Menu kempen peralatkan Nik Aziz

Menu kempen peralatkan Nik Aziz

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my

BAYANGKAN reaksi umum jika ungkapan 'menate' (binatang) dan 'aku' keluar dari mulut pemimpin UMNO untuk membidas Pas dan para pemimpinnya hanya kerana terdesak untuk menang dalam kempen pilihan raya.

Namun bagi kalangan penyokong Pas, kata-kata kesat, penuh penghinaan yang keluar daripada mulut Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekadar disambut dengan gelak ketawa yang menyeronokkan.

''Sedap dia berucap, apa yang dikata itu kena tafsir sendiri," ujar seorang aktivis parti itu yang mendekati kami ketika menceritakan ceramah Nik Aziz di Manek Urai beberapa hari lalu.

Dalam siri ceramahnya, kembali dicetuskan ialah soal kafir dan sesatnya UMNO untuk dijauhi orang Melayu/Islam, sedangkan apa makna persahabatan dengan DAP yang bagaikan 'diislamkan' Pas ketika rakan karibnya itu menentang impian 'Islam yang memerintah'.

Nik Abdul Aziz seolah-olah bermati-matian bagi memastikan kemenangan Pas, seolah-olah juga, inilah penentu kerjaya politik dan jatuh bangun maruahnya yang masih dijulang tinggi.

Beliau tidak boleh dimalukan lagi setelah barisan kepimpinan Pas negeri Kelantan ditolak tepi dalam muktamar parti bulan lalu.

Justeru bukan mengejutkan apabila Nik Abdul Aziz muncul dalam himpunan peniaga ikan yang membantah kononnya Barisan Nasional (BN) memperkecil calon parti itu yang hanya berpendidikan rendah.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai berlaku ketika landskap politik makin berubah dan dengan gambaran yang diberikan oleh Penasihat Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menunjukkan betapa pengaruh Nik Aziz amat diperlukan.

Malah Wan Abdul Rahim seronok mengulangi apa yang telah dilaporkan oleh lidah rasmi parti itu dengan berkata, "Di Manek Urai, saya dengar seorang imam mukim kata dia tengok muka Nik Abdul Aziz dapat pahala, boleh jadi betul atau tidak kata dia, tetapi itu gambaran bagaimana penghormatan terhadap Tok Guru".

Ia membayangkan ketaksuban yang tinggi. Dalam kelompok masyarakat perkampungan tradisional itu tentunya Pas perlu memanipulasikan sepenuhnya batang tubuh Nik Abdul Aziz, sesuatu yang jarang berlaku.

Pada masa ini, sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu yang bakal mendapat wakil rakyat baru pada 14 Julai ini pasti akan melihat wajah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka itu di mana-mana sahaja.

Sama ada dalam posisi tergantung, tertampal atau terjuntai dengan pelbagai reaksi dan emosi - sedang ketawa, tersenyum, merenung tajam dan menadah tangan berdoa dan merintih. Tidak cukup dengan sepanduk, poster, stiker, baju T, botol air minuman juga tertera wajahnya selain di pelbagai produk barangan cenderahati yang dijual.

Ia bagaikan pertandingan antara Nik Abdul Aziz dengan Tuan Aziz yang mewakili BN dan bukannya, Mohd. Fauzi Abdullah.

Kelantangan Nik Abdul Aziz dalam ceramah sememangnya dihasratkan oleh Pas yang dijadikan strategi mengangkat bola tanggung untuk 'dilibas' oleh BN, dengan harapan bulu tangkisnya nanti akan terlekat dijaring atau pun tersasar gelanggang.

Strategi bola tanggung itu diakui oleh Pas yang percaya tindakan UMNO 'menyentuh' Nik Abdul Aziz dalam kempen Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai akan lebih menguntungkan parti itu.

Wan Rahim secara terbuka mengakui ia merupakan strategi parti tersebut kerana penduduk di Kelantan khususnya Manek Urai menganggap serangan balas terhadap pemimpin itu akan menguntungkan Pas.

Adalah menjadi menu wajib bagi setiap penceramah Pas atau pakatan pembangkang untuk mengangkat keperibadian dan kewarakan Nik Abdul Aziz seolah-olah tiada tandingan. Keperibadian sebenarnya kian terserlah.

0 comments: