Minda Pengarang: Gaji amah menerusi akaun bank boleh lindungi majikan

Minda Pengarang: Gaji amah menerusi akaun bank boleh lindungi majikan

PERATURAN berkaitan pembayaran gaji pembantu rumah asing melalui akaun bank pernah dipersetujui antara Malaysia dan Indonesia sebelum ini, tetapi bukan mandatori. Kini, ada cadangan supaya semua majikan yang mahu memperbaharui permit kerja bagi pembantu rumah asing, akan disyaratkan mengemukakan buku akaun bank sebagai bukti gaji pekerja mereka itu dibayar secara teratur setiap bulan. Kita percaya peraturan baru ini, termasuk beberapa tuntutan lain daripada pihak Indonesia, jika dipersetujui Malaysia akan dimasukkan ke dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara di Bali pada 15 Julai ini. Meskipun di atas kertas, prosedur terbaru ini nampak menarik, bagi memastikan pembantu rumah asing tidak menjadi mangsa majikan yang mengambil kesempatan melengah-lengahkan pembayaran gaji atau langsung tidak membayar gaji pembantu rumah mereka, ia juga perlu diperhalusi dengan lebih lanjut. Langkah itu mungkin menimbulkan masalah kepada pembantu rumah, khasnya kepada pembantu rumah yang lebih suka menerima wang tunai. Walaupun langkah membuka akaun bank menimbulkan kesulitan kepada majikan, ia mungkin cara terbaik buat masa ini. Tidak semua taman perumahan dan di sesetengah di kawasan luar bandar mempunyai kemudahan mesin juruwang automatik (ATM). Tidak ada gunanya majikan memasukkan wang ke dalam akaun bank kemudian pembantu rumah memintanya mengeluarkan wang itu semula. Selama ini, gaji pembantu rumah diberi terus secara tunai berdasarkan saling mempercayai. Langkah itu dirasakan lebih praktikal tanpa perlu untuk majikan memasukkan ke dalam akaun pembantu rumahnya yang memang sentiasa ada di rumah. Inilah masalahnya apabila cuma segelintir majikan gagal membayar upah pembantu rumahnya, menyebabkan yang lain terpalit sama, seperti juga kes penderaan amah.

Bagaimanapun, jika dilihat dari sudut lain, cadangan membayar gaji amah melalui bank juga boleh melindungi majikan daripada kemungkinan pembantu rumah asing membuat dakwaan palsu bahawa gaji mereka tidak dibayar seperti yang sudah dipersetujui dalam kontrak. Jika ini berlaku, ia memalukan majikan, khasnya mereka yang mempunyai kedudukan sosial yang tinggi. Cadangan itu, sebenarnya dapat membantu menangani pelbagai isu berkaitan penganiayaan majikan terhadap pembantu rumah asing, sekali gus memperbaiki prosedur penggunaan khidmat mereka di negara ini. Cara ini juga dapat membantu menyelesaikan beberapa masalah berhubung pembantu rumah kerana ada kes majikan mendakwa kononnya menyimpan gaji pembantu rumah, tetapi akhirnya mereka tidak membayarnya. Malah, ada juga majikan menangguhkan bayaran gaji atas alasan memerlukan wang yang banyak ketika musim perayaan dan permulaan musim persekolahan. Inilah yang menimbulkan banyak masalah hingga menjejaskan nama baik negara. Namun, apa yang dipersetujui antara Malaysia dan Indonesia nanti dapat menguntungkan semua pihak, termasuk majikan dan pembantu rumah.

0 comments: