Setiap batang jarum mempunyai nombor dan saiz tersendiri. Semakin kecil nombor tersebut bermakna semakin terperinci corak yang boleh dihasilkan.
BERIKUTAN satu polisi pelik dalam keluarganya, Lucas Chay Khoon Lum, 31, tidak pernah berpeluang melanjutkan pengajiannya selepas tamat tingkatan lima.
Sepanjang bergelar pelajar, dia seperti sudah akur dengan ketetapan masa hadapannya. Apa lagi, jika bukan bekerja di kedai perkakasan (hardware) bapanya. Bukan tidak suka, tetapi Lucas sedar bahawa dia sebenarnya mempunyai potensi besar dalam dunia fesyen.
"Sejak kecil lagi, saya dan abang-abang sudah tahu yang kami kena kerja di kedai bapa selepas tamat sekolah. Sebabnya, mak bapa takut kalau sambung belajar, kami berdepan dengan risiko tertekan dan bunuh diri seperti yang pernah menimpa seorang saudara kami. Sebab itulah, saya jadi tidak bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh.
"Bayangkan, sewaktu di tingkatan tiga dan empat, saya sudah mula membantu bapa untuk kerja-kerja perakaunan di kedai," katanya kepada Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.
|
|
Namun, pendiriannya berubah apabila dia memasuki tingkatan lima. Pada tahun akhir persekolahan, Lucas nekad untuk 'tidak main-main lagi'. Hasil daripada usaha gigihnya itu, dia memperoleh keputusan akhir tahun yang cukup memuaskan.
Sungguhpun begitu, keputusan bapanya tetap tidak berubah. Di kedai, satu-satunya kekosongan yang ada cuma sebagai pemandu lori. Ini kerana seorang abangnya telah mengambil alih tugasan perakaunan, manakala seorang lagi mengendalikan hal pemasaran.
Dalam tempoh lima tahun bekerja di kedai bapa, Lucas tidak pernah berpuas hati. Hati kecilnya berkata bahawa dia ingin mempelajari perkara baru.
|
|
"Nak sambung belajar jurusan fesyen, mak bapa tak bagi. Jadi, saya pun ambil peluang belajar bermain piano. Kebetulan pada masa itu, saya ditawarkan bekerja sambilan pada waktu malam di sebuah akademi muzik.
"Di situlah, saya berkenalan dengan seorang 'sifu' seni kait, Alice Yan," jelasnya.
Alice yang menyewa sebuah ruang kecil untuk mengajar sesiapa yang ingin belajar mengait, kemudiannya menjadi kakak angkat Lucas.
Sekian lama, Lucas mahu membuang status sebagai seorang pemandu lori dan akhirnya dia melihat seni mengait boleh menjadi satu harapan baru buatnya.
|
|
Apatah lagi, dia juga berasal dari keluarga yang mahir dalam bidang jahitan. Ibu dan kebanyakan emak saudaranya merupakan tukang jahit. Malah, minatnya terhadap jahitan sudah lama berputik sejak zaman kanak-kanak lagi.
Malangnya, permintaan Lucas agar ibunya mewariskan kemahiran itu kepadanya ditolak atas alasan tidak mahu dia menjadi lelaki lembut. Tidak berputus asa, anak ketiga daripada empat beradik ini terpanggil untuk mendapatkan benang selepas dipinjamkan sebuah buku mengait oleh seorang rakan.
"Saya pergi ke kedai benang, Macy di kompleks beli-belah Kota Raya, Kuala Lumpur. Saya beli jarum dan beberapa gulung benang yang paling besar serta termurah! Tetapi, disebabkan saya belum tahu membezakan jenis material, saya terbeli bahan yang orang gunakan untuk buat karpet!" ujarnya sambil ketawa terbahak-bahak.
|
|
Kesilapan itu, bagaimanapun hanya disedari setelah dia menyiapkan sehelai skaf hitam untuk ibunya. Ketika itu, dia baru berusia 15 tahun. Setahun kemudian, dia sudah mula mahir mengait.
Lantas tidak hairanlah jika Lucas pantas belajar saat bertemu dengan Alice.
"Biasanya untuk menyiapkan sehelai baju sejuk yang penuh dengan corak memerlukan kemahiran dan pengalaman mengait lebih sedekad. Tetapi, Lucas cuma ada tiga bulan pengalaman dan dalam ramai anak murid saya, dia paling pantas (belajar)," jelas Alice menerusi kiriman e-mel penulis. Alice kini menetap di Australia.
Setelah berjaya meninggalkan perniagaan keluarganya, Lucas bekerja sepenuh masa di akademi muzik. Setiap waktu paginya tidak disia-siakan. Dia rajin meminta tunjuk ajar daripada Alice tentang teknik dan motif mengait yang berbeza.
Daripada hanya mengait selendang, skaf dan baju sejuk, dia mengembangkan bakatnya kepada seni krusye (crochet). Seni krusye adalah kemahiran mengait dengan menggunakan sebatang jarum sahaja.
|
|
Epal, oren, pokok bunga ros, pau, kaktus dan pelbagai pencuci mulut merupakan antara benda yang boleh diterjemah ke dalam bentuk krusye.
"Jika satu skaf (bergantung pada saiznya) mengambil masa empat hingga lima hari untuk disiapkan, buah epal ini pula boleh diselesaikan dalam tempoh sejam setengah.
"Tengok sahaja pokok kaktus dan bunga ros ini. Comel tak? Memandangkan orang sekarang sangat tertekan di pejabat dan malas nak uruskan pokok bunga, jadi apa kata guna pokok krusye untuk ceriakan suasana?" katanya yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur.
Sebagai guru tuisyen yang mengajar subjek Sains dan Matematik, Lucas bijak menganalisis sesuatu menerusi gambar rajah.
"Jika awak bagi saya sekeping gambar dua dimensi (2D), saya boleh tukarnya ke dalam bentuk tiga dimensi (3D)," jelasnya sambil memberitahu, hasil kraftangannya menerima sambutan baik dalam satu bazar seni, Pipiteer Gathering di Times Square, Kuala Lumpur pada Mei lalu.
Menurut Lucas, setiap batang jarum mempunyai nombor dan saiz tersendiri. Semakin kecil nombor tersebut bermakna semakin terperinci corak yang boleh dihasilkan.
Untuk memperkaya ilmu dan corak mengait, Lucas juga menyertai kumpulan pengait lelaki dalam rangkaian sosial maya, Facebook. Hobi mengait bukan perkara asing di kebanyakan negara luar.
|
|
Malah, kebanyakan pakar sejarah percaya seni mengait dimulakan oleh kaum lelaki. Persepsi ini mungkin berpunca daripada kaedah jala ikan yang dihasilkan.
Cukup terbuka dengan tanggapan orang terhadap minatnya yang lebih cenderung ke arah hobi golongan Hawa, Lucas berhasrat mengubah persepsi itu.
"Orang selalu merasakan mengait hanya untuk perempuan. Saya rasa, tidak menjadi masalah untuk kaum lelaki turut mendalami seni krusye. Kalau mak saya tahu menyelesaikan masalah berkaitan hardware, apa salahnya saya tahu kerja-kerja orang perempuan.
"Ada juga yang menganggap aktiviti ini tidak sesuai untuk orang Malaysia kerana cuaca kita panas. Tak sesuai pakai benda yang dikait. Tetapi, sebenarnya baju yang dikait tidak memerangkap haba," tambahnya.
Dia bukan sahaja tahu mengait, malah menjahit bukan masalah besar baginya. Pernah sekali, dia menjahit semula satu set sarung kusyen kerusi di rumahnya.
Kebolehan itu menyentuh hati ibunya. Secara terang-terangan, ibunya menyesal kerana tidak memberi peluang kepadanya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen.
Lucas mengait hampir setiap masa. Sama ada menunggu makanan di restoran atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
"Mungkin ada pemandu memandang saya dengan pandangan pelik, tetapi tidak ada sesiapa pun berani menegur. Mungkin sebab badan saya yang besar," katanya sambil ketawa.
Biarpun dia menerima tawaran untuk membeli hasil kraftangannya, Lucas lebih berminat menganjurkan bengkel untuk berkongsi kemahirannya pada suatu hari nanti.
0 comments:
Post a Comment