Belia dan agenda Satu Malaysia
Oleh DR. SAMSUDIN A. RAHIM
HARI Belia diraikan pada 15 Mei setiap tahun. Pengiktirafan kepada belia adalah penting kerana golongan ini bukan sahaja generasi pewaris tetapi nadi dan indikator keadaan sesebuah negara. Maju atau mundur ekonomi negara, perubahan nilai dan budaya, struktur pekerjaan dan konsep kenegaraan dicerminkan oleh generasi belia.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk membangunkan belia di negara ini, masih banyak isu membabitkan belia diketengahkan. Antaranya ialah keterpinggiran belia dalam sektor ekonomi, salah laku sosial dan tahap perpaduan di kalangan belia pelbagai kaum.
Pendekatan dan pengisian pembangunan belia perlukan perubahan. Selaras dengan perubahan kepimpinan negara dan juga untuk mengatasi kelemahan pendekatan lalu perlu difikirkan pendekatan dan pengisian daripada perspektif baru.
Satu cabaran yang memerlukan perspektif baru adalah bagaimana program pembangunan belia dapat merealisasikan gagasan Satu Malaysia.
Walaupun perpaduan kaum sentiasa menjadi tunggak matlamat pembangunan negara tetapi setelah lebih 50 tahun merdeka, isu perpaduan masih lagi belum dapat diatasi sepenuhnya. Kebelakangan ini, ikatan perpaduan antara kaum kelihatan semakin rapuh.
Kajian oleh Social Science Research Center-Youthsay di kalangan 4,500 belia pada April lalu mendapati, 35 peratus menyatakan rakyat lebih berpecah dan tidak bersatu. Sementara 24 peratus menyatakan rakyat lebih bersatu dan 36 peratus merasakan tahap perpaduan seperti biasa sahaja. Sejumlah sembilan peratus tidak memberikan pendapat.
Kajian itu mendapati 88 peratus belia setuju agar kita kurang menekankan aspek kaum atau etnik dalam wacana seharian. Apabila ditanya tentang konsep Satu Malaysia, 61 peratus menyokong gagasan itu.
Bermula dengan masyarakat majmuk sewaktu mencapai kemerdekaan, kita memulakan proses asimilasi dan seterusnya menuju ke arah integrasi sebagai bangsa Malaysia.
Adalah sukar untuk menjadi satu bangsa yang bersatu jika rakyat tidak dibentuk dalam acuan yang benar-benar diperlukan oleh negara. Sudah tiba masanya program pembangunan belia menekankan aspek pembangunan kewarganegaraan.
Ia berkisar kepada empat kategori iaitu kewarganegaraan sosial, politik, budaya dan ekonomi bersesuaian dengan hak warganegara. Kewarganegaraan tidak hanya boleh dilihat sebagai keahlian seseorang dalam sesebuah negara berdasarkan status kelahiran mereka.
Kewarganegaraan tidak perlu terbatas dengan hubungan negara dan warganya. Sebaliknya ia memerlukan peranan aktif warga untuk membawa perubahan dalam pelbagai dimensi hidup.
Di England satu suruhanjaya Youth Citizenship Commission ditubuhkan pada 2007. Ia bertujuan meningkatkan keterlibatan belia dalam proses demokrasi, melaksanakan pendidikan kewarganegaraan di kalangan kumpulan terpinggir, menggalakkan warga aktif melalui kerja komuniti dan sukarela, serta bagaimana sistem politik boleh mencerminkan cita rasa generasi masa kini.
Negara-negara Kesatuan Eropah juga melancarkan kertas putih New Impetus for European Youth pada 2001. Ia bertujuan menggalakkan kewarganegaraan aktif di kalangan generasi belia. Ini bermaksud melibatkan belia dalam penggunaan kemahiran dan keupayaan sosial, kognitif dan budaya dalam proses membuat keputusan dan pendidikan kewarganegaraan.
Apa yang perhatikan, kebanyakan program pembangunan belia tertumpu kepada aktiviti riadah dan sukan untuk mengisi masa lapang. Memang diakui aktiviti itu penting untuk menjamin tahap kesihatan. Tetapi di manakah program pembangunan yang mendidik belia untuk menjadi warganegara aktif, berpengetahuan dan bertanggungjawab?
Secara umum, kewarganegaraan melibatkan tiga perkara iaitu identiti, rasa diterima dan juga keterlibatan.
Identiti berkait dengan siapa kita. Sukar untuk tentukan identiti fizikal kerana kita berasal daripada pelbagai kaum. Kita ibarat rojak. Tetapi yang menjadikan rojak itu sedap adalah sos petis yang menggarap pelbagai ramuan rojak menjadi satu.
Selain identiti nasional, kita juga boleh mewujudkan identiti budaya. Ia boleh mengambil kira nilai-nilai seperti budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Nilai-nilai Satu Malaysia boleh mewujudkan warganegara yang mempunyai karakter nasional.
Kewarganegaraan juga melibatkan rasa diterima oleh orang lain. Setiap belia perlu merasa mereka diterima oleh masyarakat, persatuan dan majikan. Aspek penting dalam membentuk kewarganegaraan adalah keterlibatan. Ia mesti aktif dan efektif bukan setakat status sebagai ahli sesebuah negara sahaja.
Indeks Belia Malaysia 2008 menunjukkan, tahap keterlibatan belia dalam berpersatuan dan juga sosial politik masih di tahap rendah. Begitu juga dengan skor mengenai identiti.
Walaupun jutaan ringgit dilabur untuk pelbagai program pembangunan belia tetapi pencapaian terhadap intipati pembangunan kewarganegaraan di kalangan belia masih rendah.
Kelemahan itu berlaku kerana program pembangunan belia tidak begitu fokus. Ia tidak mempunyai visi yang jelas untuk dicapai dalam konteks pembangunan negara.
Sementara itu, kita juga perlu mempunyai sistem pemantauan yang akan menilai keberkesanan setiap program melahirkan hasil yang diperlukan. Sistem itu perlu memantau pencapaian dalam tiga domain utama itu identiti, rasa diterima dan keterlibatan dalam empat dimensi kewarganegaraan iaitu politik, sosial, budaya dan ekonomi.
Daripada segi struktur pula, mekanisme program pembangunan belia perlu dirombak dan disusun semula.
Adakah kepelbagaian bentuk persatuan belia yang ada sekarang ini sesuai untuk mencapai matlamat gagasan Satu Malaysia? Kita perlukan kepelbagaian daripada segi bentuk program dan aktiviti yang merangkumi aspek politik, ekonomi, budaya dan sosial.
Usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kapasiti keupayaan sistem penyampaian program pembangunan belia agar mereka boleh melakukan transformasi ke arah Satu Malaysia secara efektif.
Program pembangunan belia tidak boleh lagi dilaksanakan melalui persatuan berbentuk kaum. Sasaran program tidak semestinya terbatas kepada keahlian dalam persatuan dan mereka yang ingin turut serta sahaja.
Pendidikan kewarganegaraan melalui program pembangunan belia haruslah mengambil kira untuk menyampaikan maklumat dan mendidik belia mengenai cabaran dalam bidang pekerjaan, peluang-peluang memajukan diri untuk masa depan, meningkatkan kemahiran dan kapasiti diri, menghayati kualiti kehidupan berkeluarga yang baik dan sebagainya.
Perpaduan antara pelbagai kaum tidak akan tercapai sekiranya generasi belia masih lagi dibelenggu dengan masalah-masalah peribadi. Perpaduan kaum juga mungkin tidak akan tercapai jika kita tidak mempunyai warganegara yang berkualiti dan aktif menunaikan tanggungjawab mereka.
Gagasan Satu Malaysia boleh dicapai jika generasi belia berusaha berjuang untuk masa depan dengan ciri kewarganegaraan satu bangsa, satu bahasa dan satu negara.
PENULIS ialah adalah Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan mantan Ketua Pengawai Eksekutif, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia
0 comments:
Post a Comment