Pemandu trak jadi penyajak

Pemandu trak jadi penyajak

Kebanyakan penyajak daripada golongan pemandu trak sering kali menggambarkan mereka perlu bersendirian untuk menghasilkan karya yang baik.


DAVE DELANEY meminati sajak sejak zaman kanak-kanak.


'INI laluan membunuh. Dalam sekelip mata sahaja, banyak nyawa telah diragut di laluan ini' demikian bunyi serangkap puisi mengenai kehidupan seorang pemandu trak di Australia.

Terkenal dengan sikap pemandu trak yang mengambil dadah dan alkohol serta memandu laju, Australia hari ini menyaksikan perkembangan yang luas dalam industri pengangkutan, ternakan, makanan dan perabot. Negara itu juga memiliki antara gurun yang terbesar di dunia.

"Saya gemar membaca sajak ketika muda, tetapi sejak saya menjadi pemandu trak, imej kelakian saya sedikit sebanyak menghakis minat saya terhadap sajak.

"Anda harus bersikap seperti lelaki sejati, anda tidak perlu melibatkan diri dalam perkara yang sangat beremosi seperti itu," kata David J. Delaney (Dave Delaney) ketika menggambarkan waktu dia meningkat dewasa.

Tetapi masa mengubah segalanya. Delaney yang kini berusia 55 tahun kembali menyintai sajak. Walaupun beliau masih setia dengan kerjaya sebagai pemandu trak, beliau mahu berubah menjadi seorang pencinta sajak iaitu sesuatu yang diminatinya pada zaman kanak-kanak.

Dia adalah salah seorang daripada enam orang yang terpilih untuk mempamerkan hasil sajak yang puitis mengenai kehidupan sebagai pemandu trak oleh kumpulan penerbitan The Red Room Company di Sydney baru-baru ini.

Delaney adalah salah seorang daripada penyajak-penyajak yang mana karya mereka bakal diterbitkan oleh syarikat penerbitan tersebut dalam antologi yang julung kali diadakan untuk penyajak-penyajak jalanan.

Beliau telah menjadi seorang pemandu trak sejak 25 tahun yang lalu dan kerjaya itu diwarisinya daripada keluarganya yang mana ayah, datuk dan pak ciknya juga merupakan pemandu trak.

"Pemandu-pemandu trak selalu mengatakan bahawa pekerjaan ini akan diwarisi oleh keturunan mereka pada kemudian hari," ujarnya.

Delaney meninggalkan alam persekolahan pada usia 15 tahun dan memiliki bakat dalam penulisan sajak secara semula jadi.

"Jika anda melihat cermin depan sebuah trak, bayangkan ia adalah sebuah landskap atau pemandangan yang cantik. Anda akan mendapat gambaran yang jelas di dalam kotak fikiran anda.

"Itulah yang terjadi kepada saya. Saya mendapat gambaran di dalam fikiran dan kemudiannya, saya akan menulis apa yang saya gambarkan pada sehelai kertas putih," katanya.


CONTOH sajak yang ditulis oleh Dave Delaney.


Idea dan hasil kerja yang dilakukan Delaney boleh tercipta sama ada melalui kegelapan malam, ketika melihat pemandangan yang cantik atau melihat kehidupan liar seperti yang boleh dihayati dalam dalam sajaknya yang berjudul The Final Run.

"Saya sentiasa memikirkan keindahan Australia. Saya telah diberi anugerah untuk menghayati kehijauan hutan hujan, gurun dan gunung-ganang dengan penuh rasa gembira walaupun ia bukan di depan mata.

"Melihat binatang-binatang yang mengkagumkan dalam satu pemandangan memang menakjubkan dan ia mengalu-alukan perjalanan seorang pengembara,"katanya.

Melihat emu, sejenis burung Australia berkaki panjang berlari di atas hamparan padang yang luas serta menyaksikan beberapa kumpulan kanggaru yang memakan rumput yang segar adalah sebahagian daripada kenangan manis buat Delaney.

Tetapi ada juga kenangan yang dia ingin lupuskan daripada kotak fikiran, antaranya penemuan sebuah kereta yang berlanggar dengan pokok di sebatang jalan raya ketika beliau menjadi pemandu trak.

Delaney yang dahulunya seorang pemandu trak kini menyandang jawatan sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat pengeluaran.

Menurutnya, sungguhpun zaman memandu telah berakhir, tetapi apabila muncul kegelapan malam, fikirannya akan melayang memikirkan jalan raya, cara menukar gear, bunyi deruman enjin diesel yang seolah-olah bergema di hujung telinga.

Sementara itu, seorang penyajak jalanan, Bonny Cassidy berkata, sejak syarikat Red Room membuka peluang kepada penyajak untuk menyertai pameran, perkembangan sajak mula berlaku pesat di seluruh Australia.

"Bagi saya, seorang penyajak memerlukan masa bersendirian yang banyak untuk menghasilkan sajak. Mereka juga perlu melihat pemandangan dari sudut berlainan dan luar biasa yang mana seseorang pemandu tidak semestinya tahu.

"Nampaknya, hampir semua pemandu trak adalah pelancong tetap, pengembara tetap dan pemikir yang tetap," kata Cossidy.

Tambahnya, selain itu, sudah pasti elemen romantik perlu ada dalam kehidupan seorang pemandu trak.

"Kebanyakan penyajak daripada golongan pemandu trak sering kali menggambarkan mereka perlu bersendirian untuk menghasilkan karya yang baik,"katanya.

Dalam masa 12 bulan sehingga Mac tahun lalu, sebanyak 275 orang mati dalam kemalangan trak berdasarkan angka rasmi kertas penyelidikan yang dilakukan oleh kesatuan pemandu yang dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Mental, Queensland.

Ia dilaporkan berpunca daripada perbuatan pemandu trak yang terjebak dengan pengambilan dadah.

Hampir satu pertiga daripada mereka pula ketagihan alkohol kerana purata jam memandu adalah antara 62 jam sehingga 100 jam seminggu.

"Saya banyak melihat perkara yang kebanyakan orang lain tidak dapat melihatnya.

"Ia adalah satu perkara yang kita tidak boleh menyetujui jika berlaku sesuatu kemalangan,"katanya lagi.


KANGGARU yang dilihat ketika memandu turut memberi ilham kepada pemandu untuk menulis sajak.


Seorang pemandu trak yang berkongsi trak dengan isteri yang juga seorang pemandu, Mick O'Brien, berkata, deruman bunyi enjin trak sentiasa bermain di dalam kotak fikiran mereka dan ia boleh menjadi sunyi jika semua itu tidak dirasai lagi.

"Tiada siapa yang berasa gembira dengan cara seseorang membuat kerja, bagaimana cara trak dipenuhi dengan beg, tali yang mengikat belakang trak dan bagaimana bersih atau tidak trak tersebut.

"Ia telah menjadi darah daging kami. Ia adalah cara hidup dan bukannya sebuah pekerjaan. Saya bernasib baik kerana keluarga saya berkongsi pekerjaan memandu trak. Jika tidak, anda akan berasa sunyi dalam hidup,"katanya.

Dalam pada itu, keluarga O'Briens hilang semua harta benda kecuali trak mereka dalam satu kebakaran yang berlaku di hutan yang melibatkan kematian seramai 210 orang di negeri Victoria Tenggara pada Februari lalu.

Rumah mereka musnah, tetapi O'Brien berkata, semangat seorang warga Australia tidak akan hilang.

"Kami telah hilang semua harta benda tetapi kami masih ada antara satu sama lain,"katanya.

Pameran penyajak jalanan itu telah dibuka di bekas tapak Sukan Olimpik Sydney dan sekarang ia telah menjadi sebuah pusat pameran dan sukan sejak 20 Mac lalu. - AFP

0 comments: