|
|
ADAKAH haiwan peliharaan anda mengalami sakit belakang yang teruk, masalah neurologi atau artritis? Klinik haiwan Jordan Kocen ada jalan penyelesaiannya, iaitu melalui rawatan alternatif akupuntur untuk kebanyakan pesakitnya.
"Saya menggunakan homeopati, herba-herba Cina dan akupuntur," kata doktor haiwan berusia 50 tahun yang mempunyai klinik di South Paws, Fairfax di Virginia, Amerika Syarikat (AS).
"Jarum yang digunakan juga adalah sama dengan apa yang digunakan untuk manusia. Saluran asas akupunturnya juga sama. Melalui akupuntur, ia mencerminkan sistem saraf dan merangsang dengan cara yang sama." katanya.
Kocen baru sahaja mencucuk batang-batang jarum ke atas seekor kucing berusia 13 tahun, Alexa yang menghidap simptom misteri seperti selalu terhuyung-hayang dan mengangguk-anggukkan kepalanya.
Malah, dengan cara akupuntur, Alexa telah menunjukkan peningkatan yang positif sejak sesi itu bermula. Perkara ini diakui oleh tuannya, Joan Ferguson.
"Saya pernah membawanya melakukan imbasan radiologi badan (MRI), ujian saraf tunjang dan ujian darah. Ia memerlukan perbelanjaan yang banyak. Pakar neurologi juga tidak tahu apa yang boleh dilakukan," katanya.
Melihat situasi semakin terdesak, Ferguson beralih arah kepada pakar akupuntur. Alexa langsung tidak merasai kesakitan ketika rawatan, sebaliknya lega dengan tusukan jarum di seluruh tubuhnya.
Kini, semakin ramai doktor haiwan menggunakan teknik terapi alternatif di AS, negara yang pasaran untuk produk haiwan peliharaannya tidak pernah berkurangan, tetapi semakin berkembang.
"Kesannya, lebih ramai pemilik-pemilik haiwan peliharaan mencari modus holistik. Ia semakin berkembang. Setiap tahun, seramai tiga ratus orang doktor haiwan mengambil kursus dalam perubatan akupuntur. Perkara ini sudah tersebar sejak tahun 2002," kata Pengarah Eksekutif Persatuan Akupuntur Veterinar Antarabangsa (International Veterinary Acupuncture Society, IVAS), Vikki Weber.
IVAS kini sudah mempunyai 900 orang ahli berdaftar di AS. Weber menjelaskan akupuntur telah dikenali sebagai satu rawatan yang sah oleh Persatuan Perubatan Veterinar Amerika (American Veterinary Medical Assosiation).
"Jumlah pakar akupuntur kini semakin meningkat. Malah terdapat beberapa bukti anekdot untuk menyokong keberkesanan perubatan alternatif yang diamalkan oleh doktor haiwan termasuk akupuntur," kata Michael San Filippo, jurucakap persatuan tersebut yang memberi tumpuan kepada perubatan konvensional.
Kocen yang telah menjadi doktor haiwan sejak tahun 1986 dan mempraktikkan akupuntur sejak 1995 menyatakan bahawa 80 peratus daripada kes menunjukkan perubahan yang positif.
Dia kini mempunyai kira-kira 1,500 pelanggan dengan lapan hingga 15 temu janji setiap hari. Setiap sesi rundingan dikenakan bayaran sebanyak AS$95 (RM333).
"Rawatan akupuntur semakin diterima di kalangan pemilik haiwan peliharaan," jelas Kocen sambil membaringkan seekor anak anjing Saint Bernard bernama Lexus berusia 11 tahun. Lexus menderita penyakit sawan sejak berusia dua tahun lagi.
Pemiliknya, Sally Rab telah membawa Lexus menjalani sesi rawatan akupuntur setiap bulan sejak empat tahun lalu. Dia turut menerima lima dos ubat anti-sawan setiap hari.
"Kami dapat lihat perubahan pada diri Lexus selepas dia menjalani rawatan ini. Dia juga amat suka datang ke sini," tutur Rabb.
Seperti juga klinik untuk manusia, doktor akan pergi melawat dari bilik ke bilik untuk memeriksa setiap jarum akupuntur sewaktu sesi yang mengambil masa selama 20 minit itu.
"Ia merupakan peluang untuk meluaskan apa yang saya lakukan. Akupuntur membuatkan saya amat sibuk," jelas Kocen sebelum beralih kepada Trixy, seekor anjing cacat yang diselamatkan oleh jurugambar Washington Post, Carol Guzy selepas berlakunya Taufan Katrina yang memusnahkan New Orleans di Louisiana beberapa tahun lalu. - AFP
0 comments:
Post a Comment