Pelarian Myanmar sanggup meredah hutan selepas tengah malam selama sebulan sebelum sampai ke Malaysia.
"SAYA pernah dipenjarakan selama dua minggu. Saya dibogelkan, tidak diberi makan dan dipaksa menurut segala arahan mereka. Jika tidak, saya akan dipukul sampai lembik.
"Ada suatu ketika, demi nyawa dan memikirkan keselamatan ahli keluarga, saya terpaksa minum air daripada perahan tuala wanita terpakai," luah Tantiana, 24, warga Myanmar yang mendakwa ditindas di tanah airnya sendiri.
Mengakui hidupnya sering dibayangi ketakutan, ibu kepada seorang anak ini terpaksa melarikan diri dan menyusup masuk ke Malaysia melalui jalan darat pada tahun 2007.
Selaku pendokong kuat sebuah persatuan wanita yang lantang bersuara, Tantiana memang sudah lama menarik perhatian pihak junta tentera.
"Saya ditahan atas tuduhan menyebarkan agama Kristian kepada penganut Buddha sedangkan saya cuma memperjuangkan hak wanita.
"Selepas dua minggu ditahan, akhirnya saya dilepaskan dari penjara dengan bantuan komuniti Kachin selepas membayar sejumlah wang tunai.
"Memandangkan keselamatan sering diancam, saya dan keluarga mengumpul wang untuk dibayar pada ejen dengan harapan saya dapat lari dari Myanmar.
"Dari kampung, saya mengikut ejen tersebut ke Yangoon sebelum menyeberang negara Thailand menggunakan laluan darat. Kami naik bas, kereta api, van dan berhari-hari berjalan kaki di dalam hutan untuk sampai ke sempadan Malaysia.
"Perjalanan yang mengambil masa berminggu-minggu itu merupakan pengalaman yang menakutkan kerana saya tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan pada bila-bila masa saya boleh ditahan.
"Saya juga khuatir ada mata-mata tentera Myanmar yang mengekori saya," katanya.
|
|
|
|
Etnik Chin yang berasal dari negeri Chin di barat Myanmar merupakan satu daripada lapan etnik utama di negara itu. Kebanyakan etnik Chin beragama Kristian.
Seperti juga komuniti lain, mereka menjadi pelarian kerana tidak tahan dengan layanan keras rejim tentera. Sehingga November tahun lalu, terdapat kira-kira 48,000 pelarian dan pemohon suaka politik yang mendaftar di Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur.
Daripada jumlah itu, 44,000 berasal dari Myanmar dengan 16,150 atau 37 peratus adalah etnik Chin. Sebanyak 15,400 merupakan pelarian Rohingya manakala 4,000 lagi adalah rakyat Myanmar yang beragama Islam.
Bagi seorang lagi warga Myanmar, Mumu, 33, pendidikan tinggi yang dimilikinya sering dijadikan alasan oleh pihak tentera untuk mencari kesalahan dan menuduhnya mengingkari undang-undang walaupun apa yang dilakukannya hanya untuk meningkatkan taraf hidup etniknya.
"Apa yang saya dan rakan-rakan cuba lakukan hanya untuk mengadakan satu sistem bekalan air bersih, pendidikan dan kesihatan yang sempurna di kawasan penempatan kami.
"Namun, pihak tentera melihat ia sebagai satu ancaman kerana menurut mereka, apabila rakyat berpersatuan dan berkumpul, ia mampu membangkitkan semangat juang yang akhirnya menentang kerajaan," katanya yang sudah hampir dua tahun berada di negara ini.
Menceritakan detik dia melarikan diri, Mumu berkata pada malam itu sekumpulan penduduk kampung mengadakan satu upacara keagamaan bagi memperingati kematian abangnya.
Namun, pihak tentera yang melalui kawasan tersebut menuduh mereka sedang melakukan pembaptisan terhadap penduduk setempat.
"Apabila ada orang memberitahu tentera junta datang dan mengancam untuk menahan kami, semua orang lari bertempiaran. Saya berjaya meloloskan diri, namun ramai juga yang ditahan.
"Sepanjang malam, saya bersembunyi di dalam semak dan berjalan ke rumah rakan untuk mendapatkan perlindungan. Kami kemudian membuat keputusan untuk meninggalkan Myanmar menggunakan khidmat ejen kerana pada masa itu nyawa kami dalam bahaya.
"Kami hanya berjalan selepas tengah malam. Pada waktu siang, kami terpaksa menyorok di dalam hutan.
"Malaysia menjadi pilihan kerana keadaan di sini tenang dan kami boleh keluar bekerja.
"Jika di Thailand, kami mungkin terpaksa tinggal di kem pelarian dan biara Buddha. Kami juga diberitahu, Thailand menganggap pelarian Myanmar sebagai ancaman keselamatan, sebab itu kami pilih untuk ke sini.
Perjalanan ke Malaysia mengambil masa selama lebih sebulan kerana terpaksa berhenti dari satu lokasi ke satu lokasi untuk mengambil pelarian lain dan hanya memulakan perjalanan apabila yakin keadaan benar-benar selamat.
"Kami tidur berhimpit-himpit di dalam bilik yang bercampur lelaki dan perempuan.
"Walaupun sangat tidak selesa, saya sedikit lega apabila berjaya melepasi sempadan negara demi negara," katanya yang kini mengajar di sebuah sekolah komuniti di Kuala Lumpur.
0 comments:
Post a Comment