Berlumba untuk kurus

Berlumba untuk kurus


GOLONGAN berbadan besar melihat penyertaan dalam The Biggest Looser Asia menjadi peluang keemasan untuk membantu mereka menurunkan berat badan.


"MEMANG menyakitkan bila ada budak-budak memanggil saya gemuk. Tapi apa boleh buat, mereka hanya kanak-kanak.

"Kadang-kadang saya sengaja menjadikan diri sendiri sebagai bahan lawak kerana daripada orang gelakkan kita, lebih baik kita gelakkan diri sendiri. Ia kurang menyakitkan," kata Norlitha Ahmad, 28 yang menghadiri uji bakat rancangan realiti televisyen (TV) menurunkan berat badan, The Biggest Loser Asia, baru-baru ini. Bertempat di Fitness First Centre, The Curve, Mutiara Damansara, seramai 250 individu bersaiz 'comel' tampil menghadiri uji bakat itu.

Enggan mendedahkan kepada Kosmo! berat badannya yang sebenar, Norlitha menyimpan hasrat menggunung untuk mengurangkan berat badannya, sekurang-kurangnya mencecah 100 kilogram (kg).

Mengalami masalah obesiti sejak kecil, Norlitha sudah bosan didiskriminasi. Sukar untuk mendapat pekerjaan, wanita berjiwa kental ini sentiasa percaya rezeki ada di mana-mana sehinggalah dia diterima bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah bank.

"Sebelum ini, walaupun berat badan saya selalu ditertawakan, namun saya tidak begitu mengambil kisah. Tapi, bila mengenangkan orang gemuk lagi besar risikonya untuk mendapat penyakit dan umur saya pun sudah 28 tahun tapi masih belum berpunya, saya yakin inilah masanya untuk berubah," katanya.

Tambahnya lagi, selepas menonton The Biggest Loser Amerika Syarikat yang popular itu, dia mula bersemangat untuk merubah nasib. Dia sudah mula membeli pakaian senaman, berjoging dan sebagainya. Beratnya mampu diturunkan sebanyak 5kg.


SHAUN MEASDAY


"Saya percaya, kalau ada lebih 'desakan', saya mampu mengurangkan lagi berat badan saya. Itulah sebabnya saya menghadiri uji bakat ini," ujarnya merujuk kepada pertandingan berlumba untuk mengurangkan berat badan itu yang mementingkan aspek berdisiplin.

Lebih membuatnya semakin bersemangat ialah sokongan yang diberikan rakan-rakannya. Kira-kira 20 orang rakannya hadir memberi sokongan jitu padanya pada hari uji bakat dengan menaikkan kain rentang dan mengenakan pakaian sedondon berwarna merah.

"Kalau ikutkan hati, saya malu untuk tampil di sini. Ya lah, tampil ke sini seolah-olah mengakui yang kita gemuk. Tapi, saya beruntung walaupun dalam kekurangan begini, saya masih mempunyai rakan-rakan dan keluarga yang begitu menyokong saya. Sokongan mereka sentiasa terbayang di mata saya," katanya terharu.

Bagi Kalaivani M.S. Pillay, 33, yang mempunyai berat badan 140kg, ejekan mengenai saiz badannya ialah perkara biasa tetapi dia merupakan seorang yang sentiasa berfikiran positif. Namun, guru bahasa Inggeris itu sedar, berat badan yang berlebihan harus dikurangkan. Jika tidak, ia akan menimbulkan masalah kesihatan kepadanya kelak.

"Saya tak mahu mati cepat dan saya inginkan kehidupan yang sihat. Saya mengimpikan masa untuk bersama keluarga, melihat segala perubahan dan menikmati kegembiraan," katanya penuh makna.

Kalaivani sudah berumah tangga selama dua tahun, namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Mungkin dengan menurunkan berat badan, masalah itu dapat ditangani. Kalaivani mengakui, keinginan untuk memiliki anak memotivasikan dirinya untuk menurunkan berat badan. Suaminya, Krishan Kumar sentiasa memberi dorongan yang tiada sempadan.


KALAIVANI mendapat sokongan suaminya, Krishan Kumar.


Kalaivani berkata, dia bukanlah jenis yang banyak makan, tapi mungkin waktu makan yang tidak menentu mendorongnya memiliki berat badan berlebihan.

"Saya ada tabiat suka mengunyah di depan televisyen menyebabkan saya susah untuk menurunkan berat badan," katanya.

Menyentuh tentang masalah obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia, Kalaivani berkata, gaya hidup masyarakat Malaysia yang kaya dengan makanan turut memainkan peranan.

"Makanan berada di mana-mana, harganya murah dan dibuka sepanjang hari. Cuba bezakan berapa banyak gim yang kita ada berbanding dengan kedai makanan yang dibuka 24 jam sehari?" soalnya.

Bukan sahaja berkenaan kesihatan, Kalaivani juga berkata, berat badan berlebihan telah memberi masalah besar kepadanya untuk mencari pakaian.


KOO telah berhabis sehingga RM20,000 sebelum ini untuk kurus namun masih belum berhasil.


"Kebanyakan baju bersaiz besar mahal harganya dan bukan semua tukang jahit pandai menjahit baju orang yang berbadan besar. Kadang-kadang bila dah siap, baju itu tak selesa dipakai," katanya.

Bagi Melinda Koo, 31, dia telah berusaha sejak pada zaman universiti lagi untuk mengurangkan berat badan. Antaranya dengan mengunjungi pusat-pusat melangsingkan badan dan telah berhabis lebih RM20,000.

Tidak cukup itu, dia juga telah mendaftar sebagai ahli sebuah gimnasium di ibu kota namun, segala usahanya tidak menampakkan hasil.

Sukar mencari saiz pakaian, Koo berkata, pernah satu ketika dia dihalau oleh pengawal sebuah hotel gara-gara memasuki kolam renang dengan memakai baju T dan seluar pendek.

"Kawan-kawan seusia semua telah menamatkan zaman bujang dan saya sering menjadi perancang perkahwinan. Kemudian, menjadi perancang untuk majlis anak mereka pula.


PESERTA perlu menjalani ujian tekanan darah dan kandungan lemak dalam badan ketika uji bakat.


"Saya ingin merasai pengalaman yang tak pernah saya rasai sebelum ini kerana itu saya perlukan bantuan untuk menurunkan berat badan," katanya yang mempunyai berat badan 112kg dan mempunyai 67 peratus lemak dalam badan.

Koo mengakui bahawa dia mempunyai tabiat pemakanan yang buruk dan gemar makanan yang bergoreng.

"Macam mana saya berusaha sekali pun, jika saya tidak mampu mengawal pemakanan saya, usaha saya akan menjadi sia-sia.

"Saya tidak mahu masalah ini membelenggu hidup saya selamanya," kata Koo.

0 comments: