Modal insan pelengkap ekonomi baru berteras inovatif, kreativiti

Modal insan pelengkap ekonomi baru berteras inovatif, kreativiti
Oleh Jami’ah Shukri
rencanabh@bharian.com.my

PENSYARAH, penulis dan pakar perunding terkemuka dunia, Peter F Drucker pernah berkata: ‘Inovasi adalah elemen utama kepada usahawan. Dengan mengeksploitasi sesuatu yang berlainan dalam dunia perniagaan dan perkhidmatan mampu mengubah elemen itu.

“Usahawan juga perlu melakukan kajian untuk mendapatkan sumber yang lebih inovasi dan mengaplikasikan ke arah mencipta serta meneroka kejayaan lebih cemerlang.”

Ternyata berfikiran kreatif dan inovasi adalah ramuan terbaik untuk melakukan sebarang penciptaan dalam apa juga sistem kehidupan. Minda kreatif dan inovasi mampu memacu kedudukan tertinggi sosioekonomi sesuatu bangsa. Dalam misi Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020, semua sektor perlu menggarapkan nilai kreatif dan inovasi dalam budaya kehidupan mereka.

Dengan itu, langkah kerajaan memperkenalkan model baru berteraskan peningkatan inovasi dan produktiviti pekerja yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini, tepat pada masanya ke arah meletakkan kedudukan ekonomi daripada sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi kepada pendapatan tinggi.

Model ekonomi baru yang memberi penekanan terhadap aspek inovasi dan produktiviti wajar dilaksanakan segera.

Presiden Persatuan Kreativiti dan Inovasi Malaysia (Macri), Datuk Ghazi Sheikh Ramli menganggap langkah kerajaan itu adalah sejajar dengan misi Macri sendiri yang kini begitu agresif mempromosi kreativiti dan inovasi sebagai jentera bagi menentukan kejayaan negara pada masa depan kepada semua lapisan masyarakat sejak penubuhannya pada April 2007 lalu.

Oleh itu, misi Najib untuk membentuk model baru ekonomi memberi ruang kepada transformasi berkesan dengan menambah nilai yang lebih tinggi menerusi kreativiti dan inovasi. Ekonomi baru ini mampu direalisasikan dengan menyatukan pengetahuan dengan modal insan.

Apa yang perlu dilakukan, Ghazi berkata, keseluruhan sektor ekonomi termasuk di kalangan kerajaan, swasta, akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli perniagaan bertindak untuk mewujudkan transformasi dengan meningkatkan nilai dalam sistem kehidupan mereka.

“Sebagai contoh, syarikat multinasional yang besar dan berjaya, sebenarnya mempunyai budaya inovasi secara menyeluruh di dalam syarikatnya seperti dilakukan IBM, Google, Digi dan Philips.

“Apa yang diperlukan dalam pasaran di Malaysia, syarikat tempatan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memberi penekanan terhadap inovasi dalam ekonomi baru dengan menjadikannya budaya dalam syarikat masing-masing. Apabila ini dapat diterapkan segala pelaksanaan program akan mencatat kecemerlangan,” katanya.

Kajian terhadap 25 syarikat inovatif dunia, mendapati Google sentiasa berada paling atas kerana menggarapkan kreativiti dan inovasi dalam setiap amalan syarikatnya.

Syarikat Tata, dari India, umpamanya, sebelum ini tidak pernah termasuk dalam senarai 25 syarikat inovatif terkemuka dunia, tetapi tahun lalu nama negara itu melonjakkan ke tangga ke-6 selepas melakukan inovasi dalam penciptaan kereta cip terkecil di dunia, iaitu Nano yang hanya bernilai AS$2,500.

“Sekiranya kita meluaskan minda dan berfikiran kreatif serta inovatif, apa juga yang dilakukan boleh ditambah nilai dan dikomersialkan.

“Saya fikir strategi terbaik yang perlu dilakukan kerajaan untuk membangunkan ekonomi baru yang berasaskan kepada kreativiti dan inovasi bagi menambah nilai ialah dengan menekankan kepada modal insan,” katanya.

Apa yang penting ialah memastikan seramai mungkin rakyat di negara ini memahami sepenuhnya apa yang dimaksudkan dengan kreativiti dan inovasi.

Penubuhan Macri, katanya, sejajar dengan matlamat negara dan dengan keahlian 1,800 dari pelbagai kaum, iaitu 55 peratus kalangan dewasa dan 45 peratus di bawah usia 21 tahun serta penekanan kepada ‘memperkasakan idea yang mudah’ sebagai pemangkin generasi yang hebat pada masa depan.

Rakyat, kata beliau, tidak seharusnya dangkal fikiran dengan hanya menganggap inovasi berasaskan kepada produk, sebaliknya perlu memperluaskan minda kepada aspek lain.

“Apabila bercakap mengenai kreatif dan inovasi, masih ramai yang salah anggap dan itu perlu dibetulkan. Ada yang menganggap kreativiti hanya dalam bidang muzik, teater, drama, filem dan penulisan, manakala inovasi hanya untuk pakar penyelidik serta saintis. Ini seolah-olah mereka saja yang kreatif.

“Ada juga yang menyatakan inovasi hanya kepada produk. Semua tanggapan itu salah. Oleh itu, kita perlu nyatakan bahawa kreativiti dan inovasi boleh dilakukan oleh semua golongan dalam apa juga bidang.

“Jika tidak didedahkan dengan perkara baru, selagi itu, kita tidak boleh menjadi seorang yang kreatif dan berinovasi. Kita mahu kedua-dua aspek ini tidak hanya sebagai retorik sebaliknya dilaksanakan kerana setiap manusia dilahirkan dengan akal fikiran dan ia perlu dipergunakan sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam keadaan ekonomi merudum juga dianggap masa yang sesuai negara bergerak pantas ke arah pembinaan kreatif dan inovasi dalam budaya kehidupan.

Malaysia sudah bersedia ke arah itu kerana sudah didedahkan dengan aspek kreativiti dan inovasi jika dibandingkan dengan negara lain. Apa yang paling utama ialah bagaimana kita perlu melonjak lebih jauh ke arah itu dengan menggunakan model kreatif dan inovasi.

Sudah pasti Wawasan 2020 bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan moto Cemerlang, Gemilang dan Terbilang oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini 1Malaysia oleh Najib adalah cantuman kesinambungan yang amat relevan pada masa ini dalam usaha mencapai sebuah negara maju.

0 comments: