Jangan cabuli wasiat
Oleh AZNAN BAKAR
pengarang@utusan.com.my
TITAH Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini yang menggariskan tujuh wasiat raja-raja Melayu merupakan peringatan kepada orang Melayu supaya tidak mengambil mudah akan hak dan keistimewaan mereka.
Walaupun hak itu terjamin dalam Perlembagaan namun ia boleh hilang jika orang Melayu sendiri mula mengambil mudah dan menganggap ia tidak perlu dipertahankan.
Wasiat itu juga bukan bertujuan menidakkan atau mengetepikan hak kaum lain. Tetapi ia merupakan pengiktirafan terhadap kedudukan orang Melayu dan keistimewaan mereka seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Ia juga sebagai peringatan bahawa ketika raja-raja Melayu menurunkan tanda tangan sebagai tanda persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan hak-hak orang Melayu tetap dipelihara.
Malah, titah Raja Nazrin itu juga tepat pada masanya kerana ia bukan sahaja menjelang sambutan kemerdekaan negara tetapi juga ketika sebahagian daripada orang Melayu mula hanyut dan saling berbalah sesama sendiri.
Apa yang dibangkitkan oleh Raja Nazrin lebih kepada membentuk penyatuan Melayu. Telah terbukti melalui sejarah, apabila Melayu bersatu ia membawa kepada kestabilan dan mampu mencapai sesuatu yang lebih besar.
Apabila Melayu bersatu pada 1946 untuk membentuk UMNO, hasilnya ialah kemerdekaan negara pada 1957 yang dikongsi bersama MCA dan MIC.
Ia turut membuktikan bahawa penyatuan Melayu tidak pernah mengetepikan kaum lain. Malah ia membawa manfaat yang jauh lebih besar kepada setiap rakyat.
Raja Nazrin bertitah dan mengungkap semula tujuh wasiat itu kerana kebimbangan terdapat Melayu yang mula lupa pada akar umbi mereka.
Golongan ini membiarkan diri mereka diperalat hingga sanggup melihat kaum dan agama mereka dipermainkan.
Sebab itu, jika wasiat itu tidak dijaga dan dipertahan, dikhuatiri lama-kelamaan bukan sahaja orangnya, malah perkataan Melayu itu sendiri akan lenyap begitu sahaja.
Ini bukan soal membangkitkan isu perkauman. Tetapi usaha untuk memastikan kepentingan sesuatu kaum itu terjaga.
Bagi kaum Cina dan India sendiri, mereka tentunya tidak mahu bahasa, budaya dan adat resam mereka lenyap di bumi Malaysia.
Itu merupakan antara prinsip dan dasar yang diperjuangkan oleh parti seperti MCA, MIC, Gerakan dan DAP.
Atas dasar tolak ansur dan saling menghormati, kaum lain bebas memperjuangkan hak mereka.
Sebab itu walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, namun sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dibenarkan.
Begitu juga dengan amalan agama, budaya dan adat resam tidak ada halangan untuk kaum lain mengamalkannya walaupun Islam merupakan agama rasmi.
Walaupun hak dan keistimewaan orang Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan namun kaum lain tidak pernah dihalang dalam apa juga bidang sama ada ekonomi, sosial mahupun politik.
Perlu diingat apabila raja-raja Melayu bercakap mengenai penting usaha mempertahankan hak dan keistimewaan itu, ia bukan bertujuan menindas kaum lain. Tetapi lebih kepada untuk mempertahankan kuasa dan kepentingan orang Melayu.
Hak itu disertai pula dengan beberapa dasar kerajaan yang dikatakan memihak kepada orang Melayu tidak pernah menjadikan kaum lain lebih lemah atau ketinggalan.
Daripada segi politik, kaum Melayu, Cina dan India bersama-sama dalam Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Persekutuan sejak lebih 52 tahun lalu.
Melalui perkongsian politik secara sama rata ini, kepentingan setiap kaum dibincangkan secara bersama. Apa juga polisi termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan atas persetujuan bersama.
Daripada segi ekonomi, walaupun DEB lebih untuk membantu Melayu berjaya dalam ekonomi, ia tidak pula menjadikan kaum lain lebih miskin.
Malah, kejayaan yang dikecapi Melayu dalam bidang ekonomi turut melonjak kedudukan ekonomi kaum lain terutama Cina.
Perkara yang sama juga turut dicapai dalam kontrak sosial yang dimeterai antara pemimpin-pemimpin terdahulu ketika mahu menuntut kemerdekaan negara.
Pemimpin MIC, Tun V.T. Sambanthan sendiri merakamkan penghargaan terhadap semangat orang Melayu yang ditunjangi UMNO dalam membincangkan isu-isu berkaitan kewarganegaraan.
Bagi Sambanthan, walaupun UMNO mempunyai 88 peratus sokongan daripada pengundi pada pilihan raya umum 1955, namun parti Melayu itu tidak bersikap bongkak. Sebaliknya ia menerima dan menimbangkan permintaan MIC dan MCA berhubung taraf kerakyatan.
Malah pengasas MCA, Tun Tan Siew Sin turut menyatakan kekaguman dengan kemuliaan dan sikap bertolak-ansur pemimpin-pemimpin UMNO.
Walaupun isu yang disentuh ketika itu penting, getir dan sensitif kerana membabitkan hak orang Melayu, namun pemimpin UMNO tetap bertolak-ansur dan berpandangan jauh.
Sebab itu wasiat raja-raja Melayu dan kontrak sosial ini tidak perlu dipertikaikan. Hasilnya jelas terlihat pada hari ini. Jika tidak kerana persefahaman yang dicapai pemimpin dahulu, tidak mungkin generasi hari ini dapat menikmati apa yang ada sekarang.
Jika tidak ada kefahaman itu, kemungkinan pada masa ini negara kita berantakan akibat pertelingkahan kaum.
Ini pernah berlaku pada 1969 apabila ada pihak menjadi angkuh setelah memenangi beberapa kerusi dalam pilihan raya hingga membangkitkan isu-isu sensitif yang membawa kepada perbalahan kaum. Sebab itu apabila Raja Nazrin mengingatkan wasiat yang dibuat pada tahun 1957 itu, ia bukan untuk kepentingan Melayu semata-mata.
Baginda sebaliknya mahu mengingatkan rakyat negara ini secara keseluruhannya betapa pentingnya menghormati hak setiap kaum seperti yang telah diperakui sejak lebih 50 tahun lalu.
Orang Melayu walaupun merupakan penduduk jati tidak pernah menghalang atau iri hati, jauh sekali mempunyai hasad dengki dengan kejayaan orang Cina dalam bidang ekonomi.
Sebab itu jika kita lihat di bandar-bandar kecil kejayaan ekonomi orang Cina banyak disokong oleh Melayu.
Orang Melayu tidak kisah membeli-belah atau menjual hasil mahsul mereka kepada Cina. Biarpun akhirnya tauke Cina yang menjadi kaya raya dan Melayu kekal papa kedana, mereka tidak pernah memberontak atau membantah. Sampai hari ini, di kawasan yang hampir 100 peratus didiami Melayu, ekonominya tetap dikuasai bukan Melayu.
Jika tidak kerana wujud toleransi dan persefahaman, keadaan ini sudah tentu boleh mencetuskan rasa tidak puas hati.
Untuk memastikan keadaan yang dikecapi hari ini berterusan maka kontrak sosial yang telah dipersetujui perlu dihormati. Wasiat raja-raja Melayu ketika menurunkan tanda tangan sebagai tanda setuju terhadap pembentukan Perlembagaan Persekutuan jangan dicabuli.
Sikap angkuh, sombong dan menganggap semua itu sebagai fakta sejarah yang tidak relevan hanya akan mengundang suasana tidak harmoni.
Seperti titah Raja Nazrin, dalam persekitaran menyambut ulang tahun kemerdekaan negara bangsa, sewajarnya fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan dipastikan tidak terpadam dari sejarah.
0 comments:
Post a Comment