KUALA LUMPUR 13 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat menggunakan kesempatan sempena perayaan Aidilfitri untuk mengukuhkan perpaduan.
Menurutnya, tradisi kunjung-mengunjung rakyat berbilang kaum yang amat unik dan tidak terdapat di negara-negara lain perlu dipertahankan supaya terus segar.
‘‘Perkara positif dan sikap baik seperti ini sekiranya dikekal dan diperkukuhkan, saya yakin negara ini akan dapat melonjak kepada mercu kejayaan yang lebih hebat,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah sebuah stesen televisyen di Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Najib juga menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pihak luar yang menyifatkan hubungan kaum di negara ini semakin goyah.
‘‘Kenyataan itu adalah tidak berasas dan ia tidak boleh dilayan kerana dibuat oleh mereka yang kurang memahami keadaan negara ini,’’ katanya.
Sementara itu, Presiden MCA, Ong Ka Ting berkata, tradisi mengadakan rumah terbuka perlu diteruskan kerana ia dapat mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum.
“Kita patut berbangga kerana Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja disambut rakyat beragama Islam bahkan oleh semua rakyat negara ini.
“Malah, suasana muhibah dapat dirasakan sejak bulan Ramadan apabila kita berbuka puasa bersama-sama,’’ katanya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, perpaduan rakyat negara ini yang utuh dapat membantu negara mengatasi apa jua cabaran.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu menyeru semua kaum meneruskan tradisi menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa mengira kaum dan agama.
“Kita ingin teruskan tradisi yang menyatupadukan rakyat negara ini. Melalui rumah terbuka seperti ini, mereka boleh berbincang antara satu sama lain,’’ katanya.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik pula menggalakkan semua rakyat negara ini bersama-sama menyambut perayaan setiap kaum.
Menurutnya, dengan saling kunjung-mengunjungi, semua kaum akan mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya sesama sendiri.
“Situasi unik ini jarang didapati di negara lain. Oleh itu, jangan memandang remeh sebarang unsur negatif yang boleh mengganggu gugat keamanan dan keharmonian negara ini.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, rumah terbuka ialah tradisi Malaysia yang sangat unik dan berupaya memupuk semangat muhibah dan harmoni sesama kaum.
“Orang ramai boleh membantu mencapai matlamat negara dengan berpegang teguh kepada semangat muhibah yang telah terjalin,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment