Konflik isu Kampung Buah Pala perlu ditangani segera

Konflik isu Kampung Buah Pala perlu ditangani segera
Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my

PENDUDUK Kampung Buah Pala mengharapkan kerajaan negeri bertindak segera mengatasi masalah mereka.

Kerajaan Pulau Pinang wajar berbincang dengan pemaju untuk rangka formula pampasan penduduk

"KAMI berharap Ketua Menteri dan kerajaan Pakatan Rakyat membela perkampungan 'High Chaparral' yang berusia 100 tahun seperti dijanjikan." Begitulah suara hati penduduk Kampung Buah Pala yang kini berada di persimpangan, sama ada kekal di kampung yang diwarisi daripada nenek moyang sejak lebih seabad lalu, atau mencari penempatan baru.

Rayuan kira-kira 300 penduduk itu terpampang di atas satu kain pemidang yang tergantung di pintu masuk perkampungan itu, yang kini terus berjuang untuk mempertahankan penempatan berkenaan.

Walaupun undang-undang jelas menunjukkan mereka mesti mengosongkan tanah seluas 2.6 hektar yang dimiliki Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum 3 Ogos ini, tetapi 23 keluarga bertekad untuk kekal di situ.

Bagi penduduk, mereka adalah pemilik tanah itu selepas Helen Margaret Brown memberikannya kepada nenek moyang mereka sebelum merdeka, tetapi tanah itu sudah dijual kepada koperasi oleh kerajaan negeri terdahulu pada harga yang lebih rendah daripada nilai pasaran. Lantaran itu mereka tetap dengan pendirian tidak akan berpindah dari perkampungan yang dianggap sebagai satu-satunya kampung tradisi masyarakat India di negeri ini.

Kini penduduk masih menjalani kehidupan seharian seperti biasa walaupun hari-hari terakhir mendiami perkampungan yang dikenali sebagai 'High Chaparral' Pulau Pinang' semakin hampir.

Ahad lalu, mereka mengadakan upacara walakappu iaitu acara tradisi masyarakat India untuk menanti kelahiran bayi. Ia bagi meraikan S Nalani, 30, yang bakal melahirkan bayi sulungnya, yang juga generasi keenam di perkampungan itu.

Suami Nalani, S Kumar, 29, tidak menampakkan wajah risau mengenai nasib masa depan kampung mereka, sebaliknya yakin anak sulungnya yang bakal dilahirkan tidak lama lagi akan dapat menyambut hari jadi pertama tahun depan di kampung itu.

Apapun, menyusuri perkampungan yang terletak di kawasan berbukit di Gelugor itu, secara kasarnya tidaklah menampakkan ia satu perkampungan yang dikatakan kampung warisan yang boleh dibanggakan.

Namun berada di kampung itu lebih tenang dengan kehijauan pokok dan suasana kampung. Apatah lagi, apabila menjelang petang kawanan lembu akan pulang selepas seharian berkeliaran di kawasan hutan berdekatan.

Dengan hampir 200 ekor ternakan khususnya lembu yang dibela oleh penternak di kampung itu, bau hancing air kencing dan tahi lembu yang menyambut 'kedatangan' tetamu ke kampung itu, mungkin sesuatu yang tidak akan ditemui di perkampungan lain di negeri ini.

Tanpa mempersoalkan hak penduduk memperjuangkan kampung yang sudah merakam ribuan kenangan manis, penduduk perlu bersikap rasional dalam menangani kemelut yang dihadapi sekarang, bukannya emosional.

Mereka bukan saja perlu melihat kepada keputusan mahkamah tetapi juga mesti memikirkan masa depan anak cucu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menjadi 'hero' dalam isu itu.

Penduduk boleh berusaha melambatkan tindakan 'pengusiran' oleh pemaju dengan menggunakan 'talian hayat', tetapi soalnya sampai bila dan berapa banyak 'talian hayat' yang mereka ada.

Mungkin sudah sampai masanya penduduk memikirkan untuk mengikut jejak langkah 10 keluarga yang sudah menerima pampasan daripada pemaju di antara RM140,000 hingga RM260,000 sebelum ini.

Penduduk juga perlu sedar mereka selama ini diperalatkan oleh ahli politik bagi meraih sokongan pada musim pilihan raya dan dibiarkan terkapai-kapai selepas pilihan raya berlalu.

Mereka perlu bertanya selama mana lagi mahu bertahan di kampung itu yang terletak di tengah kawasan perumahan. Pernahkah penduduk memikirkan soal ternakan mereka yang tidak disenangi jiran bersebelahan.

Dengan lembu berkeliaran sehingga merosakkan harta benda, tiada padang ragut bagi ternakan itu mencari makan, ia boleh menimbulkan kemarahan penduduk kampung lain. Penduduk perlu faham bahawa mereka tidak lagi berada pada tahun awal kemerdekaan atau di pedalaman, tetapi alaf baru dan terletak di sebuah bandar raya.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga perlu menunjukkan komitmen untuk membantu penduduk dengan memberi pilihan yang konkrit, bukannya bersikap mencari salah orang lain.

Sama ada kepemimpinan kerajaan negeri terdahulu bersalah atau tidak apabila menjual tanah itu kepada koperasi, ia bukan boleh diputuskan dalam masa sehari dua sedangkan penduduk semakin tersepit.

Sehingga kini, kerajaan negeri belum lagi menawarkan satu alternatif terbaik kepada penduduk walaupun menyedari pilihan yang penduduk adalah keluar dari kampung itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebelum ini menyatakan penduduk wajar menerima pampasan walaupun beliau menyedari pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd tidak perlu berbuat demikian kerana tidak diarahkan oleh mahkamah. Ketua Menteri juga dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan 'memastikan' pemaju membayar pampasan kepada penduduk jika mereka berpindah.

Meskipun kerajaan negeri sering membangkitkan soal pampasan, tetapi tiada butiran lanjut diberikan. Kalau betul kerajaan negeri mempunyai perancangan, mereka perlu memperincikan soal pampasan, penempatan sementara bagi penduduk dan rumah kekal.

Pada 2007, koperasi menawarkan rumah berharga RM75,000 dengan keluasan lantai 850 kaki persegi dengan harga diturunkan kepada RM1; subsidi sewa rumah RM750 sebulan selama tiga tahun; bayaran kos perpindahan RM1,000 atau ganti rugi tunai RM90,000 jika penduduk tidak mahu terima tawaran tunai.

Jika tawaran sebelum ini ditolak oleh sebahagian besar penduduk, inikan pula tawaran kerajaan negeri sekarang yang tidak memberikan sebarang butiran. Sudah tentu penduduk tidak berani untuk memberi persetujuan kerana mereka tidak tahu apa bentuk pampasan yang akan diberikan jika setuju berpindah.

Apa salahnya kerajaan negeri berbincang dengan pemaju untuk merangka formula mengenai pampasan yang akan diberikan. Dalam keadaan sekarang, pemaju yang berkeras tidak mahu memberi pampasan kepada penduduk, juga perlu bertolak ansur dan tidak mengabaikan tanggungjawab sosial mereka kerana selagi isu itu tidak diselesaikan, selagi itulah projek yang bernilai RM200 juta di kawasan itu tidak dapat dijalankan.

Apabila sudah ada formula, kerajaan negeri perlu panggil penduduk untuk berbincang dan jelaskan keadaan sebenar mengenai kedudukan tanah berkenaan dari segi undang-undang. Jika mereka memahami keadaan sebenar dan rasional perpindahan itu, tiada sebab untuk penduduk menolak tawaran yang diberikan.

0 comments: