Jackson jadi 'bintang' kerana kerja keras
Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI
luarnegara@utusan.com.my
MAJLIS pengebumian Raja Pop, Michael Jackson sudah ditetapkan akan diadakan hari ini, tetapi tempat mayatnya disemadikan terus menjadi tanda tanya sejak beberapa hari lalu.
Keluarga Jackson dilaporkan telah menetapkan tempat mayat Jacko disemadikan, tetapi berahsia. Dua tempat disebut-sebut sebagai tempat perkuburan Jackson. Pertama, di ladang mewahnya di Neverland, tetapi ia telah ditolak kerana masalah undang-undang. Kedua ialah di tanah perkuburan Forest Lawn Memorial-Parks & Mortuaries di Hollywood.
Satu upacara penghormatan untuk penyanyi itu diadakan di Staples Center - kolosium yang pernah digunakan sebagai gelanggang untuk Sukan Olimpik 1984.
Seramai 11,000 peminat Jackson yang berjaya mendapatkan tiket daripada 1.6 juta yang memohon untuk menyertai upacara itu akan menghadiri majlis tersebut yang turut dihadiri keluarga terdekat, tetamu eksklusif dan orang kenamaan lain yang diundang.
Itulah Jackson, yang terus bergelumang dengan kontroversi hingga saat-saat akhir kematiannya dan tidak berhenti sehinggalah saat pengkebumiannya.
Walau apa pun, ikon muzik pop dunia itu telah mencipta satu sejarah bukan sahaja buat dirinya, tetapi juga industri muzik dan hiburan di peringkat global.
Setelah kematian Raja Rock N' Roll, Elvis Presley pada tahun 1977 ketika berusia 42 tahun, tidak ada sesiapa yang mampu menggantikan tempat penyanyi kegilaan ramai itu, sehinggalah Jackson muncul dan sekali lagi mencetuskan kegilaan dengan membawa perubahan kepada industri hiburan global.
Walaupun ramai yang tidak sependapat, namun anak pekerja besi dari Gary, Indiana ini bukan sahaja berjaya menandingi kehebatan Elvis, tetapi juga merampas takhtanya - bukan sebagai Raja Rock N' Roll tetapi Raja Pop dunia dengan gayanya yang tersendiri.
Ramai yang bertanya di manakah kehebatan Jackson. Apakah pada suaranya? Apakah pada berita-berita kontroversi yang melingkari kehidupannya? Apakah pada kehebatan aksinya di pentas atau pada kekayaan yang dimiliki?
Kehebatan Jackson sebenarnya bukan pada suaranya dan bukan pada aksinya mahupun kekayaannya. Tetapi kesungguhannya bekerja bagi menjayakan setiap persembahan yang diadakan bagi memastikan ia mendapat sambutan dan kepuasan penonton serta peminatnya.
Jackson bukan sahaja sanggup berlatih berjam-jam bagi memastikan persembahannya pada tahap 'tip-top', tetapi juga membawa elemen-elemen baru, termasuk aksi dan persembahannya bagi memberi kesan mendalam kepada peminatnya.
Malahan untuk konsert jelajah sebanyak 50 siri yang dijadual diadakan di London mulai 13 Julai ini, Jackson telah bekerja keras dan menjalani latihan giat bagi memberi persembahan terbaik untuk peminatnya dalam penampilan semula dan terakhirnya, setelah hampir sedekad menyepikan diri.
Malangnya, ketika membuat persiapan rapi untuk konsert terakhir inilah, beliau rebah kerana masalah jantung tidak berfungsi.
Maka tidak hairanlah jika setiap konsert dan persembahan Jackson bukan sahaja mendapat sambutan hebat daripada peminatnya tetapi 'meletup' dan mencetuskan histeria.
Jackson pernah berkata, beliau mahu menjadi 'bintang' yang paling tinggi dan beliau akhirnya berjaya mencapai cita-citanya itu hasil kerja kerasnya.
0 comments:
Post a Comment