Oleh ISMAIL DAUD dan TAN MENG WAI
MERSING 13 Okt. – Empat orang mati lemas manakala lima yang lain termasuk seorang kanak-kanak cedera ketika cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut selepas feri yang mereka naiki terbakar berhampiran Pulau Tioman hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, feri itu yang membawa 98 penumpang dalam perjalanan dari Jeti Genting di Tioman ke Jeti Mersing di tanah besar.
Ketika kejadian, feri itu berada kira-kira tujuh batu nautika dari pulau peranginan tersebut dan dipercayai menghadapi masalah enjin.
Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan Harun Arshad ketika dihubungi berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Hoo Lee Lan, 67, dari Kuala Lumpur, Hong See Tiew, 53, dan Teh Siew Lian, 52, masing-masing dari Klang dan Tee Moi @ Haw Lee Maoi, 68, dari Batu Pahat.
Mereka yang cedera pula ialah Chong Ling Yi, 7, Ngow Lee Leng, 14, Lee Ling Yin, 35, Yong Sait Yen, 26, dan seorang petugas feri tersebut yang belum dikenal pasti identitinya.
Katanya, Ling Yi dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana melecur di muka dan tangan, Lee Leng dan Ling Yin dihantar ke Hospital Batu Pahat, manakala Sait Yen ke Hospital Mersing.
Petugas feri itu hanya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Mersing.
Harun berkata, seramai 90 penumpang lain berjaya diselamatkan oleh dua feri lain yang dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, mengikut rekod tiket, feri berhawa dingin itu membawa 75 penumpang dan lebihan penumpang itu dipercayai mereka yang mempunyai tiket untuk perjalanan kemudian.
Kata Harun, mereka dipercayai dibenarkan menaiki feri itu kerana masih terdapat kekosongan tempat duduk.
“Setakat ini, kiraan kita ialah 98 penumpang termasuk mereka yang meninggal dunia dan kita sedang mendapatkan maklumat lanjut dari syarikat feri itu tentang kemungkinan ada penumpang lain.
“Pada masa ini, operasi mencari dihentikan dan akan diteruskan jika maklumat menyatakan mungkin ada penumpang lagi yang belum ditemui,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment