Apabila kita sanggup hilang jiwa

Apabila kita sanggup hilang jiwa

Oleh Ku Seman Ku Hussain

DUA hari sebelum kita melangkah abad ke-21 dulu iaitu pada 30 Disember 1999, saya pernah menulis dalam ruangan ini tentang pembudayaan yang dilakukan oleh pedagang semasa era kegemilangan Melaka.

Ketika Melaka menjadi pusat perdagangan penting lima abad lampau, pedagang bukanlah semata-mata datang berdagang. Kedatangan pedagang terutama dari Barat ada agenda lain selain mencari rempah yang terdapat di rantau sebelah sini. Mereka membawa agenda 3G (gold, glory, gospel) melalui urusan perdagangan yang berpusat di Melaka. Kita tentunya tidak menyalahkan Melaka tetapi perlu belajar dari Melaka.

Kini dengan kepesatan teknologi komunikasi, proses pembudayaan boleh berlaku dengan begitu pesat. Kalau pada era kegemilangan Melayu dulu proses pembudayaan dilakukan oleh pedagang, kini proses yang sama berlaku kerana kepesatan teknologi.

Saya masih ingat ketika menjelang pesta alaf baru dulu, lebih 5,000 anak muda kita di Kuala Lumpur berbaris seawal pukul 3 pagi di hadapan sebuah pusat hiburan berjenama antarabangsa. Tujuannya hanyalah untuk mendapatkan 100 tiket percuma yang diedarkan untuk memeriahkan pesta sambutan alaf baru.

Kalau tidak silap pesta itu dihadiri oleh lebih 100,000 orang terutama remaja dari seluruh negara selain orang luar negara kerana dibuka kepada 150 negara seluruh dunia. Walaupun acara ini mencatatkan nama negara di peta antarabangsa mengenai sambutan alaf baru tetapi saya tidak gembira.

Proses pembudayaan ketika itu berlaku secara yang sangat tersusun. Cara hidup hedonisme dibawa masuk tanpa banyak pihak yang menyedarinya, birokrat pula sudah terlupa kerana ghairah menyambut kedatangan alaf baru.

Alaf baru berlaku begitu saja tanpa mengubah kita menjadi lebih berhati-hati dan memakukan jati diri pada tunggak budaya yang dimiliki. Jadi apa maknanya riuh-rendah melintasi abad 20 kepada abad 21 kalau secara spiritualnya kita tidak berubah apa-apa?

Bulan Ogos ini adalah bulan merdeka. Bulan ini pada saban tahun kita mengingatkan kembali detik kemerdekaan fasa pertama. Kemerdekaan fasa kedua tidak berlaku pada 31 Ogos tetapi terletak kepada sejauh mana kita mampu menangani proses pembudayaan yang menukar wajah dan jiwa kita.

Dulu Amerika Syarikat (AS) mengusulkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Tujuannya untuk membolehkan mereka memasuki pasaran negara-negara Dunia Ketiga. Tetapi pada masa yang sama ini membawa ideologi yang menjadi pemangkin kepada satu proses pembudayaan cara mereka.

Tanpa disedari, acara sambutan ulang tahun kemerdekaan pun sudah diresapi cara dan budaya yang dibawa dari luar. Cara menyambut ulang tahun kemerdekaan pun kita belum merdeka, bagaimana untuk mengecapi kemerdekaan? Kini proses pembudayaan menukar jiwa kita dilakukan oleh kalangan yang hampir dengan kita. Kita hanya mengikut kerana mahu menumpang kuasa politik mereka. Ah, malang sungguh kita pada era selepas kejatuhan empayar Melaka. Kita takut hendak berkata-kata kerana takut hilang kuasa.

0 comments: