Minda Pengarang: Rakyat mesti bantu Najib bangun negara

Minda Pengarang: Rakyat mesti bantu Najib bangun negara

BERUCAP pada majlis sambutan 100 hari menjawat jawatan Perdana Menteri, kelmarin, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman yang tidak diduga. Beliau hadir dengan 11 hadiah untuk rakyat pelbagai peringkat. Jika hari pertama menjadi Perdana Menteri pada 4 April lalu, beliau turun padang bertemu dengan rakyat di kawasan perniagaan Brickfields dan penempatan penduduk Bukit Kerinchi, Kuala Lumpur, kelmarin beliau membuat pengumuman bermakna dan memberi manfaat besar kepada rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah. Yang pasti, pengumuman itu tidak ada kaitannya dengan pakej rangsangan pertumbuhan ekonomi. Sebelas hadiah mesra rakyat itu melegakan semua pihak sama ada di bandar atau di luar bandar. Najib memberi perhatian kepada semua rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Walaupun sebelum ini mereka sudah mendapat peruntukan pembangunan yang besar, sekali lagi rakyat di negeri terbabit diberi 'habuan' mengatasi masalah bekalan elektrik, air dan pembinaan jalan luar bandar dan di kawasan pedalaman yang sebelum ini tersisih daripada arus pembangunan. Bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana di bandar, pengumuman diskaun 20 peratus bayaran tol bagi pemegang kad Smart Tag dan Touch'n' Go yang menggunakan lebih 80 kali atau lebih sebulan, tentu sekali melegakan. Begitu juga langkah menjual 44,000 rumah rakyat kepada mereka yang menyewanya dan potongan 50 peratus bagi penjaja kecil memperbaharui lesen kecil di Wilayah Persekutuan tentunya dapat mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi selama ini.

Tindakan kerajaan menambah 3,000 lagi permit teksi individu dijangka mampu mengatasi masalah pengangkutan awam, selain memberi peluang kepada pengusaha baru menceburi bidang berkenaan. Najib yang sebelum ini banyak memperkenalkan pelbagai program dan pendekatan baru sama ada dari segi ekonomi atau sosial dalam tempoh tiga bulan 10 hari pentadbirannya ternyata mampu meneruskan agenda pembaharuannya drastik yang kini diterima rakyat. Rakyat menyambut baik pengumuman berkenaan, malah langkah memperkenalkan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz unit 10 bilion yang dikendalikan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan merancakkan lagi industri saham amanah di negara ini, terutama bagi pelabur yang tidak berani menanggung risiko. Kerajaan Persekutuan juga serius menangani masalah kelambatan pengeluaran surat kelahiran, terutama kepada penduduk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Kita jangkakan masalah kelambatan pendaftaran kanak-kanak suku Penan dan Orang Ulu di Sarawak dan Murut serta penduduk di pulau terpencil di Sabah, akan dapat diselesaikan serta-merta. Untuk menangani masalah remaja tidak berlesen menunggang motosikal tindakan mengurangkan bayaran latihan kepada RM211 berbanding lebih RM500 sebelum ini, dilihat sebagai langkah wajar.

Kita yakin dengan kegigihan Najib dan jemaah Kabinetnya yang mahu melihat perubahan jelas kepada hala tuju negara, ia perlu sokongan rakyat bagi mencapai matlamat berkenaan. Sudah sampai masanya, kita berhenti berpolitik dan bersandiwara yang tiada berpenghujung, sebaliknya memberi tumpuan membangunkan negara. Dalam pada itu, kita berharap hadiah 100 hari Najib dapat dilaksanakan segera dan telus sampai ke sasaran bagi membolehkan rakyat menikmatinya.

0 comments: