Enam faktor jadikan usaha pulih Sungai Klang bukan mustahil

Enam faktor jadikan usaha pulih Sungai Klang bukan mustahil

Oleh Prof Datuk Zaini Ujang

SEJAK kecil saya begitu intim dengan sungai. Rumah keluarga saya di Kampung Inas, Johol, Negeri Sembilan hampir dengan dua sungai tempat saya sering bermandi-manda dan mengail ikan. Ketika kecil, kami tinggal di Kuala Terengganu, ayah saya menyewa rumah di muara Sungai Takir.

Malah, banyak hal kehidupan saya berkaitan sungai. Saya beristerikan Dr Zainah Moktar, dari Kuala Sungai Baru, Melaka. Sepanjang kerjaya saya, banyak kajian dilakukan mengenai sungai termasuk Sungai Klang, Sungai Linggi, Sungai Segget, Sungai Tembrau dan Sungai Skudai.

Satu daripada koleksi buku saya ialah berkaitan sungai, sama ada buku saintifik, ‘coffee table’ atau apa saja yang tertera sungai pada tajuk buku itu. Saya turut mengumpul novel atau puisi berkaitan sungai. Novel Sasterawan Negara A Samad Said berjudul Sungai Mengalir Lesu amat menyayat, bukan saja mengenai sungai yang ‘mengalir lesu’ bahkan berkaitan masyarakat di pinggiran sungai, mangsa Perang Dunia Kedua.

Latar belakang itu menyebabkan saya begitu sedih setiap kali melalui Sungai Klang, sungai sepanjang 120 kilometer (km) dalam lembangan seluas 1,288 km persegi yang mengalir melalui Kuala Lumpur (40km) dan Selangor (80km). Sungai yang mempunyai 11 anak sungai itu bersambung dengan Sungai Gombak menjadi pusat permulaan Kuala Lumpur.

Sungai itu juga menyediakan sumber air menerusi tiga empangan utama, iaitu Empangan Klang Gates, Batu dan Tasik Subang. Sungai yang mengalir di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur itu sudah lama tercemar.

Pemaparannya memang sudah sebati dengan impak serta imej negatif terhadap kualiti alam sekitar. Airnya keruh bagai susu dan kadangkala - pada anak sungai tertentu - penuh sampah-sarap. Ketika ini peranan Sungai Klang hanya sebagai penerima limpahan air hujan dan air kumbahan terawat untuk dialirkan ke laut. Peranannya juga ketara dari segi penebatan banjir.

Sebelum ini banyak cadangan dikemukakan pelbagai pihak, namun, kesannya tidak menyerlah. Bagi sesetengah pihak, tidak berjaya. Pada hemat saya, hal ini sedemikian kerana kurang komitmen, pelaksanaan tidak menyeluruh dan model kewangan tidak lestari.

Sehubungan itu, saya mencadangkan penubuhan sebuah pasukan khas yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri. Saya juga mencadangkan agar Majlis Kualiti Alam Sekeliling (EQC) Malaysia diberi peranan sebagai sekretariat untuk memastikan Sungai Klang dapat dipulihkan.

Pasukan itu perlu untuk merungkai masalah pelaksanaan khususnya berkaitan penyelarasan antara pelbagai agensi. Kejayaan memulihkan Sungai Klang penting dan akan menjadi mercu tanda keupayaan negara dari segi teknikal, kewangan dan urus tadbir alam sekitar sebagai pusat rekreasi, pemangkin pertumbuhan ekonomi, penebatan banjir, malah sumber air.

Hal sama sudah dilaksanakan dengan jayanya di Sungai Kalang, Singapura dan Seoul, Korea Selatan. Untuk menjayakan hasrat itu, pada hemat saya, enam faktor kejayaan perlu diberi keutamaan, iaitu:

l Memperbaiki tahap kecekapan dan keberkesanan sistem kawalan pencemaran berpusat sama ada loji rawatan kumbahan atau loji rawatan air sisa industri;

l Menyediakan sistem bersepadu kawalan pencemaran tidak berpusat membabitkan sistem saliran hujan dan air kumbahan tidak bersambung dengan pembetungan berpusat;

l Memastikan sistem pemungutan sampah lebih cekap;

l Sistem pemantauan dan penguatkuasaan lebih bersepadu dan berkesan, misalnya menggunakan kaedah telemetrik;

l Penyertaan masyarakat lebih proaktif mengamalkan budaya lestari, dan

l Model kewangan lestari

Saya yakin keupayaan dan kepakaran tempatan ketika ini memang boleh melaksanakan program pemulihan Sungai Klang. Apa yang diperlukan ialah kaedah pelaksanaan efektif dan efisien di samping keazaman politik, penyediaan dana, dokongan seluruh agensi berkaitan dan kerjasama orang ramai.

Pada hemat saya, memulihkan sungai tidak memerlukan kepakaran sains roket dan memadai dengan pembabitan serta komitmen semua pihak, termasuk pembabitan pakar, jurutera dan pengurus alam sekitar tempatan yang ketika ini melebihi 1,000 orang.

Bayangkan Sungai Klang bersih dan airnya jernih. Di kedua-dua tebingnya ada laluan pejalan kaki sepanjang 120 km. Setiap pagi dan petang warga sekitarnya beriadah dan bersantaian. Pelancong sibuk beraksi di hadapan kamera.

Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan penerima Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik

0 comments: