Politik kepartian melampau jejas perpaduan nasional

Politik kepartian melampau jejas perpaduan nasional
Oleh Rahman Sulaiman

POLITIK seperti yang difahami umum hari ini sudah lama dikesan menguasai kehidupan bermasyarakat, sama ada dalam masyarakat purba atau masyarakat moden sekarang. Dalam konteks masyarakat moden, politik mempengaruhi interaksi kumpulan manusia dalam usaha mereka memperoleh kuasa.

Dalam sistem pemerintahan masa kini, tanpa mengira apa juga bentuk sistem itu, sama ada demokratik, autokratik atau sebagainya, masyarakat lazimnya mengharapkan kuasa pemerintahan yang diperoleh melalui helah atau intrique politik itu digunakan untuk kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Di Malaysia, seperti juga negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi, kehidupan atau perjuangan politik rakyat dikelolakan menerusi organisasi atau parti politik.

Di bawah sistem ini, rakyat diberikan hak dan kebebasan untuk menganggotai atau menyokong mana-mana parti yang mereka anggap mampu memperjuangkan idealisme dan memenuhi aspirasi mereka.

Setiap empat atau lima tahun sekali, rakyat yang mendaftar sebagai pemilih termasuk yang tidak menganggotai parti politik, diberikan hak dan kebebasan untuk memilih parti yang mereka sukai dalam pilihan raya umum.

Parti yang menang dalam erti kata menguasai majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri berhak di bawah Perlembagaan untuk menubuhkan kerajaan dan melaksanakan dasar atau program yang dijanjikan kepada rakyat untuk kesejahteraan mereka bagi tempoh sehingga pilihan raya berikutnya.

Dalam pilihan raya berikutnya, mereka diberikan hak untuk memilih semula atau menolak kerajaan sedia ada. Inilah sistem diamalkan di negara ini sejak merdeka. Sistem ini ternyata berjaya mengekalkan keamanan negara serta menambah kemakmuran rakyat dalam tempoh 52 tahun lalu kecuali untuk seketika waktu selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969 apabila demokrasi digantung buat sementara.

Selepas itu, apabila demokrasi dipulihkan, rakyat kembali tenang untuk meneruskan urusan harian masing-masing. Parti politik hanya sibuk menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang diadakan dari semasa ke semasa.

Malangnya, sejak akhir-akhir ini terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu, politik dan demokrasi di Malaysia kelihatan mula memasuki dimensi baru yang tidak pernah dialami sebelum ini. Politik sebagai alat untuk menempah wewenang dan kuasa seolah-olah sudah menguasai seluruh kehidupan rakyat.

Di mana-mana saja orang bercakap mengenai politik. Sama ada di warung, kedai kopi, restoran, majlis kenduri atau sebelum dan sesudah mesyuarat rasmi, isu-isu politik lazimnya mengisi sebahagian besar daripada tajuk perbualan.

Isu lain seperti ekonomi, pendidikan dan sosial sering diketepikan seolah-olah ia tidak penting. Akhbar dan media lain juga memberi tumpuan yang cukup ketara terhadap isu politik terutama politik kepartian.

Di kalangan penjawat awam dan pelajar di institusi pengajian tinggi juga, nampaknya politik tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan mereka. Bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk sesiapa mendapati bahawa topik utama perbualan penjawat awam di kantin pejabat adalah politik.

Bukan juga satu keanehan untuk orang luar mengetahui bahawa pemilihan pemimpin pelajar di institusi pendidikan tinggi tempatan setiap tahun kebanyakannya didasari fahaman politik kepartian yang dianuti pemimpin terbabit walaupun pada zahirnya Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang sama sekali pelajar berpolitik.

Di kalangan pemimpin politik pula, kewujudan mereka seolah-olah tidak sah kalau mereka gagal menilai sesuatu isu, perkembangan, dasar atau program kerajaan dari sudut politik kepartian yang sempit untuk kepentingan peribadi.

Inilah nampaknya budaya yang menguasai kehidupan rakyat Malaysia sekarang. Secara perbandingan, budaya ini nampaknya lebih kuat mencengkam masyarakat Melayu dan Islam berbanding masyarakat Cina, India dan lain-lain.

Perkara ini sebenarnya, sudah banyak dibincangkan melalui saluran rasmi dan tidak rasmi oleh cendekiawan Melayu dan golongan prihatin lain yang bimbang bahawa budaya politik melampau dan tidak berkesudahan itu berpotensi untuk menghancurkan perpaduan Melayu dan sekali gus menghakiskan kuasa politik mereka.

Jika ini berlaku, usaha untuk mencapai perpaduan nasional menjelang 2020 apabila Malaysia disasar mencapai status negara maju, tidak akan kesampaian.

Sesungguhnya, dalam konteks inilah cadangan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, agar usaha dirintis untuk menyatupadukan orang Melayu, perlu diberi perhatian.

Ketika menyampaikan titah utama bertajuk Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat pada majlis perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di Ipoh kelmarin, baginda menyarankan supaya usaha penyatuan umat Melayu dirintis bagi membina keupayaan kaum itu dalam semangat serumpun bangsa dan saliran agama.

Bagi memastikan hasrat murni itu tercapai, baginda bertitah agar semua pihak mengetepikan kesetiaan kepada individu atau kumpulan.

Raja Nazrin menegaskan budaya berpolitik yang sedang berlaku menyebabkan ketaksuban baru sehingga menjelma budaya assabiyah yang mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan berbanding kelangsungan ummah.

Titah baginda, keadaan itu akhirnya menyebabkan Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan kelemahan antara satu sama lain. Sebenarnya, ini bukan kali pertama baginda menyuarakan kebimbangan demikian.

Sebelum ini, baginda dan raja lain juga pernah menyatakan kebimbangan serupa terhadap gejala dan perkembangan yang berpotensi untuk menghancurkan negara. Apakah rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, memerlukan kejutan yang lebih dahsyat untuk menyedarkan mereka daripada ilusi yang merugikan itu dan kembali menerima kenyataan bahawa politik bukan segala-galanya?

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama

0 comments: