Malapetaka timpa Taiwan

Malapetaka timpa Taiwan


KEADAAN sebuah hotel yang ranap akibat taufan Morakot.


TAUFAN Morakot yang menyebabkan hujan lebat melanda Taiwan pada pertengahan minggu lalu telah mencetuskan fenomena banjir besar yang menenggelamkan sebahagian besar kepulauan itu.

Tragedi hitam itu menyebabkan air naik melimpah sehingga dua meter. Ia juga merupakan bencana banjir terburuk di negara itu dalam tempoh lima dekad.

Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou yang membuat pemeriksaan di kawasan operasi bantuan di daerah Tainan berkata, Amerika Syarikat (AS), Jepun, China dan Singapura masing-masing menawarkan bantuan kewangan.

"Kami mengalu-alukan semua bentuk bantuan dan kami juga sangat memerlukan peralatan terutama helikopter untuk membawa segala keperluan ke lokasi kejadian," kata Ma.

Hujan lebat yang berhenti seketika membolehkan helikopter tentera berulang alik membawa keluar mangsa-mangsa yang terselamat dari kawasan perkampungan ke Cishan.

Bagi seorang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yu, katanya, dia begitu risau berhubung keselamatan ahli keluarganya yang masih terperangkap di kediaman masing-masing.

"Ahli keluarga saya masih ramai terperangkap di sana. Mereka tidak boleh menunggu lama. Bila hujan nanti, bukit-bukau di sekitar kampung akan runtuh," katanya yang berasal dari Kampung Kaochung.

Sementara itu, pihak tentera melaporkan, terdapat kira-kira 1,000 perkampungan di Shiao Lin mengalami kemusnahan paling dahsyat sejak berlakunya ribut taufan tersebut.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 300 orang dari kawasan itu berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat tentera udara, kata jurucakap operasi bantuan, Kolonel Chang Kua-bin.

Pasukan penyelamat telah dikerah ke tempat kejadian dengan mengharung sungai bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap setelah jambatan di Kampung Hsinfa, Kaohsiung runtuh.

Taufan Morakot mula membadai Filipina sebelum menuju ke Taiwan dan kemudian bergerak ke timur laut China yang mula terbentuk sejak 2 Ogos lalu.

Rumah dan hotel tenggelam

Kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat yang dibawa oleh taufan Morakot itu menenggelamkan tujuh buah rumah di timur Taiwan. Dalam kejadian itu, dua orang dilaporkan terbunuh.


KEPALA patung Buddha hanyut dibawa arus deras banjir.


Selain itu, daerah Shanghai menerima hujan lebat selepas Morakot melanda pantai tenggara China yang menyebabkan pemindahan hampir sejuta orang dengan seorang terbunuh.

Bagaimanapun, taufan itu diturunkan kepada tahap ribut tropika ketika menghampiri Shanghai, tetapi masih dianggarkan akan membawa hujan melebihi 90 milimeter setiap jam di bandar terbesar China itu serta utara wilayah Zhejiang, Jiangsu, Shandong dan Anhui.

Lebih 3.4 juta penduduk Zhejiang kehilangan harta benda ekoran banjir melanda di beratus-ratus perkampungan dan lebih daripada 1,800 rumah runtuh, lapor agensi berita Xinhua yang memetik sumber dari Kawalan Banjir Wilayah dan Ibu Pejabat Bantuan Kemarau.

Lebih memeranjatkan, sebuah hotel enam tingkat tumbang ke dalam sebatang sungai akibat hakisan banjir semasa taufan Morakot melanda Taiwan.

Beberapa pegawai berkata, seramai 300 penghuni hotel yang terletak dalam wilayah Taitung itu selamat selepas mereka berjaya dipindahkan sebelum ia runtuh.

Taufan terburuk ini turut melanda kawasan pantai timur China selepas hampir satu juta penduduk sekitarnya dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

Di China, pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan lebih daripada 21,190 orang dari rumah masing-masing di wilayah Fujian, tenggara China sebelum negara itu dilanda taufan Morakot.

Agensi berita Xinhua melaporkan, seramai 473,300 penduduk di wilayah pesisiran pantai Zhejiang dipindahkan, sementara 480,000 lagi dipindahkan ke wilayah Fujian.

Lebih daripada 35,000 kapal pula diminta kembali ke pelabuhan ekoran ribut semakin hampir dengan membawa hujan lebat serta angin kencang, lapor Xinhua yang memetik sumber dari ibu pejabat kawalan banjir wilayah, Zhejiang.


DUA penduduk melihat kayu yang hanyut akibat banjir besar daripada taufan Morakot.


Beberapa lebuh raya di wilayah itu turut ditutup sebagai langkah berjaga-jaga. Begitu juga, beberapa bahagian di Fujian dilaporkan mencatat jumlah hujan sebanyak 30 sentimeter sejak awal taufan Morakot membadai.

Pusat Biro Cuaca di Taiwan menjelaskan mata taufan itu kini berada 220 kilometer di tenggara daerah Yilan, timur Taiwan dengan angin selaju 144 kilometer sejam dan bergerak ke arah barat dengan kelajuan 15 kilometer sejam.

Ragut nyawa pelancong

Taufan Morakot yang menggoncang Manila turut melibatkan dua pelancong Perancis, antara sekurang-kurangnya 10 orang yang terbunuh apabila hujan lebat daripada taufan itu meruntuhkan daik.

Ia seterusnya menyebabkan tanah runtuh serta banjir besar di bandar-bandar serta perkampungan di utara Filipina.

Kumpulan pelancong Perancis dan Korea Selatan itu sedang mendaki Gunung Pinatubo dengan menaiki tiga buah kenderaan apabila tanah runtuh menutup laluan sehingga memerangkap salah sebuah kereta mereka.

Kawasan kaki gunung di wilayah Zambales, barat Manila itu adalah yang paling teruk terjejas.

Taufan ini menyebabkan kerosakan pertanian kira-kira NT$7.2 bilion (RM787.5 juta) serta menyebabkan hampir 30,000 rumah terputus bekalan elektrik dan 750,000 lagi terputus bekalan air bersih.

0 comments: