Abdullah gembira bersama ahli keluarga baru

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gembira dengan kehadiran dua ahli keluarga baru pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini iaitu isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah dan cucu kelima yang dilahirkan pada 13 September lalu.

Perdana Menteri berkata, walaupun tidak dapat meluangkan banyak masa bersama mereka berikutan terpaksa memberi tumpuan kepada tugas negara tetapi beliau tetap gembira.

‘‘Pada bulan Ramadan ini memang saya banyak tempat kena pergi dan kebetulan pada tahun ini kena pergi ke luar negara, jadi saya sentiasa sibuk.

‘‘Sebenarnya kami berbuka puasa tiga kali sahaja di rumah, lain daripada itu di tempat lain dan saya juga berbuka puasa bersama isteri dalam kapal terbang sebanyak tiga kali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu ramah secara lintas langsung oleh TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet di sini hari ini.

Abdullah diijabkabulkan dengan Jeanne pada 9 Jun lalu.

Nori, anak kedua Abdullah iaitu isteri Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin telah melahirkan seorang anak lelaki yang diberi nama Jibreil Ali Jamaluddin Abu Bakar di Pusat Perubatan Pantai.

Perdana Menteri mempunyai empat cucu lain menerusi anak lelakinya, Kamaluddin.

Abdullah menjelaskan, beliau juga gembira setiap kali menatap wajah cucu terbaru yang dilahirkan pada hari pertama Ramadan.

‘‘Saya ini jarang berada di rumah, jadi tak dapat tengok cucu selalu, tapi kalau dapat lihat cucu, saya dukung dia, memang saya suka dengan kanak-kanak ini,” ujarnya.

Sementara itu, Jeanne yang ditanya mengenai perasaannya memberitahu, beliau seronok kerana dapat bersama-sama Perdana Menteri mengadakan rumah terbuka untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

‘‘Memang seronok sebab semua keluarga berada di rumah dan semalam kami berbuka puasa beramai-ramai pada hari terakhir Ramadan dan juga dapat bersama-sama menziarahi kubur Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood,” jelasnya.

0 comments: