Rohaizat dan kempen Permatang Pasir

Rohaizat dan kempen Permatang Pasir

Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my

ISU kelayakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman menjadi topik paling hangat di kalangan penulis blog minggu ini.

Ini berikutan tindakan para penulis blog propembangkang yang memanipulasikan isu peribadi calon tersebut manakala penulis prokerajaan pula menjawab pandangan tersebut.

Misbahul Munir (misabah.blogspot.com) misalnya mempersoalkan kelayakan Rohaizat sebagai calon BN pada pilihan raya kecil tersebut.

Tulis beliau, Presiden Majlis Peguam Negara, Ragunath Kasavan telah mengumumkan bahawa status peguam Rohaizat telah ditarik balik selepas dikaitkan dengan kes wang Koperasi Pekebun-pekebun Kecil.

''Rohaizat mesti menjelaskan segala kesangsian dalam kalangan pengundi DUN Permatang Pasir sekarang,'' tulisnya.

Bagaimanapun, Shamsul Yunos dalam Marahku (marahku.blogspot.com) menolak dakwaan pembangkang dengan menyertakan bukti surat pengesahan bahawa kes tersebut telah diselesaikan dan dakwaan ke atas syarikat guaman Rohaizat juga sudah pun digugurkan.

Dengan memetik blog www.pisau.net, penulis itu berpendapat, terserah kepada pembaca sama ada mahu mempercayai bukti yang diberikan itu atau sebaliknya.

''Ramai orang dan pemberi komen di sini menganggap Majlis Peguam propembangkang. Tidak hairanlah mereka mengambil tindakan sedemikian, tetapi ia adalah badan pengiktiraf para peguam,'' tulis beliau.

Shamsul dalam kemas kini kemudiannya menulis, selepas bekas rakan kongsi Rohaizat, Yusri Isahak yang mendakwa beliau menjadi kambing hitam dalam kes tersebut bertanya, apakah akhiran daripada isu berkenaan.

''Isunya pembangkang sekarang memainkan isu calon tersebut secara eksklusif yang bermakna mereka mengharapkan pengundi membuat keputusan berdasarkan isu tunggal tersebut.

''Pada masa yang sama penyokong UMNO mempersoalkan kenapa tiada seorangpun meneliti latar belakang calon, yang pastinya bukanlah terlalu sukar,'' tulisnya.

Penulis berkata, BN tidak belajar sama sekali daripada pilihan raya umum Mac tahun lalu dan enam kekalahan pilihan raya kecil sebelum ini.

Maria A. Samad dalam Tok Mommy (mariasamad.blogspot.com) mengutip kenyataan Yusri yang mempersoalkan calon BN itu kerana mendakwa tidak tahu menahu berhubung kes tersebut.

''Tidak benar sama sekali jika dia tidak mengetahui tentang transaksi wang dan tanah koperasi tersebut.

''Selain saya, dia juga salah seorang penanda tangan perjanjian tersebut,'' tulis Maria memetik kenyataan Yusri.

Bagi penulis Putra Merdeka (politikputramerdeka.blogspot.com), beliau menganggap pembangkang takut dengan kekuatan calon BN itu sehingga mereka membuat serangan peribadi ke atasnya.

''Apa masalah Pas dan pembangkang dengan Rohaizat? Tidak lain dan tidak bukan ia kerana sebagai anak tempatan Rohaizat diterima dan dikenali ramai,'' tulisnya.

Kata beliau, Rohaizat ialah anak Melayu yang faham, sedar dan insaf akan keperluan serta kehendak bangsanya yang masih memerlukan pembelaan.

Sementara itu, penulis Paneh Miang (paneh.blogspot.com) pula menganggap jika BN tewas di Permatang Pasir, ia bukanlah disebabkan oleh isu Rohaizat.

Sebaliknya, tulis beliau, ia disebabkan oleh sikap para pemimpin akar umbi UMNO yang lebih banyak mengekori pemimpin tertinggi parti berbanding mengadakan kempen.

''Pimpinan serta ahli MCA dan MIC di Permatang Pasir (pula) hanya membiarkan UMNO melakukan hampir kesemua kerja tanpa mengambil bahagian dalam kempen secara proaktif.

''Siri ceramah dan kempen dari rumah ke rumah yang dilakukan BN tidak diatur dengan sempurna manakala BN juga kekurangan barisan penceramah berkemahiran yang dilengkapi fakta,'' kata beliau.

Tulisnya, kurang perhatian terhadap pengundi BN tegar berbanding pengundi atas pagar juga boleh menyumbang kepada kekalahan BN memandangkan mungkin ramai yang berkecil hati.

0 comments: