Nafsu amarah tak dikawal hancurkan peribadi orang lain
Oleh Mohamad Abdullah
pro@notes.usm.my
PILIHAN raya datang lagi. Pastinya akan menyusul lagi agaknya beberapa pilihan raya kecil lain yang berlaku di negara kerana sebab yang tidak dapat dielakkan atau ada juga yang disengajakan. Setiap kali terjadi pilihan raya, kita dapat melihat bagaimana provokasi untuk menimbulkan amarah pengundi ditimbulkan.
Kejadian terbaru ditunjukkan seorang Ahli Parlimen jelas menunjukkan sesetengah pihak sengaja menimbulkan marah orang ramai, sekali gus berusaha pula memancing simpati. Sukar untuk ditelah, adakah ini satu budaya yang matang atau kebudak-budakan yang meresahkan masyarakat yang selama ini begitu tenang dan damai.
Ia juga mengingatkan kita kepada watak jenaka, tetapi bermakna dalam filem Tiga Abdul dengan watak Ahmad Nisfu sebagai Sadiq Sigaraga dan tipu helahnya bersama Salleh Kamil yang memegang watak ‘Tuan Penasihat Kassim Pantalon’ yang menggunakan strategi ‘siapa marah kena jual’.
Kita terus ketawa terbahak-bahak, namun hakikatnya sindiran jitu Tan Sri P Ramlee hanya tinggal sebagai jenaka. Strategi Ahmad Nisfu sentiasa mengena, malah dikuatkan lagi melalui sokongan anak gadisnya Hamidah (Mariani) dan Rafidah (Dayang Sofia) untuk menggoda watak Abdul Wahib (S Kadarisman) dan Abdul Wahab (Haji Mahadi) untuk menguasai harta peninggalan hartawan Ismet Ulam Raja (M Babjan).
Caranya ialah dengan membuat provokasi agar mangsa cepat marah. Yang untung tentu saja ‘Tuan Penasihat’ yang mengaut rezeki mudah daripada usaha dilakukan.
Provokasi demi provokasi dilakukan, akhirnya menyebabkan kedua-dua beradik itu dijual sebagai hamba. Strategi provokasi kemarahan melalui filem ini harus dipelajari.
Kita sudah pun menyaksikan babak jenaka ini dalam beberapa pilihan raya terutama di kalangan anak muda kita. Ia diulang berkali-kali dan sengaja ditonjolkan.
Walaupun agama mengajar kita menutup aib dan buruk orang lain, ia tetap digunakan untuk menimbulkan kemarahan yang akan dibalas dengan kemenangan pada pilihan raya, malah di kalangan mereka yang hebat amalan agamanya.
Kita sudah cukup lama menjadi masyarakat pemarah. Ada saja yang dimarahkan di rumah, di pejabat, di kompleks beli-belah, di jalan raya hatta dalam masjid sekali pun dan sesetengahnya hanya kerana gagal mengawal ego sendiri.
Dalam ruang siber pun kita melihat begitu ramai orang yang marah, termasuk di kalangan orang agama, cendekiawan, apatah lagi rakyat marhain, hanya kerana berbeza pendapat. Rasa marah ini diterjemahkan dengan kata-kata kesat seperti bapa iblis, tidak masuk syurga, maki hamun, mencarut dan sebagainya.
Jika orang agama dan berilmu sukar mengawal marahnya, apatah lagi orang biasa, anak muda dan mereka yang baru mengenal makna perjuangan hidup ini.
Tahap kemarahan jika tidak dikawal boleh menimbulkan kemusnahan yang bukan sedikit. Sikap amarah ini boleh menjadikan negara, agama dan bangsa tergadai, maruah hancur dan kemerdekaan yang dinikmati hilang maknanya.
Amarah mungkin dianggap sebagai satu proses biasa dilalui semua orang dan kita juga menerimanya sebagai satu perkara biasa. Hanya apabila seseorang bertindak di luar kebiasaan, maka masalah timbul, apatah lagi apabila membabitkan perubahan perasaan dan fizikal yang sangat ketara. Ia meledak dan perlu ditangani dengan bijaksana.
Amarah perlu diurus dengan betul dan bijak. Kita perlu kembali kepada agama, bersikap tenang, menyendiri seketika, berkongsi perasaan dengan rakan atau meminta khidmat profesional adalah antara langkah dicadangkan untuk mengatasi dan menguruskan nafsu amarah apatah lagi menjelang Ramadan al-Mubarak yang bakal menjengah kita.
Penulis ialah Timbalan Pendaftar di Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang
0 comments:
Post a Comment