Parti politik Indonesia belum matang

Parti politik Indonesia belum matang

KEBANYAKAN parti di Republik Indonesia masih lagi tidak matang dan bersifat keanak-anakan. Mereka tidak mempunyai pendirian tetap, mudah merajuk, mudah dipujuk dan masih tercari-cari tapak untuk berdiri serta dahan untuk berteduh.

Kebanyakan parti walaupun dikategorikan sebagai heavyweight dalam politik Indonesia seperti Parti Keadilan Sejahtera dan Parti Amanat Nasional (PAN), tetapi masih seperti "melukut di tepi gantang" bagi parti pemerintah iaitu Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Ketika timbul ura-ura Susilo bakal memilih daripada kalangan bukan ahli politik sebagai pendampingnya untuk jawatan naib presiden ketika masuk ke gelanggang pemilihan presiden, parti-parti politik berkenaan terus membuat pelbagai ancaman.

Ancaman paling popular ialah akan keluar daripada pakatan itu kerana mereka tahu Parti Demokrat yang usianya baru 'setahun jagung' itu tidak mampu berdiri sendiri menghadapi Pilihan Raya Presiden pada 8 Julai ini.

Bagaimanapun rajuk mereka tidak panjang apabila dipujuk dan digula-gulakan oleh Susilo dan Demokrat. Akhirnya mereka segera bermain di halaman Demokrat dan terus melupakan apa yang berlaku sebelumnya.

Tarikan utama Demokrat dan Susilo ialah berada di tampuk pentadbiran negara. Dan itulah yang diimpikan oleh parti-parti berkenaan yang mahu bergabung dengan parti pemerintah kerana mereka akan berada tidak jauh daripada kuasa kerana ia penting untuk survival parti.

Berlainan dengan segelintir daripada 44 buah parti yang terdapat di Indonesia, seperti Parti Golkar dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP). Mereka mempunyai sosok pemimpin yang tegas dan tetap dengan pendirian.

Parti Golkar contohnya setelah mengumumkan keluar daripada pakatan Demokrat pada Pilihan Raya Parlimen lalu, terus dengan pendirian tersebut apabila Ketua Umum Golkar, Jusuf Kalla mengumumkan akan menentang Susilo.

Rakan pendampingnya ialah Ketua Dewan Pembina Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura), Wiranto yang bakal bertanding untuk jawatan naib presiden.

Ketegasan Jusuf itu harus dihormati walaupun masih terdapat para pemimpin Golkar yang 'menjeling-jeling' ke arah Demokrat dan hati masih berbunga jika ditawarkan oleh Susilo untuk menjadi pendamping.

Begitu juga Megawati Soekarnoputri yang memimpin PDIP. Beliau cukup tegas dengan pendiriannya untuk tetap mengemukakan calon presiden daripada parti itu. Ia dilakukan walaupun terdapat pemimpin yang menyarankan untuk bergabung dengan Demokrat dan menerima tawaran untuk bertanding jawatan naib presiden.

Megawati dalam satu mesyuarat di kediamannya baru-baru ini telah menghalau seorang pemimpin parti itu gara-gara membuat saranan sedemikian. Usul itu dibuat selepas mencongak peluang parti berkenaan untuk menang terlalu tipis.

Pemimpin berkenaan terdiam dan terus terbenam di tempat duduknya dan lantas mematikan niat para pemimpin lain untuk menyokong saranan tersebut. Sepantas itu juga khabar angin parti berkenaan bakal bergabung dengan Demokrat mati begitu sahaja.

PAN pula kini terbahagi dua apabila penasihat parti itu yang juga bekas ketua umumnya, Amien Rais masuk campur urusan parti membentuk kumpulan sendiri sehingga mematikan langkah Ketua Umum PAN, Soetrisno Bachir.

Perpecahan itu memang telah kelihatan sebelum ini. Ia jelas semasa penulis membuat liputan kempen terbuka PAN di Lampung pada Pilihan Raya Parlimen lalu.

Soetrisno yang terkenal dengan panggilan Mas Soetrisno itu meninggalkan pentas kempen apabila Amien menjejakkan kaki ke situ. Sesuai dengan gelaran "Mas", Soetrisno membawa aliran baru di dalam PAN iaitu sebagai pemimpin muda yang berani serta berdisiplin dan mahu menjadikan parti berkenaan sebagai parti golongan muda.

Lantaran itu beliau lebih awal menyatakan persetujuan untuk bergabung dengan Prabowo Subianto iaitu Ketua Dewan Pembina Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) untuk bertanding jawatan presiden, manakala Soetrisno bagi jawatan naib presiden.

Langkah itu tidak mendapat restu Amien yang masih lagi mempunyai pengaruh kuat di dalam PAN, apatah lagi Soetrisno juga dipilih oleh Amien untuk menggantikannya.

Amien melihat demi survival parti itu, lebih baik ia bergabung dengan tampuk kekuasaan iaitu Demokrat.

Kini Soetrisno terus mendiamkan diri, Prabowo pula membentuk gabungan lebih 20 parti kecil untuk mendukung beliau bertanding jawatan presiden.

Bagaimanapun sokongan parti-parti kecil itu tidak menjanjikan kemenangan kerana tidak mempunyai impak. Lantaran itu Prabowo terus menunggu restu Megawati kerana ia bakal melengkapkan sokongannya.

0 comments: