Oleh Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my
ANGGOTA forensik memeriksa botol bom api �molotov cocktail� yang dilempar ke kenderaan pacuan empat roda milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Klang, Khamis lalu. |
Suruhanjaya pencegahan rasuah berdepan pelbagai cabaran, kerenah politik
KALAULAH Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebuah parti politik, ia pasti akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan keadaan dan masalahnya sekarang. Terlalu banyak cabaran dan dugaan yang sudah semestinya perlu dibincang dan dibahas sesama ahli dan pemimpinnya.
Tetapi ia bukan parti politik.
Pada asasnya walaupun terpalit sedikit dengan politik, tidak kira politik siapa pun, kerajaan atau pembangkang, kedudukan SPRM sebagai satu badan yang berkecuali, yang bertanggungjawab kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan tergugat.
Namun begitu, ia tidak menghalang orang menganggapnya sebagai mempunyai agenda politik, atau digambarkan sebagai satu badan yang berpendirian politik. Kedua-duanya, kita mesti akui sama ada tidak sengaja atau dirancang, akan menghakis kredibilitinya.
Boleh dikatakan kini, lebih dari mana-mana institusi, tumpuan kita senegara boleh dikatakan banyak ke atas SPRM.
Apa tidaknya, kini satu inkues sedang berjalan mengenai kematian seorang saksi yang membantu SPRM di dalam siasatan salahguna kuasa ahli politik. Inkues ini menjadi tumpuan kita, selepas berminggu kita dihidangkan setiap pagi dengan berita, analisis, teori dan spekulasi kematian pembantu politik berkenaan.
Terasa lega juga inkues sudah bermula, kerana sebelum itu macam-macam spekulasi timbul. Ada yang kata inkues bukan caranya, ada kata majistret tidak layak, ada kata banyak akan disembunyikan, dan macam-macam lagi.
Bukan itu saja, selepas ini akan juga diadakan suruhanjaya diraja untuk melihat cara SPRM mengendalikan siasatan ke atas si mati.
Dalam masa yang sama, SPRM kini sedang menyiasat beberapa kes rasuah dan salahguna kuasa di kalangan ahli politik. Tetapi sesetengahnya mengambil keputusan untuk membela diri di media. Mereka bukan saja memberitahu dunia mereka tidak bersalah, malah cuba menimbulkan sangsi dan marah kepada SPRM kerana ada hati nak menyiasat mereka.
Di tengah-tengahnya, menerima tekanan daripada semua pihak dan segala arah adalah SPRM dan anggotanya. Baru-baru ini seorang pegawai kanannya macam hendak merajuk bila berkata SPRM tidak akan menyiasat ahli politik, ataupun perlu pendekatan lain bila menyiasat ahli politik.
Kita faham kenapa pegawai ini marah. Ahli politik selalunya tidak perlu bertindak menurut fakta. Mereka juga mempunyai senjata besar, iaitu mulut mereka. Media massa pula sedia melaporkan apa saja yang dikatakan oleh mereka.
Jika mereka kata SPRM ada agenda politik, mereka tidak perlu buktikan. Bagaimana pula SPRM, yang fungsinya ialah menyiasat dan mencari bukti, harus menjawabnya?
Baru-baru ini seorang ahli politik mengatakan cara siasatan SPRM adalah ala-Gestapo. Ini merupakan pilihan perkataan yang bijak jika SPRM mahu dibenci, kerana siapa antara kita yang suka polis rahsia Nazi Jerman yang zalim itu.
Beberapa tahun lalu seorang ahli politik melabel polis seakan Mossad. Siapa yang sukakan unit risikan Yahudi ini? Adakah kedua ini datang dari buku panduan politik yang sama.
Dengan perkataan yang pandai dipilih, tiba-tiba ribuan anggota SPRM dipandang serong. Jika mereka datang, jaga-jaga, mereka mungkin zalim macam Nazi!
Menteri Besar Selangor pula mengeluarkan surat pekeliling yang dengan jelas memberitahu SPRM bagaimana ia harus menjalankan tugasnya, terutama bila anggota partinya terbabit.
Bolehkah kita rakyat biasa nanti beritahu mana-mana agensi penguat kuasa yang kita hanya akan melayan mereka pada masa dan tempat yang kita anggap sesuai? Sejak bila penguatkuasaan undang-undang boleh dikompromi begitu sekali kerana fahaman politik?
SPRM juga dituduh hanya tertumpu kepada pembangkang, dan ada pula yang berkata mereka disiasat kerana bukan berbangsa Melayu. Bagaimanakah tuduhan ini boleh dijawab jika statistik yang menunjukkan ratusan politikus Melayu daripada parti kerajaan telah disiasat dan puluhan diheret ke pengadilan, tidak diterima?
Jelas bagi sesetengah pihak, bukan penjelasan yang dikehendaki. Apa yang dicari ialah teori konspirasi kononnya SPRM menghendap dan memerangkap ahli politik yang ia mahu saja.
Kini kita dikejutkan pula dengan kandungan satu surat yang tiba-tiba muncul di dalam inkues kematian pembantu politik itu yang mengatakan ada di kalangan pegawai SPRM yang didalangi ahli politik. Ini adalah tuduhan yang amat berat, bukan saja ke atas ahli politik itu, tetapi juga SPRM.
Jika tuduhan-tuduhan ini benar, maka SPRM perlu menerima padahnya. Jika tidak benar, tiada apa yang boleh ia lakukan kecuali menjelaskan tanpa henti, tanpa jemu, sampai bila-bila.
Tetapi bukan mudah. Tiba-tiba di dalam sebulan dua SPRM menerima tekanan yang amat kuat, yang bukan saja menuduhnya sebagai bertanggungjawab ke atas satu kematian -ada kata membunuh! - ia juga dikatakan ada agenda politik dan digunakan sebagai perkakas ahli politik dan kerajaan.
Banyak juga yang secara terus-terang cuba menggambarkan SPRM sebagai jahat dan tidak berperikemanusiaan.
Kita mahu SPRM menjalankan tugasnya tetapi pada masa yang sama kita menyatakan kepada anggotanya kesangsian kita yang mereka berupaya menjalankan tugas dengan adil. Jika ini berlaku ia sangatlah berbahaya. Ia akan merupakan tanda awal yang akan merosakkan integriti SPRM. Agenda politik itu satu, tetapi bila rakyat mula mempersoalkan sesuatu, ia mampu membawa perubahan yang besar.
Kita boleh marahkan orang politik kerana memang menjadi lumrah mereka, tidak kira di sebelah mana mereka duduk di Parlimen, untuk tidak melepas peluang mencari markah politik dan menonjolkan diri. Dalam mencari undi dan sokongan apa saja boleh dijanji atau dikecam.
Marah orang politik itu senang, kita tidak perlu bertanggungjawab.
SPRM juga perlu melihat secara jujur dirinya. Adakah tuduhan-tuduhan terhadapnya berasas? Adakah SPRM sudah habis siasat orang yang hidup terlalu mewah jika dibandingkan kedudukan mereka? Adakah di dalamnya anggota yang melanggar sumpah kerja mereka?
Walaupun kita mahukan SPRM menjadi bertambah baik, kita juga perlu bertanya sesama sendiri sama ada kita rela orang cuba mengganggu-gugat SPRM - atau institusi-institusi lain seperti polis, kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya - semata-mata untuk kepentingan politik mereka? � zainul@nstp.com.my
0 comments:
Post a Comment