“Pakatan samseng” boleh hancurkan negara
DUNIA hari ini semakin keliru dan bercelaru. Gejala kekerasan, jenayah, rusuhan jalanan, saman menyaman, ugut mengugut, kebiadapan pemimpin, penderhakaan terhadap raja serta penerapan naluri keganasan yang ditanamkan pihak pembangkang terhadap anak-anak remaja kita adalah satu bentuk tindakan yang melampau.
Sikap itu boleh diibaratkan sebagai ciri-ciri kehidupan manusia yang belum beradab.Tentunya ini merupakan satu fenomena baru yang amat-amat menyedihkan dalam negara kita yang baru sahaja hendak menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 tidak berapa lama lagi. Kita hanya ada 11 tahun sahaja lagi sebelum mencapai status negara maju pada 2020.
Mungkin ramai yang bersetuju bahawa nampaknya negara kita juga tidak terkecuali daripada kecelaruan dan kekalutan tersebut. Setiap hari, ada sahaja peristiwa atau berita yang mencemaskan berlaku.
Hanya untuk renungan, kisah perihal surat ugutan kepada pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saman 100 juta terhadap Timbalan Perdana Menteri, maki hamun ulama terhadap sesama Islam, rusuhan serta demonstrasi jalanan, fitnah serta rasuah berleluasa, arak dihalalkan oleh exco Cina, sultan dan raja dicemuh, sistem demokrasi “dibadutkan” dan tak perlulah diperincikan lagi kerana ia tidak akan berkesudahan. Apa sebenarnya sudah terjadi?
Mungkin tidak keterlaluan kalau boleh saya terjemahkan semua ini sebagai budaya pakatan samseng. Pakatan samseng mungkin merupakan istilah baru kepada kita semua. Namun tanpa kita sedari, budaya samseng inilah yang telah mewarnai kancah politik serta suasana kehidupan di negara kita sejak pilihan raya umum yang lalu.
Tidak ramai yang sedar bahawa ada hikmah di sebalik semua kemelut yang berlaku ini. Kita tidak payah menuding jari kepada sesiapa. Cuba cermin-cerminkan diri sendiri.
Pada hemat saya, segala kejadian yang berlaku mempunyai makna dan mesej yang telah Allah takdirkan kepada semua rakyat untuk menjadi panduan dan pedoman. Di sini benarnya firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud: “...sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sikap sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri mengubahnya.”
Jika ditinjau kembali setiap ancaman serta kecelaruan yang berlaku, ia berkisar kepada sifat tamak, jumud, khianat serta rakus kuasa pemimpin (rata-rata Melayu) yang merencanakan. Inilah puncanya.
Yang pastinya, kita semua harus menerima hakikat bahawa Malaysia pasca pilihan raya umum ke-12 bukan lagi negara yang pernah kita semua kecapi suasana harmoni kehidupannya. Siapakah yang harus dipersalahkan? Jawapannya agak mudah tetapi mungkin agak sinikal.
Saya berani mengatakan bahawa semua rakyat Malaysia harus memikul dan berasa bertanggung jawab terhadap sindrom baru yang menular ini.
Bukankah ini semua bertitik mula dengan keputusan pilihan raya umum lalu yang telah ditentukan oleh rakyat Malaysia sendiri? Undi Melayu pecah tiga, Cina tetap dengan jati diri mereka.
Saya amat yakin kita tidak perlu menunggu Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk menjangka apa yang akan berlaku kepada negara sekiranya rakyat membuat keputusan untuk memberi peluang kepada pakatan pembangkang berkuasa dan mengambil alih kerajaan serta pentadbiran negara. Ideologi serta visi terhadap hak kemanusiaan, keadilan, kebebasan bersuara serta “demokrasi gila” yang telah dibawa oleh pihak pembangkang di negara kita sejak pilihan raya lalulah yang telah mengelirukan dan memporak-perandakan keamanan dan keharmonian negara kita yang tercinta ini.
Yang paling menyedihkan, pemimpin pembangkang yang bersekongkol serta terlibat sama untuk menjahanamkan negara adalah pemimpin Melayu dan Islam.
Sejarah sepatutnya telah memberi banyak pengajaran kepada orang Melayu tentang turun naiknya sesuatu bangsa hasil daripada ketekunan, kealpaan serta keangkuhan bangsa itu sendiri.
Inilah yang sedang kita tonton di hadapan mata kita seharian. Yang akan menerima kesannya adalah anak-anak serta cucu-cicit kita di kemudian hari.
Bandar Baru Uda, Johor Bahru">
0 comments:
Post a Comment