Elak sengketa akibat khabar angin

Elak sengketa akibat khabar angin

Oleh A. MOHD RAHIMIN SIHAT

ISLAM amat menitikberatkan soal perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat. Oleh itu apa jua faktor yang boleh membawa kepada perpecahan, maka Islam amat mencela perbuatan tersebut. Di antara faktor yang boleh membawa ke arah perpecahan adalah berpunca daripada khabar angin dan taksub dengan sumber berita daripada individu atau kumpulan-kumpulan tertentu sahaja tanpa soal selidik.

Kedua-dua faktor ini telah menjadi satu sejarah yang terangkum dalam al-Quran yang seharusnya diambil pengajaran dan sempadan. Allah SWT telah menurunkan ayat khusus mengenai perbuatan tersebut sebagaimana firman-Nya di dalam surah Al-Hujurat ayat 6:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu mengenainya - sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Ayat di atas memberi makna umum, yang mana kita perlu menyelidiki dan meneliti segala berita dan perkhabaran yang diterima. Berita yang disampaikan oleh mereka yang beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia haruslah diterima manakala berita yang disampaikan atau datangnya daripada orang yang fasiq hendaklah diselidik dan diteliti kesahihannya terlebih dahulu.

Dalam ajaran Islam itu sendiri, setiap berita yang kita terima itu perlu diketahui kedudukannya sebagaimana kaedah fiqh menyatakan: "Sesuatu berita atau kejadian yang diterima itu mengandungi kebarangkalian antara benar dan salah."

Allah SWT menciptakan manusia sebagai Khalifah Allah di bumi ini sewajarnya menonjolkan sifat-sifat seperti bekerjasama, bertolak ansur, bantu-membantu dan bermuafakat dalam segala urusan.

Apabila ilmu itu terpisah daripada nilai-nilai akhlak dan cenderung kepada akal fikiran yang mengutamakan hawa nafsu semata-mata, ia akan menjadi penyebab berlakunya perpecahan dan persengketaan kesan daripada khabar angin di kalangan umat manusia.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Anam ayat 159: Maksudnya: Bahawasanya orangorang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu, dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikit pun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanyalah terserah kepada Allah SWT. Kemudian ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), akan apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya).

Kita perlu meneliti tentang faktor dan punca yang menyebabkan khabar angin ini berlaku kerana ia membawa banyak kemudaratan dan kerosakan khususnya dalam hubungan bermasyarakat. Antara punca yang boleh dikenal pasti merebaknya khabar angin ialah ketiadaan sumber yang tepat, tulus, jujur dan sah sehingga mendorong orang ramai mencari alternatif yang lebih cepat.

Faktor kedua ialah sikap masyarakat sendiri yang suka dan gemar kepada berita sensasi serta sentiasa mahukan maklumat baru, sedang mereka lupa untuk menyelidik dan menilai sebagaimana yang disyorkan oleh agama.

Faktor ketiga pula ialah apabila masyarakat sukar untuk mendapatkan berita atau maklumat rasmi yang lengkap dan tidak mengelirukan. Satu perkara yang amat mendukacitakan ialah sikap segelintir kita yang kadang-kadang mengambil kesempatan untuk menjadi ejen penyebar maklumat palsu hanya disebabkan kepentingan peribadi mereka dan sikap inilah yang amat dibenci oleh Allah SWT dan Islam sendiri.

Oleh yang demikian, Islam amat memandang serius tentang perkara ini, kerana ia akan mendatangkan implikasi yang amat buruk sekiranya tidak dibendung sebaiknya. Agama Islam menyarankan kita supaya meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Dalam dunia era globalisasi kini, amat malang bagi kita sekiranya kemajuan teknologi disalahgunakan. Ini kerana jika kita perhatikan penyebaran maklumat seperti melalui Internet - penulisan dalam blog-blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS), amat mudah untuk dijadikan alat penyebar maklumat dan berita palsu yang mampu menjelajah seluruh pelosok dunia tanpa halangan dan sebarang masalah dalam sekelip mata. Inilah yang banyak mempengaruhi minda masyarakat kini tidak kira sama ada golongan tua ataupun muda.

Kesan dari berita-berita yang belum sahih ini akan menyebabkan perpecahan dan menimbulkan ketegangan yang bukan hanya melibatkan seseorang atau dua orang tetapi melibatkan banyak pihak. Selain itu, akan merugikan seluruh masyarakat dan negara, dengan hilangnya semangat kasih sayang, hormat menghormati dan tidak menaruh kepercayaan di antara satu sama lain yang akan mengakibatkan runtuhnya sesebuah institusi masyarakat dan hilangnya kewibawaan sesuatu bangsa.

Lebih malang lagi, sesuatu isu atau peristiwa yang belum diketahui kesahihannya telah disensasikan dan dijadikan sebagai bahan cerita untuk menghukum individu dan kumpulan tertentu. Bahkan, isu-isu yang berlaku telah dijadikan sebagai modal untuk kepentingan kelompok-kelompok tertentu atau lebih jelas lagi isu-isu tersebut telah dipolitikkan demi kepentingan mereka.

Sehingga, dalam kes-kes tertentu ada pihak yang cuba mengalihkan tumpuan dari isu yang sebenar kepada isu-isu lain yang boleh membawa kepada mudarat yang lebih besar seperti perkauman yang menjurus kepada sengketa yang lebih besar.

Terdapat sebahagian daripada masyarakat kita yang enggan menerima teguran walaupun mengetahui apa yang dilakukan itu jelas tidak betul dan bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka bukan sahaja tidak mengendahkan teguran, bahkan sebaliknya cuba memusuhi mereka yang memberi teguran. Dalam hal ini, Islam sangat mengutuk dan menghina perbuatan tersebut sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Munafiqun: 5-6.

Maksudnya: Dan apabila dikatakan kepada mereka, "marilah (bertaubat) supaya Rasulullah SAW meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu", mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya, dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh. (Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasiq.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama berganding bahu, bersatu padu memulihkan keadaan dan bersama-sama mengikis sikap suka menyebarkan khabar angin atau berita palsu. Ini kerana al-Quran telah mengajar kepada kita apabila menerima sesuatu berita hendaklah diselidiki terlebih dahulu tentang kebenarannya untuk mengelak berlakunya penyebaran khabar angin yang boleh menyebabkan sengketa lebih besar bertepatan dengan kehendak Islam yang sebenar.

Penulis ialah Penolong Pengurus Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

0 comments: