Isu kualiti: Proton dengar kritikan
Oleh JOHARDY IBRAHIM
johardy@utusan.com.my
TIDAK mungkin Proton melepas batuk di tangga bila mengadakan sesi randau dengan sembilan penulis dan wartawan terpilih bagi membicarakan serba-serbi Proton, minggu lalu. Tidak mungkin syarikat kereta nasional ini mahu mempengaruhi kosong atau 'membeli hati' waima menyedari kalangan wartawan yang hadir itu berpengalaman membuat liputan mengenai Proton bertahun-tahun lamanya, malah sedang atau pernah mengguna pakai produk yang dikeluarkan.
Keyakinan ini terbentuk apabila melihat barisan pegawai-pegawai kanan Proton dari Pengarah Urusan, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir sehinggalah kepada pengurus-pengurus jabatan seperti Proton Edar, Pembangunan dan Penyelidikan (R&D), pemasaran, perhubungan awam dan perhubungan pelanggan serta seorang 'Mat Salleh' Jerman yang rupa-rupanya diimport dari BMW khusus untuk menguruskan aspek kualiti produk.
Di pihak penulis dan wartawan yang dijemput itu, meskipun maklum mungkin wujud elemen 'mesra Proton' namun ia tidaklah sampai ke tahap 'embedded reporter' seperti wartawan Amerika Syarikat yang menulis Perang Iraq!
Sekurang-kurangnya wakil media senang hati melihat pengurusan Proton menghormati peranan media yang tanpa teragak-agak mengkritik keputusan yang tidak digemari seperti isu menjalin semula hubungan dengan Mitsubishi Motors Co. yang dikhuatiri boleh menjerumuskan Proton kepada model-model 'hampa' seperti Proton Juara sekali lagi.
Sesi randau berkenaan dipecah kepada beberapa topik dari soal produk terkini syarikat kereta nasional tersebut, Proton Exora sehinggalah kepada pendedahan mengenai model-model yang sedang dirancang.
Kelompok media yang dipilih ini merupakan kelompok yang sama dipelawa melakukan uji pandu model prototaip Exora beberapa bulan sebelum pelancarannya pada April lalu. Sejak itu juga, beberapa siri ulasan pandu uji juga sudah diterbitkan dan tentunya menyentuh hebat mengenai isu kelemahan atau kelebihan Exora.
Sesi perbincangan itu tidak ada syarat atau sekatan. Apa sahaja yang tidak dirasakan tidak kena atau boleh dipertingkatkan lagi, dinyatakan secara terus-terang (malah panjang lebar) kepada semua pegawai Proton yang ada kena-mengena secara langsung dengan projek Exora.
Sesi ini tidaklah sama menarik berbanding sesi sebelah petang apabila pegawai-pegawai bahagian R&D mendedahkan lukisan-lukisan peringkat awal mengenai model-model yang akan dibina oleh Proton bagi tempoh lima tahun lagi.
Pendapat wakil media ditanya, kemudian dicatat untuk diteliti lebih lanjut. Ini mungkin pertama kali dalam sejarah sejak kewujudan industri automotif nasional, Proton benar-benar merapati dan menggunakan sepenuhnya maklum balas atau input daripada penulis atau wartawan automotif.
Selain itu, Proton membawa khas dua buah kereta untuk tontonan eksklusif iaitu edisi khas Proton Saga yang akan dilancar di Johor pada Selasa (hari ini) dan model pengganti Waja (tahap enjinnya ialah 1.8 liter dan 2.0 liter yang pasti menawan dan menggegar jiwa!).
Hal ini diperakui sendiri oleh pemerhati industri automotif tempatan, Chips Yap yang kini menguruskan laman web Motor Trader dan berpengalaman lebih 30 tahun, termasuk detik-detik kelahiran Proton pada 1982.
''Mengadakan sesi randau dengan penulis pemotoran tidak mungkin dilakukan oleh pengurusan sebelum Datuk Syed Zainal Abidin dan langkah yang julung kalinya oleh beliau ini wajar dipuji.
''Bukanlah kami ini pakar sangat untuk Proton berbuat begitu tetapi acara itu jelas menunjukkan beliau mahu mendapat input dari sumber berlainan bagi membantu dirinya dan pasukannya untuk membentuk hala tuju bagi Proton. Ini menunjukkan beliau tidak memikirkan dirinya seorang sahaja yang pakar dan semua orang lain tidak tahu apa-apa," kata Chips.
Chips mungkin berpandangan demikian kerana pengalamannya dengan pengurusan Proton sebelum era Syed Zainal Abidin. Tatkala semua pihak memperakui kekuatan pengaruh Internet di mana ia menjadi platform orang ramai meluahkan kekecewaan mengenai kualiti produk, pengurusan sebelum ini bertindak untuk tidak mengendahkan Internet.
Syed Zainal Abidin tidak segan silu mengaku dirinya memang meneliti dan membaca luahan-luahan hati yang terpampang dalam Internet, sama ada laman web atau blog. Malah beliau menyediakan e-mel khusus untuk mendengar secara langsung luahan hati pengguna menerusi alamat e-mel blog.w.sz@gmail.com.
Bagaimanapun beliau telah meminta supaya aduan dikemukakan dahulu kepada unit perhubungan pelanggan iaitu i-Care di talian percuma 1-300-880-888 atau e-mel i.care@proton.com dan jika masih tidak puas hati, barulah memanjangkan kepadanya.
Tentunya ini mendapat reaksi positif daripada orang ramai, khususnya pelanggan-pelanggan Proton. Syed Zainal Abidin faham cabaran paling besar yang dihadapinya bukan semata-mata menyediakan produk yang menepati cita rasa rakyat tetapi paling kronik ialah persepsi negatif yang melekat pada jenama Proton.
Yang anehnya, persepsi ini hanya teruk melanda Proton sebagai kereta nasional tetapi jenama-jenama kereta lain yang mendapat status nasional pula terlepas bebas. Mungkin stigma ini didorong oleh pengetahuan orang ramai bahawa jenama-jenama kereta nasional lain hanyalah penukaran lencana kereta daripada syarikat Kia, Peugeot, Hyundai dan Daihatsu semata-mata, manakala Proton adalah sebuah produk yang dibina oleh rakyat Malaysia sendiri.
Pengetahuan sebegini ada positif dan negatifnya. Positifnya ialah ia secara langsung mengiktiraf bahawa kereta yang benar-benar layak menerima status kereta nasional ialah Proton sahaja, walaupun mungkin kerjasamanya dengan Mitsubishi akan mengembalikan skeptikal umum tetapi ia disifatkan suatu bentuk usaha sama yang tidak boleh tidak, terpaksa dilaksanakan dalam era globalisasi kini.
Aspek negatifnya pula ialah ia menunjukkan suatu bentuk gerakan merendah-rendahkan keupayaan anak Malaysia yang berlarutan dalam industri automotif. Anda mungkin perasan orang gemar mengetuk-getuk badan kereta Proton tetapi tidak pula berbuat demikian kepada kereta lain. Mungkin mereka mengharapkan badan kereta itu akan kemik sebab 'ada orang kata ia diperbuat daripada tin milo'.
Dalam konteks ini, Syed Zainal Abidin kelihatan bersungguh-sungguh dan kesungguhan ini diterjemah sebagai satu kewajaran di mata orang ramai bahawa sebagai orang nombor satu Proton, usaha mengekal dan meningkatkan kualiti produk adalah keutamaan beliau.
Siapa lagi yang layak memberi contoh terbaik sebegini kalau bukan Pengarah Urusan Proton sendiri. Atas faktor ini juga bila timbul isu siapa yang wajar dijadikan ikon atau duta produk bagi Proton, penulis berkeras menyarankan agar Syed Zainal Abidin sahaja yang menjadi duta tersebut.
Ada yang berkata Syed Zainal Abidin wajar menguruskan wajah korporat sahaja dan biar peranan itu diberikan kepada selebriti tetapi silalah tanya Edaran Otomobil Nasional Berhad mengenai hasil pulangan pelaburannya setakat ini.
Syed Zainal Abidin mempunyai aura dan sehingga kini, berjaya meyakinkan bukan sahaja pemegang-pemegang saham syarikat tetapi lebih mustahak, warga Proton termasuk golongan kolar biru di kilang Shah Alam dan Tanjung Malim bahawa mereka memiliki pemimpin yang tahu apa hendak dibuat dan sedia pula mendengar maklum balas dari akar umbi.
Jika Syed Zainal Abidin berjaya mengembalikan keuntungan bersih kepada Proton menerusi penawaran model yang tepat dan juga menjalin pakatan strategik yang berkesan dengan entiti asing, mana tahu beliau mungkin diketengahkan ke bidang yang lebih berorientasikan rakyat pula menjelang 2012.
0 comments:
Post a Comment