Akhlak penentu kelangsungan tamadun bangsa
Oleh MUHAMMAD HISYAM MOHAMAD
AKHLAK mulia merupakan unsur penting yang perlu ada dalam diri setiap umat Islam. Malah tujuan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT adalah untuk menyempurnakan akhlak mulia manusia.
Ia adalah cerminan kebersihan hati yang diterjemah menerusi tingkah laku pemiliknya. Jadi, jika seseorang itu beriman dan mengamalkan perintah Allah, maka akan timbullah sifat-sifat mulia dalam bentuk budi pekertinya.
Sebaliknya jika memiliki jiwa yang kotor, maka tingkah lakunya banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu yang cenderung untuk melakukan perkara yang dilarang oleh agama.
Dewasa ini kita berdepan dengan segala macam kerenah dan musibah yang berpunca daripada kelunturan penghayatan akhlak yang mulia di kalangan anggota masyarakat. Daripada masalah buli di kalangan pelajar sekolah hinggalah kepada onar oleh mat-mat rempit. Dan daripada soal kerenah birokrasi penjawat bawahan hinggalah kepada masalah akhlak golongan atasan. Semua itu berpunca daripada kurang penghayatan serta pengamalan kepada akhlak Islamiah yang dibawa oleh Nabi SAW.
Dalam satu riwayat, Saidatina Aishah r.a pernah ditanya berkenaan akhlak Rasulullah. Jawapan oleh Umm al-Mukminin itu amat ringkas sekali. Namun ia mempunyai pengertian yang besar iaitu akhlak Rasulullah "adalah al-Quran".
Kitab suci itu adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia. Jadi apabila Aishah menjawab seperti itu, secara jelas menunjukkan unsur akhlak tidak boleh dipandang remeh.
Dalam hal ini juga, kita tidak menafikan peranan tradisi keilmuan yang tinggi dalam pembangunan tamadun bangsa. Malah sejarah membuktikan bahawa bangsa yang mempunyai budaya ilmu yang baik mampu mencapai kemajuan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang kehidupan. Sebagai contoh, bangsa Yunani purba serta umat Islam suatu ketika dahulu telah mencapai kegemilangan masing-masing menerusi penghayatan tradisi keilmuan yang tinggi.
Namun tradisi keilmuan semata-mata tanpa penekanan yang sewajarnya diberikan kepada soal penghayatan nilai-nilai murni tidak memungkinkan kegemilangan tadi dapat bertahan lama.
Masyarakat Yunani purba walaupun berilmu, namun gagal daripada segi penghayatan dan amalan. Mereka mengakui bahawa ilmu perlu selari dengan akhlak, namun daripada segi amalan adalah sebaliknya.
Begitu juga dengan tamadun Islam. Jatuh bangun tamaddun ini sepanjang sejarah lalu ada kaitan rapat dengan amalan ajaran agama. Asuhan dan didikan Rasulullah SAW yang menekankan unsur pengukuhan akidah, penghayatan budaya ilmu dan pembinaan sahsiah berjaya mengangkat masyarakat Arab jahiliah.
Mereka menerima ajaran Islam untuk membina empayar pemerintahan dan membangunkan satu peradaban yang jauh mengatasi tamadun bangsa lain yang sezaman dengannya.
Kelunturan terhadap pegangan agama dan nilai murni yang dianjurkan agama Islam terutama di kalangan pemimpin telah menghumban maruah bangsa ke tahap paling rendah. Paling menyedihkan apabila masyarakat Islam sendiri menolak Islam dalam sistem pemerintahan. Ini berlaku di Turki selepas kejatuhan empayar Othmaniah. Pemimpin Turki mengisytiharkan ia sebagai negara sekular yang tiada hubung kait dengan dunia Islam. Secara tidak langsung ia menafikan kepentingan unsur akidah dan peranan akhlak Islamiah dalam membangunkan bangsa dan negara.
Hasilnya, hari ini tiada sebuah pun negara Islam disenaraikan sebagai negara maju walaupun kaya dengan sumber alam. Sebaliknya negara-negara Islam atau majoriti penduduk Islam terkenal dengan ciri kemunduran, pergolakan siasah, kekacauan, rasuah, tadbir urus yang lemah dan sebagainya.
Ini juga boleh dilihat di kalangan umat Islam Malaysia. Perangkaan pada 2008 menunjukkan, 48.7 peratus atau 13.67 juta penduduk terdiri daripada kaum Melayu beragama Islam. Tetapi jumlah yang ramai bukan bukti menunjukkan masyarakat Islam di Malaysia menguasai pelbagai bidang.
Memang tidak dinafikan terdapat ramai tokoh Melayu Islam yang menyumbang kepada usaha pembangunan bangsa dan negara. Namun orang Melayu juga dilihat begitu menonjol menerusi salah laku yang tidak selaras dengan ajaran agama. Islam menganjurkan umatnya supaya mengamalkan akhlak yang mulia di dalam kehidupan harian.
Lihat saja gejala mat rempit, penagihan dadah, buang anak dan jenayah lain. Majoriti ialah orang Melayu beragama Islam.
Ilmu semata-mata tidak menjanjikan kejayaan yang dihasratkan. Justeru jika kita ingin melihat masyarakat Melayu membangun dalam erti kata sebenarnya dan mampu mempertahankan kemajuan itu, kita tidak boleh mengabaikan unsur pengamalan dan penghayatan akhlak. Ia perlu ada dalam setiap peringkat pembangunan modal insan dan pendidikan anak-anak.
Usaha ini tidak seharusnya terhad kepada peranan ibu bapa dan guru-guru sahaja. Ia perlu melibatkan anggota masyarakat dan juga pihak pembuat dasar. Kerjasama semua pihak amat perlu.
Di sini kita melihat gabung jalin di antara sistem pendidikan oleh ibu bapa dan guru dengan sistem pemantauan oleh jiran dan ahli masyarakat. Ia perlu diperkukuhkan dengan penguatkuasaan undang-undang bagi membantu memperkukuhkan penghayatan nilai murni dan akhlak mulia masyarakat.
PENULIS ialah Felo, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, IKIM
0 comments:
Post a Comment