundi parti itu, sebenarnya kita bukan makan rasuah.

"Jadi itulah yang diamalkan oleh rakyat Kelantan pada hari ini, barangkali orang Kelantan pandai sikitlah dalam hal ini," katanya.

Menyentuh tentang perhimpunan agung Umno yang berlangsung baru-baru ini, beliau menganggap isu yang ditimbulkan seperti pencapaian orang Melayu di bidang ekonomi, masalah ketirisan dan subsidi adalah isu-isu lama yang sering diperkatakan tanpa sebarang jalan penyelesaian.

"Apa yang dilihat, mereka (perwakilan Umno) suka mencari 'mangsa baru' dan pada kali ini perhimpunan Umno menyalahkan ketelusan GLC dalam mengagihkan kekayaan (keuntungan)," katanya.

Mengulas perkara ini, Abu Bakar memberi gambaran tentang pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang lari daripada dasarnya iaitu untuk meningkatkan pendapatan golongan rendah serta menghapuskan kemiskinan serta menyusun semula masyarakat.

"Sepatutnya kita meningkatkan taraf yang rendah kepada yang tinggi misalnya lebih ramai golongan menengah (bumiputera), sebaliknya kerajaan sekarang lebih banyak menciptakan jutawan dan hartawan Melayu daripada menyelesaikan masalah orang Melayu," kesalnya.

Akibatnya tambah beliau, Malaysia adalah salah satu negara Asia yang paling besar perbezaan antara kaya dengan miskin walaupun didakwa berhasil mengurangkan jurang kemiskinan tegar.

"Tetapi perbezaan pendapat di antara kaya dengan miskin Malaysialah yang paling ketaranya. Itu yang saya boleh kata... kita gagal!" tegas beliau.

Justeru, katanya, sudah sampai masanya semua pihak duduk bersama-sama memikirkan usaha untuk menghapuskan amalan rasuah dan penyelewengan kuasa kerana ia menjadi faktor kemunduran bangsa Melayu.

Apa yang berlaku pada hari ini, Abu Bakar berkata, tindakan membanteras rasuah dibuat seolah-olah untuk membalas dendam terhadap orang tertentu.

"Orang itu kritik BPR dia pula yang dikenakan tekanan. Bagaimana nak memulihkan imej badan-badan ini supaya orang percaya ia ada integriti, jalan kerja dengan lurus tidak kira kedudukan dan pangkat.

"Jadi, barang kali satu perkara yang dicadangkan supaya ia bebas daripada pegawai kerajaan seperti dikuasai oleh parlimen. Realitinya orang mesti percaya kepada badan ini menjalan kerja dengan betul bukan berpandukan kepada musim seperti sempena pilihan raya, ini semua jalan dengan baik lepas itu terus senyap semula," tambahnya.

Ikuti wawancara penuh dengan beliau dalam Harakah cetak bil. 1348 akan datang. /tajdid


Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA 15 Nov. – Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 sebagai menakjubkan berbanding sebelum ini.

Beliau berkata, peningkatan kelulusan peperiksaan itu bukan hanya disumbangkan oleh pelajar yang memperoleh keputusan 5A malah jumlah pelajar yang lulus dalam semua mata pelajaran turut meningkat dengan mendadak.

Menurut beliau, peningkatan itu juga bukan disebabkan kebocoran soalan peperiksaan yang digembar-gemburkan oleh beberapa pihak sebelum ini.

‘‘Saya telah mendengar taklimat mengenai analisis keputusan UPSR daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini dan cukup gembira dengan analisis itu.

‘‘Bagi saya, ia adalah petanda yang cukup baik kepada kita semua, lebih-lebih lagi dengan penekanan kita terhadap usaha membangunkan dan memperkasakan modal insan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP),” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Seramai 504,537 calon dari sekolah kerajaan dan 6,982 calon dari sekolah swasta mengambil peperiksaan itu tahun ini.

Hishammuddin memberitahu, penekanan kerajaan terhadap usaha membangunkan dan memperkasakan modal insan telah memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk memberi tumpuan khusus kepada pendidikan anak-anak.

‘‘Saya berharap kesedaran tersebut akan berterusan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau turut mengumumkan Terengganu mencatatkan kelulusan UPSR yang paling tinggi berbanding negeri lain.

Sementara itu, Hishammuddin memberitahu beliau akan mempengerusikan Jawatankuasa Penggal Baru Persekolahan 2008 yang baru ditubuhkan bagi menangani isu-isu awal sesi persekolahan.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil supaya apa jua kekeliruan orang ramai berhubung pengumuman mengenai pendidikan dalam Bajet 2008 dapat diperjelaskan dengan lebih sempurna dan berhemah.

‘‘Satu talian khusus akan disediakan bagi membolehkan orang ramai mengadu mengenai apa sahaja isu yang berkaitan dengan awal persekolahan kepada jawatankuasa itu sebelum sesi persekolahan 2008 bermula.

‘‘Nombor telefon dan faksimilenya akan diumumkan pada hari Isnin ini dan orang ramai boleh menyampaikan aduan itu bermula pada hari tersebut,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia ke Kejohanan Robotik Olympiad Dunia di Taiwan yang bermula esok sehingga 18 November ini.

Sebanyak 15 pasukan terdiri daripada enam sekolah rendah, dua sekolah menengah rendah dan tujuh sekolah menengah akan mewakili Malaysia ke kejohanan melibatkan 24 negara itu.

Oleh Azrina Ahzan, Shaarani Ismail dan Asrol Awang


GEMBIRA: Sebahagian daripada 30 murid Sekolah Kebangsaan Green Road, Kuching menunjukkan wang RM50 yang diterima daripada PIBG kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR. Mereka antara murid yang mendapat 5A daripada 138 calon UPSR sekolah itu.

Terengganu catat keputusan terbaik keseluruhan

PUTRAJAYA: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 yang dikeluarkan semalam, mencatat peningkatan dari segi bilangan calon yang memperoleh 5A dan lulus semua mata pelajaran.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang berpuas hati dengan prestasi calon UPSR tahun ini, berkata keputusan itu mencerminkan kejayaan program melahirkan modal insan yang diberi penekanan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) serta Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).


"Saya berharap pencapaian ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementeriannya di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim; Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang; Setiausaha Parlimen, P Komala Dewi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Keputusan UPSR 2007 diperoleh calon di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi semalam. Bagaimanapun, analisis keputusan dan peratusan kelulusan serta senarai pelajar cemerlang akan diumumkan hari ini.

HARI BAHAGIA: Murid SK Seksyen 7 Bandar Baru Bangi, Mohd Danish Raziq Mohd Faizal menangis memaklumkan keputusan 5A diperoleh kepada ibunya yang sedang sakit di hospital sambil ditemani ibu angkatnya, Nur Ashikin Osman.

Seramai 511,519 calon menduduki peperiksaan itu dari 3 hingga 5 September lalu di 8,812 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Hishammuddin berkata, keputusan UPSR itu juga membuktikan tidak wujud kebocoran soalan peperiksaan seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak sebelum ini.

"Jika dilihat dari segi grafnya, sekiranya ada soalan bocor, kita dapat lihat dari segi keputusannya dan jelas daripada taklimat yang saya terima, tidak wujud kebocoran," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Terengganu yang

mencatat keputusan terbaik dalam UPSR.

Pada sidang media itu, Hishammuddin juga mengumumkan kementerian akan mewujudkan talian hotline dan faksimili mulai Isnin ini khusus untuk ibu bapa menyalurkan sebarang isu atau masalah berhubung pelajaran anak-anak mereka.

"Mereka yang tidak berpuas hati dengan bayaran tambahan, isu beg berat, jadual sekolah atau pandangan berkaitan masa peperiksaan, boleh menyalurkannya menerusi talian itu supaya tiada perkara yang boleh menjejaskan fokus ibu bapa membuat persiapan anak-anak ke sekolah," katanya.

Hishammuddin berkata, kementerian juga bercadang mewujudkan Kelab Roket dan Angkasa di semua sekolah bagi menyemai minat pelajar dalam bidang sains dan angkasa.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Terengganu, Arifin Embong, berkata berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, kira-kira 4,000 atau 17 peratus daripada 24,127 calon UPSR di negeri itu memperoleh 5A, berbanding 12.3 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, Jabatan Pelajaran negeri menetapkan sasaran 15 peratus murid memperoleh semua A dan pencapaian 17 peratus itu sangat membanggakan.

"Hampir semua sekolah mencatat peningkatan dari segi kelulusan atau pencapaian 5A," katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Bariah di Kuala Terengganu.

Sekolah berkenaan adalah antara sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang apabila 41 muridnya memperoleh 5A, meningkat hampir 60 peratus berbanding 28 tahun lalu.

Di KUANTAN, Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Aziz Abdul Latif, berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap muncul sekolah paling ramai murid memperoleh keputusan cemerlang 5A di Pahang tahun ini.

Abdul Aziz berkata, 82 daripada 321 calon UPSR sekolah berkenaan memperoleh 5A, manakala 35 murid mendapat 4A 1B.

Oleh Faiza Zainudin, Adha Ghazali, Omar Osman, Betty Subaryati, Zulfa Mohamad

KUALA LUMPUR: Pencapaian pelajar dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 di beberapa negeri menunjukkan peningkatan yang membanggakan, termasuk sekolah di luar bandar.

Di IPOH, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ampang dekat sini, muncul sebagai satu sekolah terbaik dalam peperiksaan UPSR bagi daerah Kinta yang diumumkan semalam.

Seramai 25 murid daripada 123 calon sekolah itumencatatkan keputusan cemerlang memperoleh 5A.


Jurucakap sekolah itu berkata, jumlah murid memperoleh keputusan cemerlang pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu seramai 24 murid memperoleh 5A.

Nur Dini Muhammad Ghazali, 12, memperoleh 5A, berkata beliau sering mengadakan ulang kaji dan perbincangan berkumpulan membabitkan subjek tertentu.

"Saya juga mengikuti kelas tuisyen bagi semua mata pelajaran untuk memantapkan ilmu yang diperoleh semasa di kelas," kata anak sulung daripada empat beradik itu.


Di SUNGAI PETANI, pencapaian pelajar dalam peperiksaan UPSR di Kedah pada tahun ini menunjukkan peningkatan luar biasa, terutama membabitkan sekolah luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran dan Modal Insan negeri, Datuk Azimi Daim, berkata peningkatan jumlah pelajar mendapat 5A dalam UPSR pada tahun ini di luar jangkaan dengan beberapa sekolah luar bandar mencatat keputusan cemerlang.

"Peningkatan itu sesuatu yang mengejutkan, tetapi petanda yang baik kepada negeri ini," katanya selepas merasmikan Buku Isu-Isu Kenegaraan serta melancarkan Syarikat Edulogig Sdn Bhd di sini, semalam.

Bagaimanapun, Azimi tidak dapat memberikan angka kerana fakta berkenaan hanya dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, 41 pelajar SK Tunku Ismail di sini mendapat 5A.

Di TANAH MERAH, SK Sri Suria I di sini muncul antara sekolah terbaik di Kelantan dalam UPSR dan 106 daripada 255 muridnya yang menduduki UPSR pada September lalu memperoleh keputusan 5A.

Seramai 235 murid lulus dalam semua mata pelajaran dengan peratus kelulusan 92.2 peratus.

Guru Besarnya, Tengku Hamzah Ku Seman, berkata pencapaian itu meningkat berbanding tahun lalu apabila hanya 70 murid daripada 255 calon memperoleh 5A.

Di KOTA BHARU, walaupun kekurangan empat tenaga pengajar, SK Tapang masih mampu mencipta kejayaan dalam UPSR.

Dalam keputusan UPSR itu, 38 murid sekolah itu memperoleh 5A berbanding tahun lalu 27 orang.

Guru Besar SK Tapang, Aishah Mohd, berkata mereka kekurangan empat tenaga pengajar untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik.

"Kami bersyukur, berkat kerjasama serta usaha keras 49 guru yang sedia ada, 38 pelajar SK Tapang mencatat 5A mengatasi sasaran iaitu seramai 35 saja," katanya.

Aishah berkata, pada keseluruhannya, murid yang lulus semua mata pelajaran 160 orang daripada 198 pelajar yang menduduki peperiksaan itu tahun ini.

Sementara itu, SK Sultan Ismail 4 dekat Kubang Kerian di sini, pula terus melakar sejarah apabila 27 muridnya memperoleh 5A, sekali gus mengatasi pencapaiannya tahun lalu seramai 15 orang.

Guru Kanannya, Che Hashim Mahmood, yang meraikan semua murid terbabit, berkata walaupun sekolah mensasarkan 30 murid memperoleh 5A, pencapaian 27 orang itu cukup membanggakan sekolah itu.

Di KANGAR, puteri sulung Raja Muda Perlis, Sharifah Khatreena Nuraniah Syed Faizuddin,12, mengetuai 56 pelajar cemerlang Sekolah Rendah Seri Indera (SRSI), di sini, meraih keputusan 5A dalam UPSR yang diumumkan semalam.

Sharifah Khatreena atau lebih mesra dengan panggilan Ku Pah memperoleh keputusan A dalam semua lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (Kefahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

KUALA LUMPUR: "Mama, Raziq dapat 5A..," hanya itu yang mampu diungkapkan Mohd Danish Raziq Mohd Faizal dalam nada tersekat-sekat sambil menangis ketika menghubungi ibunya yang kini menjalani rawatan di Hospital Ampang, Pandan Mewah, di sini akibat menderita penyakit kanser darah atau limfoma tahap keempat.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen Tujuh, Bandar Baru Bangi itu menyifatkan keputusan cemerlangnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 yang diumumkan semalam, sebagai hadiah cukup bermakna kepada kedua-dua orang tuanya, terutama ibunya, Sharifah Zaleha Syed Adnan, 41.

"Melihatkan kekuatan semangat mama berjuang melawan penyakitnya, saya tekad berusaha bersungguh-sungguh dan memberi sepenuh tumpuan terhadap pelajaran demi mencapai kecemerlangan.

"Bukan tidak bimbang keadaan mama tetapi saya berazam untuk memberikan kejayaan sebagai hadiah istimewa, sekali gus membahagiakan mama dan ayah.

"Walaupun tidak sihat, mama sentiasa menitikberatkan kepentingan pelajaran. Malah, kesanggupan mama mendapatkan kebenaran keluar wad semata-mata untuk membimbing saya membuat persediaan akhir menghadapi peperiksaan UPSR, September lalu, membuatkan saya amat terharu dan menghargai pengorbanannya.

"Pernah sewaktu menduduki peperiksaan UPSR, saya teringat dan rindu kepada mama. Lantas, saya menguatkan semangat serta berazam melakukan yang terbaik untuk cemerlang kerana berpegang kepada pesanan mama.

"Saya memang terkejut tetapi bersyukur mendapat keputusan cemerlang ini kerana tidak pernah memperoleh 5A dalam peperiksaan di sekolah," katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di SK Seksyen Tujuh, semalam.

Justeru menyedari masih ada kelemahan perlu diperbaiki, anak kedua daripada tiga beradik itu memanfaatkan peluang menyertai pelbagai program ilmiah diadakan guru dan sekolah, termasuk program Klinik UPSR yang dianjurkan secara pakej dengan kerjasama Unit Pendidikan Berita Harian, Ogos lalu.

Raziq adalah antara 43 calon SK Seksyen Tujuh, yang memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR 2007. Sekolah berkenaan mempunyai 270 calon UPSR 2007 dan pencapaian diperoleh itu adalah prestasi terbaik setakat ini.
SHAH ALAM: Keputusan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2007 di Selangor meningkat 1.4 peratus kepada 81.6 peratus berbanding 80.2 peratus tahun lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata daripada 29,950 calon, 1,742 murid mendapat keputusan pada peringkat mumtaz atau peringkat tertinggi.

Katanya, 7,154 pelajar mendapat keputusan peringkat jaiyid jiddan iaitu keputusan kedua tertinggi.

Sekolah Rendah Agama Batu 13, Puchong muncul sekolah cemerlang 2007 dengan peratus kelulusan 65.7 peratus iaitu peningkatan 2.5 peratus.

"Hanees Faatimah Mohd Kamal dari Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 Shah Alam muncul pelajar cemerlang seluruh Selangor. Pelajar perempuan juga menjadi pelajar cemerlang di setiap daerah," katanya pada majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang Sekolah Rendah Agama Seksyen 3, di sini semalam.

Selain Hanees Faatimah yang turut mendapat kejayaan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 5A, pelajar Sekolah Rendah Agama Batu 13, Puchong, Zul Fazzre Mohd Lotpi yang juga mendapat 5A UPSR memperoleh 97.5 peratus dalam PSRA.

Sementara itu, Guru Besar SRA Batu 13 Puchong, Hazsmyzsa Hamzah, berkata kejayaan sekolah itu adalah kali kedua berturut-turut hasil kerjasama guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

SHAH ALAM: Hanya pelajar cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) akan diterima masuk ke Sekolah Menengah Tahfiz Integrasi pertama Selangor yang akan mula beroperasi tahun depan.

Sekolah yang menggabungkan pendidikan mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan pendidikan tahfiz itu bakal melahirkan lulusan yang bukan saja tahfiz, malah berjaya dalam ilmu sains.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata sekolah yang akan beroperasi di bangunan yang dulunya dimiliki Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) di Jugra itu adalah sekolah seumpama itu yang pertama di Selangor.


Katanya, Jais mendapat kelulusan itu kelmarin dalam mesyuarat kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

"Pada peringkat permulaan, sekolah itu akan memulakan sesi persekolahan dengan 60 pelajar terpilih iaitu 30 pelajar lelaki dan 30 pelajar perempuan cemerlang.

"Setiap tahun, 60 pelajar diterima dan mereka menetap di asrama," katanya pada sidang media selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang PSRA di sini, semalam.

MELAKA: "Saya terpaksa melihat beberapa kali slip keputusan peperiksaan kerana tidak percaya mendapat 5A," kata Fahmi Fazil, pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Seri Bandar, di sini semalam.

Anak yatim yang kematian bapa ketika berusia dua tahun memperoleh keputusan 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak menyangka mendapat keputusan itu kerana tidak terlalu mengharap.

Katanya, dia tidak mengikuti kelas tuisyen seperti rakan lain kerana ibunya, Dauza Umat, 38, terpaksa bekerja di Kuala Lumpur dan tidak dapat menghantarnya ke kelas tuisyen.

Fahmi yang menetap bersama datuk dan neneknya Umat Baba, 68, dan Maznah, 58, di Kampung Musai dekat sini, berkata dalam kelas dia tidak begitu menonjol dari segi akademik dan bukan menjadi murid harapan untuk mendapat 5A kerana dalam peperiksaan percubaan dia hanya mampu memperoleh 4B 1A.

"Bagaimanapun, berkat pesan ibu menerusi telefon setiap hari supaya rajin belajar termasuk takdir Allah menentukan segala-galanya, saya berjaya menunaikan harapan ibu yang begitu mengharapkan kejayaan ini.

"Lagipun, mengingatkan kesusahan ibu yang berjauhan dan terpaksa menyara kami adik beradik menjadi pendorong untuk saya berusaha mendapatkan yang terbaik," katanya yang kematian bapa akibat kanser selain datuk dan neneknya tidak sempat meraikan kejayaan itu kerana berlepas mengerjakan ibadat haji kelmarin.

Beliau yang bercita-cita menjadi pensyarah Bahasa Inggeris berkata, walaupun agak malas mengulang kaji di rumah, dia memberi tumpuan penuh ketika dalam kelas.

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar, Hamzah Osman

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya empat pasangan kembar, masing-masing di Negeri Sembilan dan Kedah memperoleh mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.

Mereka terdiri daripada tiga pasangan perempuan di Seremban dan Alor Star dan satu pasangan lelaki di Langkawi.

Di ALOR STAR, Nur Hisabiyah dan Nur Hidayah Aminnuddin dari Sekolah Kebangsaan Convent adalah antara 38 calon yang mencapai keputusan 5A.


Bapa mereka, Aminnuddin Ahmad, 45, seorang peniaga, berkata anak kedua dan ketiganya itu menunjukkan sifat berlumba-lumba dalam pelajaran dan amat bersemangat melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bersama, sekali gus mencapai cita-cita menjadi doktor.

Nur Hidayah berkata, sebulan sebelum peperiksaan dia memberi tumpuan terhadap subjek Matematik kerana agak lemah dalam mata pelajaran itu.

Sejak Tahun Satu mereka ditempatkan di kelas sama, namun ketika tahun dua keputusan Nur Hidayah merosot dan ditempatkan ke kelas kedua.


"Disebabkan mahu bersama kakak, saya belajar lebih tekun supaya dapat belajar dalam kelas yang sama pada tahun tiga," katanya.

Nur Hisabahiyah atau lebih mesra dengan panggilan kakak berkata, keputusan cemerlang itu adalah hadiah paling bermakna kepada keluarga, terutama ibunya Zahini Abd Aziz, 39, yang selalu mendoakan kejayaan mereka.

Di LANGKAWI, Mohd Taufiq dan Mohd Arief Suhaimi yang bercita-cita menjadi jurutera adalah antara 32 murid Sekolah Kebangsaan Seri Negeri yang memperoleh keputusan 5A.

Mohd Taufiq berkata sebelum masuk kelas, mereka membuat persediaan awal mengenai pelajaran yang akan diajar guru dan diikuti ulangkaji berterusan selepas kelas.

"Saya akan baca dulu topik yang akan diajar guru. Cara itu membolehkan saya lebih mudah memahami subjek yang diajar dan dapat bertanya perkara yang tidak faham," katanya.

Mohd Arief pula berkata, dia dan abangnya tidak pernah berdengki antara satu sama lain dan sentiasa tolong menolong ketika mengulang kaji pelajaran di rumah pada waktu malam.

"Selain guru banyak memberi semangat dan tunjuk ajar, kami hadiahkan kejayaan kepada bapa dan ibu yang sentiasa berada di sisi ketika kami mengulangkaji pelajaran," katanya.

Di SEREMBAN, Nordalila dan Nordahlia Zulkifli, dari Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman, Rantau muncul antara 10 calon sekolah berkenaan mendapat keputusan cemerlang.

Ibu mereka, Rosnani Adam, 45, yang sudah berpisah dengan suami menyifatkan kejayaan dua anaknya itu sesuatu yang tidak disangka selepas mereka hanya mencapai keputusan 3A dan 2B pada ujian percubaan.

"Saya bangga dengan kejayaan mereka dan memang tidak menjangka mampu memperoleh 5A kerana hanya meraih keputusan biasa dalam ujian percubaan," kata tukang masak sebuah kedai makan di sini.

Satu lagi pasangan kembar ialah murid Sekolah Kebangsaan Puteri (SKP), Fatihahtul Hanan dan Fatihahtul Husna Mohd Nor yang menyertai 93 lagi calon UPSR sekolah itu mencatatkan keputusan sama.

Guru Besar SKP, Saleha Yahaya, berkata 95 daripada 206 calon UPSR sekolah itu memperoleh keputusan 5A, hampir menyamai pencapaian tahun lalu dengan 95 daripada 203 calon.

Katanya, faktor kejayaan itu ialah dengan memberikan asas yang kukuh kepada murid seawal Tahun Satu, mewujudkan kelas bimbingan khas bagi murid lemah, mengadakan ujian serta peperiksaan hanya dua kali setahun dan sentiasa fokus selain mengamalkan budaya kecemerlangan.

"Faktor lain yang menyumbang kepada kecemerlangan ialah komitmen guru dan ibu bapa. Melalui semua pendekatan itu, kita berjaya melonjakkan nama sekolah ke tahap yang lebih baik dalam UPSR sejak lebih lima tahun lalu," katanya.

Oleh Misiah Taib

MELAKA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam sentiasa menambah nilai dalam diri, mahu mereka menuntut ilmu pengetahuan seluas-luasnya dengan menjadikan pembangunan modal insan sebagai kepentingan utama.

Pada masa sama, Perdana Menteri mahu mereka sentiasa memupuk keazaman untuk menjadi ummah cemerlang, gemilang dan terbilang sebagai pendorong memajukan diri.

Beliau berkata, tiada noktah dalam mengejar ilmu pengetahuan dan tidak ada sesuatu yang lebih bernilai bagi sesuatu bangsa, melainkan ilmu yang ada pada masyarakatnya.

Katanya, manusia adalah nilai dan aset paling besar bagi sesuatu bangsa kerana manusia boleh diberikan ilmu pengetahuan, kepandaian, kecekapan dan kemahiran supaya dapat menyumbang kepada pembangunan bangsa dan tamadun.

"Ada sebabnya juga mengapa saya mahu kita berfikir untuk menjadi umat cemerlang, gemilang dan terbilang. Jika ini sentiasa ada dalam pemikiran kita, maka ia akan menjadi pendorong untuk kita mencapainya.

"Bagi satu bangsa dan tamadun, jika kita nak wujud selama-lamanya, kita mesti relevan serta sanggup mengejar matlamat yang lebih tinggi dan terus naik ke tahap yang lebih tinggi," katanya ketika merasmikan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Kelapan di Holiday Inn Melaka, petang semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Abdullah berkata, matlamat menjadikan kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang sebagai sasaran perlu digerakkan bagi meningkatkan pencapaian dan nilai diri sesuatu bangsa.

Beliau berkata, tanpanya, yang ada tinggal hanya kejumudan yang akan menyaksikan mereka tidak bergerak ke hadapan, tidak mengecapi kemajuan, tidak mempunyai nilai tambah dan akan terus ketinggalan.

"Bila sudah jumud, tunggu sajalah dalam masa tidak lama, maka berlakulah keruntuhan sesuatu bangsa... mungkin akan pupus, mungkin sudah tidak ada lagi, mungkin tidak wujud lagi atau terus ketinggalan," katanya.

Beliau berkata, apabila sesuatu bangsa ketinggalan, maka orang tidak akan mempedulikan bangsa berkenaan dan tidak akan memberi perhatian kepada mereka.

Abdullah juga berkata, bangsa Melayu dan umat Islam tidak harus cepat berpuas hati apabila menjadi ummah cemerlang, sebaliknya meningkatkan lagi usaha untuk menjadi gemilang dan seterusnya ummah terbilang.

Beliau berkata, usaha menambah nilai diri mesti dijadikan usaha sepanjang masa dan mereka tidak harus mudah berputus asa dengan bekerja lebih gigih bagi mencapai tahap kejayaan paling tinggi.

"Tapi, ini tidak bermakna kita riak, sombong dan angkuh kerana mengejar kemajuan dan ilmu pengetahuan menggunakan segala nikmat yang Allah berikan, dituntut Islam dan kitab suci al-Quran," katanya.

Pada majlis itu Perdana Menteri menerima anugerah tertinggi DMDI, Anugerah Mansur Syah DMDI (AMSD) sebagai mengiktiraf perjuangannya memajukan bangsa Melayu pada peringkat antarabangsa.

SINGAPURA hanya pentadbir rumah api Horsburgh dan tidak lebih daripada itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) diberitahu semalam.

Sehubungan itu, peguam Prof James Crawford yang mewakili Malaysia berhujah semua kegiatan yang dilakukan oleh British dan Singapura berkaitan rumah api itu bukan satu perbuatan 'titre de souverin atau hak milik Pulau Batu Puteh.

Singapura antara lain mendakwa menjalankan kegiatan berkaitan rumah api seperti mewartakan undang-undang mempunyai kaitan dengan Pulau Batu Puteh dan Rumah Api Horsburgh, menyelenggara dan membaiki rumah api dan pengeluaran notis kepada pelaut mengenai pulau itu.


Selain itu, melaksanakan bidang kuasa ke atas individu dan ketenteraman awam di pulau itu, pengumpulan maklumat kaji cuaca, mengibar bendera marin Singapura, mengawal kemasukan ke pulau, lawatan rasmi dan memberi kebenaran menjalankan kerja mengukur.

Selain itu, kegiatan tidak berkaitan rumah api antaranya, rondaan kapal tentera, dakwaan berhubung penyiasatan risiko pengemudian dan bangkai kapal serta rancangan penambakan laut.

"Mahkamah sudah mendengar pakar rumah api membuat kesimpulan bahawa kegiatan Singapura bergantung sebelum pertikaian timbul adalah sebagai pentadbir rumah api atau kegiatan yang dikategorikan sebagai amalan biasa pihak pentadbir.

"Hujah ini disokong oleh sejarah rangkaian sistem Rumah Api Negeri-Negeri Selat dan amalan yang dilakukan Rumah Api Pulau Pisang, ditadbir Singapura di wilayah Malaysia," katanya.

Crawford berhujah sebelum tarikh kritikal hak milik (1847-1851) tidak ada sebarang bukti menunjukkan secara jelas British atau Singapura mempunyai niat menuntut hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Sehubungan itu, katanya, berdasarkan bahan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah, hak milik Pulau Batu Puteh ketika tarikh kritikal dan hari ini terletak kepada negara mempunyai kedaulatan ke atasnya pada 1965 iaitu Malaysia.

Peguam Prof Nicolaas Jan Schrijver pula berhujah melalui perjanjian khas yang ditandatangani Malaysia dan Singapura memohon kepada mahkamah untuk membuat keputusan berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan secara berasingan.

Bagaimanapun, katanya, Singapura berhujah mahkamah hanya perlu menentukan sama ada Malaysia atau Singapura yang mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, sekali gus memiliki hak ke atas Batuan Tengah serta Tubir Selatan.

Schrijver memberitahu mahkamah bahawa hujah Singapura itu tidak boleh diterima. Perbicaraan bersambung hari ini.

Daripada NORAINI ABD. RAZAK

THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – British tidak pernah menzahirkan niat untuk mendapatkan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih ketika memohon kebenaran daripada Sultan Johor untuk membina dan mengendalikan rumah api di situ kira-kira 150 tahun lalu.

Profesor Elihu Lauterpacht berhujah, walaupun Singapura mendakwa kehadiran British di pulau itu pada tahun 1847 hingga 1851 menunjukkan ia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, namun republik itu gagal mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Katanya, tujuan sebenar British berada di Pulau Batu Putih amat jelas iaitu bagi membina rumah api serta berperanan sebagai pengendali kemudahan tersebut.

Menurut beliau, ia tidak ada kena-mengena dengan hasrat British untuk mendapatkan hak kedaulatan di situ.

Perkara itu, kata Lauterpacht, dibuktikan satu persatu bermula dari surat pertama hasrat British membina rumah api iaitu pada tahun 1844 hinggalah kepada pemilihan Pulau Batu Putih sebagai lokasi muktamad iaitu dua tahun selepas itu.

Malah, hujah beliau, surat Sultan dan Temenggung Johor pada tahun 1844 jelas menunjukkan bahawa Johor memberi kebenaran kepada British untuk membina rumah api di kawasan berhampiran Romania atau kawasan-kawasan yang bersesuaian.

Surat tersebut, jelas Lauterpacht, langsung tidak menyebut tentang memberi kebenaran kepada British untuk mendapatkan hak kedaulatan di lokasi yang mereka pilih iaitu pertamanya pulau Peak Rock dan muktamadnya ialah Pulau Batu Putih.

“Malaysia tidak menafikan bahawa British yang membina rumah api itu.

“Tetapi Malaysia tidak dapat menemui sebarang bukti semasa proses rumah api itu dibina (1847-1851) yang menggambarkan niat British untuk mendapatkan kedaulatan di wilayah itu.

“Fakta yang paling jelas ialah tiada satu pun dokumen sepanjang tempoh itu yang mengandungi perkataan bagi menunjukkan hasrat British untuk berbuat demikian,” katanya semasa berhujah pada hari ketiga pusingan pertama hujah lisan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini.

Lauterpacht menarik perhatian mahkamah mengenai amalan wajib British setiap kali mengisytiharkan kedaulatannya di mana-mana pulau atau wilayah sedangkan amalan seumpama itu tidak dilaksanakan di Pulau Batu Putih.

Amalan tersebut, hujah beliau, termasuk mengisi borang perisytiharan kedaulatan seperti yang disebut dalam laporan Thompson berhubung tindak-tanduknya ketika mendapatkan kedaulatan di Pulau Ubin, Pulau Arnab dan Pulau Coney yang terletak 10 batu dari Singapura.

Beliau juga merujuk kepada tatacara British ketika mendapatkan hak kedaulatan di pulau Rockall pada tahun 1995 yang terletak 255 batu ke barat Ireland iaitu dengan meletakkan plak yang antara lain tertera ayat-ayat menunjukkan bahawa British menguasai pulau itu.

Begitu juga dengan kehadiran British di Labuan pada tahun 1846 yang dengan jelas menunjukkan proses mendapatkan hak kedaulatan di situ bermula dengan surat gabenor pada tahun 1846 dan diikuti dengan upacara menaikkan bendera rasmi negara berkenaan di pulau itu.

“Pada 30 September 1846 ketika British di Singapura mencadangkan kepada Pengarah Syarikat Hindia Timur supaya Rumah Api Horsburgh dibina di Pulau Batu Putih, tidak disebutkan langsung niat untuk mendapatkan hak kedaulatan di situ,” hujah Lauterpacht.

Beliau berkata, semua surat-menyurat yang lain hanya menyebut tentang prosedur serta proses pembinaan rumah api tanpa ada satu pun yang menyentuh tentang niat British untuk mendapatkan hak kedaulatan di Pulau Batu Putih.

Lauterpacht turut membangkitkan notis kepada pelayar-pelayar yang dikeluarkan oleh Gabenor British ketika Rumah Api Horsburgh hendak memulakan operasinya pada tahun 1851.

Katanya, walaupun notis tersebut dikeluarkan oleh gabenor Singapura namun ia tidak menunjukkan sebarang isyarat bahawa pulau tersebut adalah milik British sebaliknya ia hanyalah notis menandakan rumah api itu akan mula beroperasi.

Beliau memberitahu mahkamah, pada 27 September 1851, Gabenor Negeri-Negeri Selat dengan diiringi oleh Pencatat Negeri-Negeri Selat melawat rumah api itu sambil menyatakan rasa puas hati kerana segala-galanya berjalan lancar.

“Tiada apa yang dapat direkodkan oleh Thomson (beliau melaporkan segala-galanya mengenai pembinaan Rumah Api Horsburgh) sebagai bukti bahawa British menganggap pulau itu sebagai wilayahnya,” hujah Lauterpacht.

– Utusan

THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – Tindakan Singapura menuntut hak kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge 13 tahun selepas Pulau Batu Putih hanya bertujuan menyokong kes mereka, hujah Profesor Nico Schrijver.

Beliau memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, tuntutan tersebut sebenarnya tidak relevan kerana kedua-dua bentuk batu itu bukan gugusan Pulau Batu Putih seperti yang didakwa oleh Singapura sepanjang hujah lisan republik itu minggu lepas.

Katanya, baik dari sudut geologi, geomorfologi, hidrografi, pelayaran mahupun undang-undang antarabangsa, ketiga-tiga pulau batu itu kekal berasingan dan merupakan bentuk maritim yang berbeza.

“Singapura tidak boleh menuntut hak kedaulatan ke atas Middle Rocks dan South Ledge semata-mata berdasarkan tuntutan mereka ke atas Pulau Batu Putih.

“Ia (Singapura) mesti menunjukkan bahawa mereka mempunyai hak kedaulatan ke atas setiap bentuk maritim itu secara berasingan.

“Manifestasi ini yang gagal dilakukan oleh Singapura,” katanya ketika mengemukakan hujah lisan di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 14 hakim lain di sini, hari ini.

Schrijver berhujah, pada 14 Februari 1980 iaitu ketika Singapura menuntut hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, tiada rujukan dibuat ke atas Middle Rocks dan South Ledge.

Sebaliknya, tambah beliau, tuntutan ke atas kedua-dua bentuk maritim itu hanya dibuat 13 tahun selepas itu iaitu pada 6 Februari 1993, ketika berlangsungnya rundingan antara Malaysia dan Singapura berhubung Pulau Batu Putih.

“Amat jelas kelewatan tuntutan oleh Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge hanya bertujuan menyokong tuntutan mereka ke atas Pulau Batu Putih,” hujahnya.

Menurut Schrijver, dakwaan peguam Singapura, Alen Pellet bahawa Pulau Batu Putih dan Middle Rocks membentuk satu unit, oleh itu South Ledge juga termasuk dalam kawasan tersebut tidak berasas sama sekali.

Tegas beliau, ketiga-tiga pulau batu itu tidak boleh disifatkan sebagai satu kumpulan semata-mata berdasarkan persamaan karakter yang ada pada batu-batu itu.

– Utusan

THE HAGUE, Belanda 15 Nov. – Singapura hanya pengendali Rumah Api Horsburgh dan tidak lebih daripada itu, hujah Profesor James Crawford di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada hari ketiga pusingan pertama hujah lisan Malaysia.

Beliau menegaskan, semua aktiviti yang dijalankan oleh British dan Singapura berhubung pengendalian rumah api di situ tidak membuktikan bahawa republik itu mempunyai hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.

Katanya, semua aktiviti yang dijalankan oleh Singapura sebelum timbulnya pertikaian, seperti yang disimpulkan oleh pakar-pakar, sama ada bersesuaian dengan fungsi republik itu sebagai pengendali rumah api atau tindakan yang sememangnya perlu dilakukan oleh mereka.

Malah, hujah beliau, hanya panji-panji marin British dikibarkan di Rumah Api Horsburgh lebih seabad lamanya, kemudian digantikan dengan panji-panji marin Singapura pada 1953 manakala pada 1965 dikibarkan pula panji-panji marin Republik Singapura.

“Sepanjang yang kami (Malaysia) sedari, tidak pernah Union Jack dan bendera kebangsaan Singapura dikibarkan di Rumah Api Horsburgh,” katanya.

Crawford berhujah lagi, dakwaan Singapura bahawa segala tindakannya di Pulau Batu Putih tidak dibantah oleh Malaysia juga tidak membawa sebarang makna.

– Utusan

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kerajaan negeri Selangor telah melanggar sempadan pentadbiran yang bukan dalam bidang kuasanya apabila menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, PBT bukan agensi di bawah kerajaan negeri, sebaliknya terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan iaitu di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri tidak wajar memberikan penyapu kepada agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan kerana PBT bukan ‘hak mutlak’nya.

Menurut Rais, pemberian penyapu itu mengaibkan penerimanya lebih-lebih lagi diberi kepada penjawat awam di hadapan khalayak ramai.

‘‘Selain itu, penyapu juga adalah sinonim dengan perkara negatif seperti kotor dan sial di kalangan masyarakat Malaysia,’’ kata Rais pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Turunnya Sebuah Bendera karya Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang di sini hari ini.

Buku setebal 138 muka surat itu menampilkan himpunan 18 buah cerpen Sasterawan Negara tersebut yang berkisar mengenai kehidupan kaum Melayu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Rais berkata, pemberian penyapu adalah sesuatu yang baru dalam budaya Malaysia. Katanya, Kerajaan Persekutuan sendiri belum pernah memberikan penyapu bertujuan meningkatkan prestasi agensi dan jabatannya.

Katanya, anugerah itu sudah tentu mengaibkan tidak kira apa tujuannya.

‘‘Banyak lagi usaha lain yang boleh dilakukan untuk menggalakkan peningkatan prestasi kerja penjawat-penjawat awam termasuk melalui cara pemberian markah,’’ ujarnya.

Justeru, Rais meminta agar pemberian penyapu tidak dilakukan lagi walaupun sebagai simbolik meminta jabatan-jabatan dan agensi kerajaan bekerja dengan lebih baik.

Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) atas alasan kedua-dua badan itu gagal mengutip hasil cukai dengan cemerlang.

SHAH ALAM 15 Nov. – Tiada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan menerima anugerah penyapu pada tahun depan memandangkan sehingga kini kesemua PBT di negeri ini telah mencatatkan kutipan hasil melebihi 50 peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, anugerah penyapu yang diberikan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) tiga hari lalu adalah berdasarkan pencapaian dan prestasi PBT tersebut pada tahun operasi 2006.

‘‘Penilaian dibuat untuk kerja-kerja tahun lepas, cuma anugerahnya diberikan tahun ini. Untuk tahun hadapan, sehingga kini saya menerima laporan semua PBT mencatatkan hasil yang melebihi 50 peratus.

‘‘Justeru, ia memberi petunjuk tiada PBT yang akan menerima penyapu lagi tahun hadapan,” kata Mohamad Khir di sini hari ini.

Isnin lalu, pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007 Mohamad Khir menghadiahkan penyapu kepada MDHS yang diwakili oleh Yang Dipertuanya, Tukiman Nail dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor kerana tidak mencapai sasaran kutipan cukai.

Langkah kerajaan Selangor itu dikritik oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Larut, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azizah Mohd. Dun dalam Dewan Rakyat semalam.

Beberapa pihak lain termasuk ulama dan kesatuan-kesatuan sekerja juga mengecam langkah itu yang menyifatkannya sebagai terlalu hina dan mengaibkan kakitangan awam.

Bagaimanapun, Mohamad Khir sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor itu tidak berunsur penghinaan.

Sebaliknya, ujar beliau, ia dibuat semata-mata untuk memberi kesedaran dan peringatan agar penjawat awam terus berusaha menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ramli Mahmud berkata, setiap PBT di Selangor telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang anugerah penyapu tersebut malah ia turut dilaporkan akhbar-akhbar tempatan ketika pengumuman itu dibuat.

Beliau berkata, anugerah penyapu tersebut tidak mempunyai unsur negatif sebaliknya ia mewujudkan keadaan yang seimbang antara PBT yang cemerlang dan PBT yang memilih tidak cemerlang.

‘‘Selama ini kita beri anugerah atau ganjaran wang kepada agensi yang cemerlang sahaja. Jadi kalau yang tak cemerlang, mereka juga perlu mendapat ganjaran atau hukuman. Langkah ini lebih adil,” katanya.