Keprihatinan Perdana Menteri

Keprihatinan Perdana Menteri

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

ADAT orang Malaysia menerima hadiah, kita diajar tidak menuntut bentuk hadiah tetapi kita dididik oleh budaya kita untuk menerima apa saja hadiah yang diberikan orang secara ikhlas.

Hadiah ini bukan diberikan oleh sebarangan orang tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri.

Satu hadiah sudah memadai namun pemberian 11 hadiah yang merangkumi hadiah untuk setiap golongan rakyat amat melegakan.

Paling melegakan kita sebagai pengguna lebuh raya ialah diskaun 20 peratus bagi pengguna SmartTag dan Touch 'n Go yang menggunakan lebuh raya 80 kali atau lebih sebulan.

Kos untuk bergerak mencari rezeki ini adalah kos yang langsung tidak boleh dikompromi dan mencerminkan keprihatinan PM dalam soal ini.

Tambahan bagi penganggur dan pekerja bahagian pemasaran yang terpaksa bergerak lebih aktif dalam suasana perniagaan semakin sengit masa kini.

Hadiah ini mungkin kecil dan tidak memberi impak kepada golongan kaya dan golongan yang tidak menggunakan lebuh raya tetapi bagi yang kurang berpendapatan hadiah ini lebih dari syukur dipanjatkan.

Bagi usahawan yang baru dan lama pinjaman TEKUN yang ditambah peruntukannya sebanyak RM150 juta amat dialu-alukan.

Realitinya pinjaman TEKUN sedikit sebanyak dilihat mampu mengekang masalah ah long dan ceti haram yang sedang diperangi oleh pihak berkuasa.

Usaha Perdana Menteri ke arah menjana ekonomi rakyat marhaen dan semua peringkat rakyat wajar dilihat sebagai suatu perlaksanaan dasar Satu Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Walaupun ada pihak yang akan memandang sinis hadiah dari Perdana Menteri ini namun kita sebagai rakyat sudah matang dan telah dididik untuk menilai secara tersurat dan tersirat setiap langkah positif yang dibuat semata-mata memantap ekonomi semua golongan rakyat.

Rakyat juga harus sedar siapa yang cuba mengganggu-gugat keharmonian negara sejak PRU 12 tahun lepas. Perhimpunan rakyat di KLCC mencerminkan semangat anak-anak muda untuk bangun gagah memakmurkan negara.

Anak-anak muda era ini bijak menilai antara kaca dan permata dan setiap tindak-tanduk pihak-pihak yang cuba menjejaskan perpaduan negara perlu diberi isyarat jelas oleh mereka bahawa tiada ruang untuk mereka berbuat demikian di negara ini.

Sikap pemimpin yang bertopengkan agama, perjuangan keadilan dan memutar-belit sejarah perlu disedari oleh rakyat hari ini bahawa Kerajaan BN yang ada, membawa visi dan misi yang sama seperti pemimpin terdahulu untuk mentadbir negara yang unik ini dengan kepelbagaian adat dan budaya tanpa ada sikap pilih kasih.

Hadiah paling bermakna yang amat diharapkan oleh rakyat ialah agar jenayah seperti ragut dan sewaktu dengannya dapat dihapuskan dari muka bumi Malaysia ini.

Mungkin usaha ini akan gagal jika kita sendiri bersikap tidak prihatin membantu usaha Perdana Menteri dengan melakukan langkah pencegahan dan membantu mangsa ragut setakat yang terdaya.

Kisah ragut ini telah mengundang banyak kisah sedih hingga mengundang kepada kematian dan kehilangan orang tersayang. Keprihatinan Perdana Menteri dan azam beliau untuk mengatasi masalah sosial ini perlu diberi sokongan dan dukungan.

11 hadiah yang diberi sempena hari ke 100 pentadbiran Perdana Menteri dilihat sebagai tambahan kepada hadiah-hadiah yang telah diberi sebelum ini.

Mungkin ada yang beranggapan pemansuhan PPSMI pada 2012 hadiah yang pra-matang dan bukan pelaksanaan segera namun dasar itu perlu diberi ruang untuk dimansuhkan mengikut kaedah yang sepatutnya.

Seperti pinta Timbalan Perdana Menteri biarlah dasar PPSMI habis satu pusingan sebelum diucap selamat tinggal. Tidak perlulah penulis mapan berdemonstrasi hanya kerana PPSMI lambat dimansuhkan, biarlah kita berjuang dengan pena hingga ke titisan dakwat terakhir kerana dari situ kekuatan penulis lahir bukannya daripada sentimen yang akan mengundang padah.

Hadiah daripada Perdana Menteri amat bermakna buat rakyat semua. Ia datang dengan kadar dan nilai yang wajar buat kita. Maka kita pandai menerima dan meminta apa yang diberi mengikut adab dan tatacara rakyat Malaysia.

Jika orang memberi dengan tangan kanan perlu disambut dengan tangan kanan. Keikhlasan Perdana Menteri dan kerajaan telah dilihat dalam 100 hari pentadbiran beliau. Meragui pemberian hadiah bukanlah adat kita.

Orang berbudi kita berbahasa orang memberi kita merasa. Jika sudah diberi hadiah sebagai rakyat hanya dua perkataan yang dapat menunjukkan kesyukuran kita. Terima kasih daun keladi.

0 comments: