Kenapa umat Islam berpecah?

Kenapa umat Islam berpecah?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

Berpecah kerana politik

CUBA bayangkan senario ini, sempena Ramadan, pada malam terakhir kempen Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang Pasir, solat tarawih perdana diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam.

Majlis tersebut dihadiri bukan sahaja oleh semua pemimpin-pemimpin kanan UMNO dan Pas yang terlibat dalam kempen pilihan raya itu tetapi juga kedua-dua calon yang bertanding.

Mereka bersolat bersama-sama dan kemudian bermaaf-maafan. Mereka meninggalkan majlis itu dengan fikiran yang lapang dan tali persaudaraan Islam sesama mereka semakin erat, biarpun mereka berbeza parti dan akan bertarung dalam pilihan raya.

Mungkin senario ini, jika dibayangkan nampak indah dan menarik, siapa yang tidak mahu melihat orang Melayu bersatu padu dan meningkatkan ukhuwah Islamiah sesama mereka. Tetapi buat masa ini, kita hanya mampu membayangkan sahaja, apa yang dicatatkan tidak mungkin akan menjadi kenyataan, biarpun itulah sikap terbaik bagi melambangkan perpaduan di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Sebenarnya, kita sudah bosan untuk menyebut soal penyatuan Melayu, malah kita juga sudah malas untuk membincangkan soal perpaduan umat Islam di negara ini. Ia berlaku kerana setakat ini apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, umat Islam terus berpecah belah dan lebih buruk dari semasa ke semasa semakin banyak pula kenyataan-kenyataan dibuat oleh pemimpin politik tertentu yang mengecam sesama Islam.

Soal syurga, neraka, Islam plastik, Islam palsu, menyerang peribadi ketika berkempen dan memburukkan-burukkan antara satu sama lain telah menyukarkan kita untuk melihat umat Islam di negara ini bersatu.

Penyatuan ini bukanlah mustahil dan bukanlah sesuatu yang sukar tetapi ia terhalang kerana ada pihak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Bagi mereka, kalau ada unsur-unsur untuk bekerjasama dengan UMNO demi perpaduan orang Melayu dan Islam maka ia boleh menjejaskan kedudukan politik mereka.

Pemimpin-pemimpin dalam kelompok berkenaan sanggup mengatakan UMNO mengamalkan Islam palsu dan Islam plastik tetapi yang anehnya mereka tidak pula mempertikaikan apa pula bentuk Islam yang dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bagaimana pula dengan pendirian DAP, jika ada pihak hendak melaksanakan pemerintahan Islam?

Adalah sesuatu yang malang jika perhitungan politik mengatasi segala-galanya. Demi kuasa politik, demi secebis kedudukan, kita lebih rela bermusuh sesama Islam. Kita keluarkan pelbagai hujah bagi ‘menghalalkan’ tindakan kita mengecam saudara kita sendiri.

Sesungguhnya perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam sekarang terutamanya dari segi politik tidak menguntungkan mereka. Sepatutnya sebagai pemimpin beragama Islam, tata susila, etika dan tingkah laku kita adalah lebih baik daripada pemimpin-pemimpin bukan Islam.

Apatah lagi kalau ada di kalangan kita sering bercakap soal-soal agama di dalam blog-blog atau memberikan tazkirah serta membaca khutbah Jumaat. Namun apa yang kita saksikan, ketika pemimpin-pemimpin bukan Islam tidak mencaci sesama sendiri biarpun mereka berbeza parti dan bertarung dalam pilihan raya, di kalangan pemimpin Islam pula adalah sebaliknya.

Antara mereka bukan sahaja dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang mengguris perasaan umat Islam yang lain, malah sanggup bergerak siang dan malam untuk memperolehi rahsia peribadi seseorang pemimpin yang kemudiannya akan didedahkan kepada umum. Mereka lakukan itu sebagai modal politik, soal moral berpolitik dalam Islam sudah tidak ada lagi, biarpun mereka melaung-laungkan memperjuangkan Islam dan ingin menegakkan kebenaran tetapi apa yang mereka lakukan adalah sebaliknya.

Kesudahannya orang bukan Islam akan melihat begitulah cara orang Islam berpolitik. Akan ada kelompok yang akan bergembira dengan tingkah laku sedemikian kerana ia akan memecah belahkan umat Islam. Apabila umat Islam berpecah, maka mereka menjadi lemah dan apabila mereka menjadi lemah maka mereka hanya akan menjadi ‘pak turut’ sahaja kerana tiada kuasa politik yang kuat.

Kita sudah lihat contoh di beberapa negeri, apabila ada sesetengah parti tidak mampu bersuara langsung, biarpun ada tindakan oleh rakan-rakan pakatan mereka melanggar prinsip perjuangan namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana suara politik mereka ‘tidak laku’. Kalau mereka hendak bersuara sedikit, semangat yang mereka ditunjukkan itu hanya menjadi `hangat-hangat tahi ayam’ sahaja, mereka akan diam apabila ditegur oleh rakan dalam pakatan.

Tetapi bahana ini masih belum mahu dipelajari oleh sesetengah umat Islam. Bagi mereka, apa yang penting berebut kerusi dalam pilihan raya dan kuasa politik. Soal sama ada perebutan yang berlaku akan melemahkan umat Islam ia adalah soal kedua.

Kita tidak perlu membuang masa untuk bercakap soal kejatuhan empayar Islam dan mengimbas kembali bagaimana orang Melayu dijajah suatu ketika dahulu, semua itu tidak akan menginsafkan puak-puak berkenaan. Apa yang boleh kita peringatkan ialah mereka harus bersedia bertanggungjawab seandainya suatu hari kelak orang Melayu dan umat Islam menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Ketika ini keluarkanlah apa juga kenyataan bagi menyakiti hati sesama Islam demi mencari keuntungan politik dan lodehkanlah apa juga keburukannya musuh politik kita. Mungkin mereka akan berjaya mendapat sokongan politik yang diinginkan, apatah lagi di kalangan penyokong tegar yang taksub tetapi tanpa mereka sedari dalam masa yang sama mereka juga sedang menghakis sedikit demi sedikit tembok kekuatan umat Islam di negara ini.

Sehebat manapun kuasa politik yang kita miliki, ia tidak akan mampu menggantikan tali persaudaraan Islam yang ditetapkan oleh Allah SWT. Jangan terlalu sombong menolak salam perpaduan yang dihulurkan.

Lagipun apalah gunanya kita bersikap seperti ‘harimau’ kepada saudara seagama tetapi menjadi ‘kucing’ kepada rakan yang bukan seagama dengan kita.

Akibat taksub

Tersedia maklum bagaimana di kalangan masyarakat Cina, ada pertubuhan gabungan sekolah-sekolah Cina yang menjadi tonggak kepada perjuangan pendidikan bahasa Cina.

Dalam memperjuangkan pendidikan Cina, masyarakat Cina bersatu dan bersepakat bahawa sekolah berpengantar bahasa Cina adalah wajib dipertahankan. Tanpa mengira apa pun parti mereka, sama ada MCA, Gerakan, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), orang Cina muafakat bahawa pendidikan pengantar bahasa Cina mesti disokong.

Tetapi lihat umat Islam di negara ini pula. Pernahkah kedengaran adanya pertubuhan gabungan sekolah-sekolah agama Islam yang memperjuangkan pendidikan agama?

Sistem pendidikan agama di negara ini berpecah-pecah menurut negeri. Ada negeri yang mempunyai sistem pendidikan agama yang kemas, sementara yang lain pula tidak tersusun.

Sistem pendidikan agama rakyat pula tidak benar-benar merangkumi seluruh penduduk Islam. Sedangkan sekolah-sekolah agama baik yang berbentuk penuh atau pun secara rakyat yang menggunakan masjid dan surau setempat tidak mendapat perhatian yang padu daripada umat Islam.

Seharusnya gerakan pendidikan agama ini mempunyai pertubuhan gabungan sendiri seperti yang ada pada masyarakat Cina. Soal dana juga wajar dapat diuruskan dengan baik jika terdapat gerakan dan perpaduan yang menyeluruh ini. Sedangkan pendidikan agama ini merupakan tonggak jati diri umat Islam di negara ini.

Dalam hal ini, tanpa mengira apa pun parti politik, sama ada UMNO, Pas mahupun PKR patut menyokong pendidikan agama ini. Ia sebagai salah satu contoh di mana orang Islam wajar bersatu dalam isu bersama tanpa mengira parti sokongan mereka.

Satu lagi contoh ialah tentang kepenggunaan Islam. Maksud di sini, soal-soal kepenggunaan yang berkaitan Islam umpamanya seperti soal halal, dan pembangunan perniagaan Islam seperti yang diperjuangkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Tetapi kejayaan perjuangan kepenggunaan Islam hanya benar-benar dapat berkesan jika umat Islam bersatu. Maka dalam hal ini juga umat Islam wajar bersatu tanpa mengira aliran politik mereka, sama ada UMNO, Pas ataupun PKR.

Banyak lagi isu-isu Islam yang menuntut perpaduan di kalangan umat Islam bagi menjayakannya. Tetapi tentunya isu paling besar yang menuntut perpaduan umat Islam bagi menjayakannya ialah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Ini kerana kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan. Malaysia sebagai sebuah negara Islam ini menurut perlembagaan negara mesti tegas dipertahankan oleh umat Islam di negara ini tanpa mengira parti politik mereka. Sama ada dari UMNO, Pas atau PKR, orang Islam mesti mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama negara.

Sehubungan itu orang Islam secara umumnya mesti memahami perlembagaan dan kepentingan mempertahankannya demi agama Islam itu sendiri.

Sehubungan itu wajar adanya gerakan di kalangan orang Islam yang menumpukan perhatian bagi mempertahankan perlembagaan.

Seperti juga perjuangan pendidikan agama Islam, kepenggunaan Islam, bagi usaha mempertahankan perlembagaan ini, ia memerlukan perpaduan umat Islam.

Sememangnya untuk memaksa semua orang Islam berada dalam satu parti adalah tidak mungkin. Ini kerana dalam sebuah demokrasi dan terbuka seperti Malaysia, orang Islam tentunya mempunyai fahaman dan fikiran berbeza. Maka tidak hairanlah wujud parti-parti yang berbeza bagi orang Melayu - UMNO, Pas dan PKR.

Tetapi perbezaan fahaman ini tidak wajar meminggirkan perjuangan untuk agama dan ummah. Mereka mungkin bertembung dalam pilihan raya, bersaing untuk memenangi kerusi, berkempen menentang calon di antara satu sama lain, tetapi apabila soal kepentingan agama dan ummah, semua umat Islam mesti bersatu.

Kesetiaan semua orang Islam termasuk parti-parti mereka mesti kepada agama Islam. dan bukannya sekutu-sekutu politik masing-masing.

Maksudnya, ketika bersaing dalam politik, tentunya parti-parti itu menemui satu landasan bersama dengan sekutu-sekutu mereka dari kalangan parti-parti yang dianggotai oleh bukan Islam. Umpamanya dalam Barisan Nasional, UMNO mempunyai sekutu dari MCA, gerakan dan MIC. Sementara dalam Pakatan Rakyat, Pas dan PKR mempunyai sekutu dari kalangan DAP.

Masing-masing mempunyai fahaman dan aliran politik tersendiri yang memungkinkan mereka muafakat dengan sekutu masing-masing untuk bertembung dengan pihak yang lagi satu.

Namun begitu, jika isu Islam timbul, UMNO, Pas dan PKR wajar bekerjasama bagi menjayakannya. Seperti mana apabila isu Cina yang membawa kepada sokongan bersama MCA, Gerakan, DAP dan PKR. Begitu juga apabila timbul isu India yang memungkinkan kerjasama antara MIC, DAP dan PKR.

Kedudukan agama Islam dalam perlembagaan menuntut keadaan perpaduan yang mencakupi hal-hail lain tetapi berkaitan.

Tentunya kedudukan agama Islam dalam perlembagaan berkait pula dengan kedaulatan negeri-negeri di Malaysia yang meletakkan Raja-raja Melayu sebagai bukan saja ketua agama Islam tetapi pemerintah sebenar negeri-negeri itu.

Jadi apabila umat Islam di negara ini secara keseluruhannya mendokong kedudukan agama Islam sebagai agama negara, maka mereka juga perlu mendokong kedaulatan Raja-raja Melayu.

Dalam hal ini, tentunya UMNO, Pas dan PKR sekata hendak mendokong perlembagaan. Tetapi dalam persaingan politik, timbul tanda-tanda ada pihak mahu mempertikaikan semangat perlembagaan yang ada. Adalah dipercayai perkara ini berlaku kerana kurang kefahaman tentang perlembagaan akibat rasa kebencian kepada parti politik yang memerintah.

Sedangkan pihak yang patut bertanggungjawab mempertahankan perlembagaan bukannya UMNO semata-mata tetapi juga semua umat islam di seluruh negara.

Ummah wajar diutamakan daripada parti politik.

0 comments: