Bursa saham dulu dan sekarang

Bursa saham dulu dan sekarang

DALAM keadaan pasaran saham tidak menentu ekoran daripada krisis ekonomi global, saya terkenang kisah semasa bersama Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) dari 1984 sehingga 2003.

Memang banyak pengalaman pahit, manis dan maung yang saya lalui. Saya berpeluang berkhidmat di bawah tiga pengerusi dalam jangka 19 tahun itu.

Bermacam-macam kerenah mereka ini yang dapat saya perhatikan. Yang suka datang lambat bila mesyuarat, yang suka susun semula organisasi berkali-kali dan yang cekap buat kerja dalam semua bidang. Cekap dan pantas betul.

Saya masih teringat pada awal perkhidmatan saya, semuanya berjalan secara manual. Dalam ruangan bilik seluas 2,500 kaki persegi pada tahun 1984 itu, berlari-larilah 50 orang kerani bilik dagangan mengambil pesanan dari syarikat broker.

Mereka menggunakan signal tangan untuk menawar dan membeli saham yang kesemuanya tercatat atas papan hitam. Di atas lantai bilik tersebut penuh dengan wayar telefon bertali terus kepada kerani syarikat broker masing-masing.

Bayangkanlah keadaan pada masa itu seperti 'kandang kambing'.

Perlahan-lahan kita memulakan usaha memodenkan bursa tersebut. Mula-mula kita pindah ke tempat yang lebih luas dan kita menggunakan sistem dagangan separuh automatik.

Kita gaji kerani untuk memasukkan pesanan beli dan jual ke dalam komputer tetapi masih lagi menggunakan papan putih yang lebih luas.

Kerani bilik dagangan pada masa itu masih lagi digunakan. Ada yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan ada yang tidak punya kelayakan. Kalau difikirkan kenapa mereka boleh bertahan begitu lama sedangkan gaji mereka tidak seberapa? Rupa-rupanya ramai yang menyimpan 'buku hitam' yang mengandungi urus niaga mereka secara peribadi.

Apabila pasaran hangat pada satu-satu masa kita boleh terdengar jerit pekik laungan kerani-kerani ini. Mudah bagi kita hendak mengetahui nadi pasaran dalam masa-masa tertentu. Kalau senyap sahaja, maknanya pasaran lembap.

Apabila pihak bursa membuat keputusan untuk beralih kepada sistem dagangan sepenuh elektronik dan sepenuh automatik, kita membentuk sistem sendiri.

Orang yang bertanggungjawab tentang ini dan perkara-perkara berkaitan teknologi maklumat ialah Ungku Abdul Razak. Pada saya, dia seorang genius IT. Jarang ada masalah IT yang tidak dapat diselesaikannya.

Kita pun beralih kepada sistem sepenuh elektronik dan automatik pada 1989. Dan bursa saham Taiwan begitu tertarik dengan sistem kita sehingga mereka menghantar orang untuk mengkajinya. Taiwan masa itu hanya menggunakan sistem separuh automatik.

Sejajar dengan peralihan kepada sistem dagangan sepenuh elektronik dan automatik, sistem penyampaian maklumat dagangan dan pasaran juga perlu ditingkatkan ke tahap elektronik. Ini dilakukan melalui 'terminal' komputer daripada bursa ke seluruh syarikat broker saham pada masa itu.

Tidak salah kalau dikatakan bahawa permodenan industri sekuriti pada masa itu berpunca daripada permodenan bursa saham sendiri.

Perubahan itu pada mulanya menerima bangkangan daripada broker saham. Mereka tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan untuk memodenkan syarikat mereka.

Pada waktu itu - tahun 1984 - tidak ada satu laporan pun tentang pasaran saham, baik secara berasingan atau pun dalam warta berita dalam apa jua media. Pada awalnya laporan dibuat daripada bursa saham, lama-kelamaan diambil alih oleh wartawan media.

Program pertama tentang saham saya buat bersama orang kanan RTM, George Abraham yang dikenali dengan nama Business Trends. Stesen TV3 menyusul pula dengan Money Matters.

Program televisyen dalam bahasa Melayu ialah Dari BSKL, yang ditaja bersama oleh setiap syarikat broker saham dan bursa saham Kuala Lumpur. Rancangan ini bertahan selama tiga tahun.

Tujuan program itu diperkenalkan ialah untuk mendidik masyarakat untuk melabur terutama sekali yang tidak tahu menahu tentang pasaran saham.

Syarikat penyampai maklumat yang pertama mengambil harga saham di pasaran untuk disebarkan ke seluruh dunia ialah Reuters.

Dahulu syarikat kita ada yang tersenarai di bursa saham Singapura dan ada syarikat Singapura yang tersenarai di bursa kita. Keadaan ini berlaku sejak tertubuhnya bursa saham.

Malangnya penyenaraian itu mendatangkan keuntungan lebih kepada Singapura berbanding Malaysia.

Pelabur asing lebih gemar pergi ke Singapura untuk membeli saham syarikat Malaysia daripada berdagang dengan bursa saham kita.

Menyedari hakikat bahawa sekiranya kita ingin membangunkan pasaran modal kita, kita perlu memberikan tumpuan kepada syarikat kita disenaraikan di bursa saham kita. Oleh itu, pada 1990 penyenaraian di bursa saham Singapura diberhentikan.

Singapura tidak duduk diam kerana banyak urus niaga mereka terdiri daripada saham syarikat kita. Mereka memperkenalkan pasaran tidak rasmi dikenali sebagai CLOB. Katanya tiada kena mengena dengan bursa sahamnya tetapi semua orang tahu sebaliknya.

Mereka menggunakan bank-bank Singapura yang beroperasi di Malaysia untuk menyimpan rekod urus niaga saham syarikat Malaysia melalui CLOB.

Saya memohon kepada kerajaan untuk mengambil langkah supaya CLOB dimatikan tetapi pada masa itu tidak nampak bahayanya sehinggalah krisis pada 1997.

Banyak saham kita diurusniagakan secara 'jualan singkat' (short selling). Ertinya mereka menjual saham yang mereka tidak miliki dan membeli balik bila harga saham tersebut jatuh. Dengan cara itu mereka membuat 'keuntungan atas angin.'

Melihat keadaan ini barulah kerajaan mengarahkan mencari jalan untuk menutup CLOB. Malangnya selepas 1997 kita hilang kedudukan kita sebagai nombor satu dalam ASEAN.

(Bersambung minggu hadapan)

DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama

Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

0 comments: