Hikmah di sebalik krisis gula

Hikmah di sebalik krisis gula

Oleh AZNAN BAKAR

SEORANG rakan baru-baru ini memberitahu, dia menerima panggilan daripada keluarga di kampung. Mereka mengadu mengenai masalah bekalan gula.

Sebagai kakitangan media, dia diminta mendedahkan masalah itu yang kononnya berpunca daripada sikap peniaga yang menyorok bekalan.

Alasan tersebut ada rasionalnya. Setiap tahun menjelang musim perayaan, krisis bekalan gula pasti berulang. Apabila berlaku, riuh rendahlah rakyat bersuara dan meminta pihak berkuasa melakukan sesuatu termasuk menghukum mereka yang menjadi punca kepada masalah itu.

Jika mengambil kira pandangan rakan tadi, krisis gula itu sepatutnya dianggap satu rahmat. Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan penggunaan gula.

Disebabkan pengambilan berlebihan, setiap seorang daripada lapan penduduk negara ini disahkan menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.

Kajian mendapati, 1.6 juta rakyat yang berusia 30 tahun ke atas menghidap diabetes. Malah jumlah itu meningkat 80 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu, iaitu daripada 8.3 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006.

Lebih membimbangkan, satu pertiga atau kira-kira 600,000 mereka yang menghidap diabetes tidak sedar bahawa mereka diserang penyakit itu.

Jika tidak dikawal di peringkat awal, pesakit akan berdepan dengan komplikasi strok, buta, sakit jantung, buah pinggang dan sebagainya.

Sebab itu, dengan berlakunya krisis gula ini, ia diharap dapat membantu dan menyedarkan rakyat untuk mengurangkan penggunaan gula.

Kalau dilihat cara penduduk Malaysia mengambil gula, ia boleh dianggap mengerikan. Setiap hari, dari pagi hingga ke tengah malam, penduduk kita mengambil gula. Yang disahkan ada diabetes pun masih mahukan gula dalam makanan dan minumannya.

Kadang-kadang dilakukan secara sedar, adakalanya tidak sedar. Teh tarik dan kuih-kuih manis ketika sarapan banyak menggunakan gula. Begitu juga dengan makan tengah hari dan malam. Hampir setiap makanan dan minuman mempunyai kandungan gula yang tinggi terutama yang menggunakan susu pekat manis.

Jadi, tidak hairan jika kajian menunjukkan secara purata rakyat Malaysia mengambil 25 sudu teh atau 125 gram gula sehari. Jumlah itu bersamaan dengan 3.75 kilogram atau 750 sudu teh sebulan.

Hasilnya, Kementerian Kesihatan merumuskan, kira-kira 95 peratus rakyat dikategorikan sebagai mereka yang berhadapan dengan masalah ketagihan gula.

Kerajaan sepatutnya mengambil kesempatan daripada krisis gula ini untuk mendidik masyarakat supaya mengurangkan pengambilannya. Inilah juga ketikanya untuk orang ramai belajar mengurangkan penggunaan gula demi hidup lebih sihat.

Jika sebelum ini teh tarik merupakan menu tetap pada pagi, petang dan malam, cubalah beralih kepada minuman yang lebih menyihatkan seperti jus buah dan sebagainya.

Sebab itu ada yang berpendapat, eloklah jika gula kurang di pasaran. Jika ada peniaga dan pemborong yang menyorok gula untuk tujuan mengaut keuntungan, maka boikot sahaja golongan itu kerana gula lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Setiap rakyat sepatutnya menggunakan krisis ini sebagai kesempatan mengubah cara hidup yang terlalu bergantung kepada gula.

Jika setiap daripada penduduk negara ini mengambil gula secara berpatutan dan bukan berlebih-lebihan, krisis ini pasti tidak akan berlaku. Malah ia turut menggalakkan cara hidup sihat di kalangan setiap anggota masyarakat.

0 comments: