Manek Urai petanda awal rakyat kembali sokong BN

Manek Urai petanda awal rakyat kembali sokong BN

Oleh Zulkofli Jamaludin
rencanabh@bharian.com.my

SUASANA tenang berhampiran tempat mengundi di DUN Manek Urai tercemar apabila penyokong parti mula bertindak agresif.

Tewas hanya 65 undi gambaran pengundi semakin terpikat corak pentadbiran Najib

MANEK Urai Lama dan Manek Urai Baru adalah dua kubu kuat Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang berjaya dikuasai Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil, Selasa lalu. Namun, kemenangan di dua peti undi berkenaan gagal membantu BN yang memperoleh 5,283 undi, menawan semula Manek Urai apabila kekurangan 65 undi untuk mencipta kemenangan kali ketiga di kawasan itu daripada 13 pilihan raya sejak 1959.

Perubahan yang menyaksikan 908 pengundi memilih BN berbanding 719 Pas di Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru (490, 459), adalah berdasarkan keyakinan pengundi terhadap BN, termasuk janji membina jambatan baru menggantikan jambatan berusia lebih 40 tahun menghubungkan kedua-dua kawasan penempatan penduduk berkenaan.

Angin perubahan pengundi di dua peti undi berkenaan adalah sebahagian daripada tambahan besar 889 undi yang diperoleh BN, berbanding sebanyak 4,392 undi pada pilihan raya umum, Mac tahun lalu.

BN yang mempertaruhkan bekas Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, juga menang di peti undi Temalir, Manjor, Laloh serta undi pos, tetapi tewas di Sungai Perial, Sungai Sok, Chuchok Puteri dan Lata Rek.

Kejayaan BN menguasai hampir semua undi daripada saluran tiga dan empat menggambarkan pemilih berusia 40 tahun ke bawah, mula memberi kepercayaan kepada Kerajaan Pusat untuk membawa pembangunan ke Manek Urai, yang sebahagian besar penduduk bekerja sebagai penoreh getah, pekebun kecil kelapa sawit dan buah-buahan serta bekerja sendiri.

Pengarah Pilihan Raya Manek Urai, Datuk Mustapa Mohamed menyifatkan pencapaian mengurangkan jumlah majoriti pembangkang kepada 65 undi itu adalah sesuatu yang membanggakan, namun di hati kecilnya mungkin agak kecewa apabila rakyat menolak kesungguhan Kerajaan Pusat untuk membawa pembangunan, bukan saja fizikal tetapi minda bagi membawa penduduk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa yang kelihatan tenang menerima keputusan malam kelmarin, melihat perubahan pengundi di Manek Urai boleh menjadi pemangkin kepada BN untuk menarik lebih banyak sokongan daripada pengundi muda dalam usaha menawan semula Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Matlamat besar itu bukan mustahil, kerana Pas sendiri dilihat seolah-olah turut menerima kejutan ketika pengumuman rasmi kelmarin, apabila melihat jumlah majoritinya dikurangkan daripada 1,352 kepada 65 undi. Tiada laungan takbir yang menjadi amalan biasa daripada penyokong Pas di Dewan Petra Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra I, sebaik nama Abe Uji (Mohd Fauzi Abdullah) diumumkan sebagai pemenang.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa, menyifatkan kemenangan dengan majoriti tipis 65 undi itu sesuatu yang luar biasa, sedangkan Pengarah Pilihan Raya Pas, Abdul Fatah Haron selepas tamat masa mengundi dengan penuh keyakinan memaklumkan kepada media parti berkenaan mampu memperoleh 1,800 majoriti.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, berkata kemenangan tipis Pas sebanyak 65 undi adalah sesuatu yang memeranjatkan kerana ketika beliau membuat tinjauan awal sebelum tarikh penamaan calon, parti itu mendahului dengan majoriti lima peratus atau 615 undi.

Antara faktor kejayaan BN mengurangkan majoriti ialah kemampuan Umno menyusun strategi yang baik untuk menawan hati pengundi, khususnya pemilih muda dan mereka berusia 40 tahun ke bawah, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menunjukkan komitmen tinggi menyelesaikan setiap isu rakyat yang berbangkit sebelum ini.

Katanya, sejak sebulan lalu pakatan pembangkang pula dilihat pincang apabila berlaku tindakan parti keluar daripada pakatan pada peringkat negeri, manakala dalam Pas sendiri wujud 'perselisihan' pandangan serta pendekatan berpolitik antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa.

"Berbanding enam pilihan raya kecil lain, di Manek Urai jentera BN menunjukkan komitmen tinggi apabila semua strategi disusun daripada Bilik Gerakan Pusat, yang berjaya memusatkan kegiatan menawan hati pengundi dan mengelak berlaku 'pembunuhan' karakter dalam parti.

"Pemilihan Tuan Aziz pula disambut baik oleh kepemimpinan bahagian serta bekas calon dan ini memudahkan jentera parti menumpukan usaha mendekati pengundi," katanya sambil menambah jika semangat itu diteruskan BN mampu menawan semula hati rakyat Malaysia.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohamad Mustafa Ishak, pula berkata kemenangan BN menambah undi di peti undi Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru menuntut Umno melaksanakan sebahagian janji untuk membawa pembangunan ke kawasan pedalaman itu.

Katanya, undi yang diberikan sangat penting dan menunjukkan secara keseluruhan sokongan rakyat terhadap BN semakin pulih, tetapi ia menuntut jentera parti pada peringkat Parlimen dan DUN bekerja secara berterusan mendampingi rakyat, khususnya untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

BN perlu membalas sokongan pengundi di lima daripada sembilan peti undi yang dimenangi dengan memberi bantuan kebajikan serta projek pembangunan dan paling berharga kepada jambatan baru di Manek Urai, yang dilihat boleh mendekatkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Pusat.

Pilihan raya Selasa lalu, juga menyaksikan kempen yang bersih tanpa sebarang laporan polis selama lapan hari dicemari oleh tindakan provokasi sehingga tercetus kejadian membaling objek dan serangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Peria, menyebabkan tiga petugas BN dan seorang petugas Pas cedera.

Lebih mengecewakan gelagat petugas parti yang sanggup melemparkan kata-kata kesat serta nista sesama umat Islam sepanjang pengundian yang boleh menjatuhkan maruah agama Islam.

Justeru, proses kempen yang berjalan tenang di Manek Urai kerana hubungan baik yang terjalin antara penyokong Umno dan Pas setempat, termasuk mempunyai hubungan persaudaraan, dicemari oleh tingkah laku keterlaluan penyokong Pas dari luar yang datang menjelang hari pengundian.

Sepanjang membuat liputan bermula 5 Julai lalu, penulis mendapati penduduk Manek Urai mudah mesra dan bersikap terbuka apabila menerima petugas BN mahupun Pas yang berkempen di rumah mereka. Apa yang menjadi masalah, apabila orang luar datang, tidak mengetahui budaya, malah amat memalukan, apabila mereka berkata menyokong parti yang berjuang untuk Islam, tetapi perbuatan mereka tidak Islam, malah perbuatan itu mencemar nama baik agama Islam sendiri.

Dalam pada mereka berselawat dan berdoa, mereka mencerca, mencaci dan mengata pemimpin lawan. Gelagat itu tidak menggambarkan imej Islam yang diperjuangkan.

Apa yang berlaku di Manek Urai juga menuntut tindakan segera Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengkaji semula keberkesanan larangan semua parti politik bertanding mendirikan pondok panas pada hari mengundi bermula pilihan raya kecil ini. Walaupun tanpa pondok panas, petugas pembangkang dilihat berhimpun dalam jumlah yang ramai di hadapan pintu masuk ke pusat mengundi dan terus merayu undi. Tindakan itu bukan saja bertentangan dengan peraturan SPR yang hanya membenarkan kempen sehingga jam 12 tengah malam, tetapi menyebabkan kesesakan teruk di hadapan tempat mengundi.

SPR perlu lebih tegas menguatkuasakan peraturan dan mengambil tindakan dalam mengendali perjalanan pilihan raya supaya menghalang penyokong parti bertanding menimbulkan provokasi hingga menjejas ketenteraman awam. Selain berkempen menarik sokongan, parti bertanding perlu mengingatkan pemilih mengenai cara mengundi yang betul bagi mengelak kertas undi rosak melebihi majoriti.

0 comments: