Dakwaan rasuah dalam Pas jadi polemik blogger

Dakwaan rasuah dalam Pas jadi polemik blogger

Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my


PENDEDAHAN Ketua Majlis Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi berhubung wujudnya gejala rasuah dalam parti itu mendapat reaksi beberapa penulis blog, termasuk mereka yang cenderung propembangkang.

Mohd. Sayuti Omar (msomelayu.blogspot.com) dalam tulisannya bertajuk Isyarat Penting Mengenai Rasuah Dalam Pas semalam berkata, Mohamed Daud tidak mungkin berbohong mengenai hal itu kerana beliau sangat tahu hukum membuat fitnah.

"Saya yakin 100 peratus Mohamed Daud ada bukti mengenai perkara itu. Kalau tidak masakan beliau berani menuturkannya.

"Tok Guru Nik Aziz sendiri rasanya tidak berani kerana beliau mempunyai perhitungan politik yang jauh ke depan berbanding dengan Mat Iraq yang lebih tulus,'' tulisnya merujuk kepada gelaran Mohamed Daud.

Malah penulis turut mendedahkan dua peristiwa sepanjang muktamar Pas kawasan baru-baru ini yang mempunyai unsur-unsur rasuah.

"Pertama, saya dengar ada beberapa kawasan Pas telah dihulurkan wang sebanyak RM5,000. Tujuan wang itu diberi ialah kononnya untuk membantu Pas kawasan berkenaan.

"Pemberian itu bagaimanapun ada syaratnya. Pas kawasan yang menerima wang itu hendaklah memanggil si pemberi wang untuk merasmikan mesyuarat Pas kawasan berkenaan atau mencalonkan orang itu untuk jawatan-jawatan tertentu,'' tulisnya.

Kata beliau, satu lagi kejadian ialah apabila terdapat individu tertentu yang menggunakan kedudukan dan kuasanya untuk mengugut ketua-ketua cawangan atau para perwakilan.

"Bentuk ugutan ialah sekiranya mereka tidak mengundi calon tertentu kemudahan yang parti anugerah akan ditarik balik,'' tulisnya.

Kata beliau, berdasarkan kepada kejadian-kejadian tersebut maka jelaslah elemen rasuah ketika pemilihan pemimpin parti Pas benar-benar berlaku tetapi ia belum diketengahkan lagi.

Muhammad Azli Shukri (azlishukri.blogspot.com) pula menulis, beliau agak sedih kerana beberapa perkara yang berlaku dalam Pas. Malah mula rasa hilang hormat kepada parti yang selama ini melaungkan kepimpinan ulama dan Islam.

Katanya, perkara itu ialah kerana wujud rasuah atau politik wang pada pemilihan kepimpinan Pas pada kali ini, seperti yang diakui oleh Mohamed Daud.

Selain itu beliau kecewa dengan isu penolakan konsep kerajaan perpaduan oleh Mursyidul Am parti, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sebuah parti Islam tidak seharusnya mempunyai ahli yang mengamalkan politik wang. Yang jelas, ini adalah kesalahan Pas sendiri, tidak perlu menyalahkan orang lain.

"Pas pada hakikatnya lebih banyak menumpukan kepada politik berbanding dengan urusan dakwah.

" Pas lupa tanggungjawab mereka yang sebenarnya adalah berdakwah dan bukan merebut kuasa semata-mata,'' tulis penulis berusia 29 tahun itu.

Mengenai penolakan kerajaan perpaduan, penulis berkata, adalah tidak wajar mendesak UMNO menukar dasar kepada Islam terlebih dahulu sebelum Pas menerima UMNO kembali.

"Ini merupakan cakap orang yang tidak ikhlas. DAP dan PKR tidak ada dasar Islam pun, tetapi bagaimana Pas boleh percaya dan yakin kepada mereka?

"DAP menentang negara Islam dan PKR pula tiada pendirian yang jelas berhubung penubuhan negara Islam. Jadi bagaimana Pas boleh bekerjasama dengan mereka?'' soalnya.

Kamal Farsya (kamalfarsya.blogspot. com) semalam turut mengupas mengenai gejala rasuah dalam Pas seperti yang didedahkan itu.

Katanya, perebutan kuasa dalam Pas kini sangat ketara sehinggakan terdapat individu yang sanggup memberikan hadiah kepada perwakilan bagi mendapatkan sokongan.

"Rasuah memang wujud dalam Pas tetapi pemimpin mereka mentafsirkannya sebagai hadiah atau sumbangan.

"Bagi Pas, mereka akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menutup amalan rasuah dalam parti mereka.

"Dalam Pas semua halal kerana bagi mereka ia hanya berupa sumbangan. Itulah tafsiran Pas,'' tulisnya.

Sementara itu Sofi Wahab (mutaligat.blogpsot.com) dalam tulisan bertajuk Benarkah apa yang didakwa oleh Ketua Ulama? masih belum dapat menerima hakikat itu.

Malah beliau menganggap kenyataan Mohamed Daud sebagai permainan media untuk memburuk-burukkan Pas.

"Saya ingin mengingatkan seluruh pemimpin dan ahli Pas supaya berhati-hati membuat kenyataan kerana media yang menjadi musuh utama kita sedang berusaha untuk menghancurkan Pas.

"Mereka mengutarakan berita-berita negatif supaya perpaduan di dalam Pas menjadi longgar dan kepercayaan rakyat kepada Pas terhakis,'' tulisnya.

Kupasan-kupasan yang dibuat oleh para penulis blog itu sekali gus menunjukkan terdapat polemik nyata mengenai isu rasuah di kalangan ahli dan pemimpin parti berasaskan Islam itu.

Ramai yang percaya dengan dakwaan itu tetapi tidak kurang yang skeptikal mengenainya.

0 comments: