Minda Pengarang: Kenaikan tambang tuntut pengangkutan awam lebih selesa

Minda Pengarang: Kenaikan tambang tuntut pengangkutan awam lebih selesa

SEBARANG kenaikan harga barang atau perkhidmatan adalah tindakan yang tidak popular dan tidak disukai orang ramai kerana ia memberi kesan kepada masyarakat. Jika sebelum ini ia menyusahkan, kenaikan harga akan membebankan mereka. Ada ketikanya, kenaikan harga tidak dapat dielakkan berasaskan kepada alasan tertentu, terutama peningkatan kos operasi, peningkatan atau persaingan harga di pasaran antarabangsa, permintaan dan penawaran serta faktor luar jangka yang lain. Kenaikan kos memerlukan pertimbangan rasional semua pihak kerana ia membabitkan dua pihak yang masing-masing mempunyai kepentingan. Jika harga tidak dinaikkan, ia akan menyulitkan sebelah pihak yang mungkin menanggung kerugian, manakala jika dinaikkan pula ia menimbulkan masalah kepada pihak lain. Keadaan ini jelas dalam perkhidmatan teksi, bas, kereta sewa dan bas sekolah. Untuk bersikap adil, sesuatu keputusan terpaksa juga dilakukan. Berikutan kenaikan harga tambang pengangkutan awam, kerajaan terpaksa mengambil keputusan meluluskan permintaan pengusaha terbabit selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi mengimbangi antara keperluan orang ramai dan kepentingan syarikat pengendali pengangkutan. Keputusan ini dibuat, walaupun menyedari kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat pengguna. Keputusan kerajaan menaikkan kadar tambang pengangkutan awam sehingga 30 peratus semalam, boleh memberi kesan negatif sekiranya ia memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk urusan harian. Ini termasuk kenaikan tambang bas sekolah, khasnya bagi mereka mempunyai ramai anak yang bersekolah. Bagi mereka yang mempunyai pilihan, kesannya tidak begitu ketara. Walaupun kenaikan itu tidak terlalu tinggi, ia tetap memberi kesan langsung kepada ramai pengguna. Jika tidak dinaikkan, kemungkinan ramai pengusaha bas sekolah terpaksa memberhentikan operasi masing-masing. Pengusaha teksi pula mendesak kerajaan menaikkan kadar tambang sejak 2005. Kabinet semalam bersetuju menaikkan kadarnya daripada RM2 kepada RM3 bagi satu kilometer pertama dan naik 20 sen bagi setiap kilometer (km). Ura-ura kenaikan tambang teksi heboh diperkatakan sejak lebih dua bulan lalu. Selain teksi, tujuh lagi pengangkutan awam atas jalan raya turut dinaikkan tambang antara 2 sen hingga RM6.33 di Semenanjung, 2 sen hingga RM31.70 (Sabah) dan 1.2 sen hingga minimum RM2 (Sarawak), berkuat kuasa 1 Ogos depan. Kenaikan ini melegakan 16,343 pengusaha bas sekolah, teksi (32,921), kereta sewa (19,128), bas berhenti-henti (9,061), bas ekspres (4,998), bas mini (3,168), teksi lapangan terbang (2,814) dan bas pengantara (195). Berdasarkan maklumat, kos operasi yang ditanggung sesetengah syarikat pengendali pengangkutan awam itu dikatakan meningkat sehingga 200 peratus. Jika desakan mereka untuk menaikkan tambang ini tidak diteliti, ia boleh menyebabkan syarikat berkenaan rugi dan akhirnya 'gulung tikar.' Jika ini yang berlaku, pengguna juga menanggung kesusahannya. Apa yang diharapkan mereka pengusaha berkenaan memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Sepatutnya kenaikan harga selaras dengan peningkatan mutu perkhidmatan dan keselamatan pengguna. Isu pemandu cuai dan tidak mementingkan keselamatan pengguna sepatutnya tidak wujud lagi, apatah lagi menipu pelanggan.

0 comments: