Memacu pegangan ekuiti bumiputera

Memacu pegangan ekuiti bumiputera

SETELAH lebih tiga dekad Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dibentuk sebagai antara instrumen penyusunan semula masyarakat bagi mewujudkan keseimbangan ekonomi, hasilnya tidaklah begitu membanggakan.

FIC yang diolah di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) kurang berkesan dalam mencapai matlamat jangka panjangnya - 30 peratus pegangan ekuiti bumiputera.

Angka kemajuan hasil peraturan FIC ini tidak menjanjikan ia berpotensi untuk terus menjadi instrumen mengembangkan ekonomi bumiputera dan negara. Dalam beberapa situasi, ia juga dianggap menjadi kekangan kepada kemasukan pelaburan asing.

Dalam tempoh itu, pemilikan ekuiti bumiputera tidak banyak berubah, walaupun dalam tempoh emas 1990-2006, sewaktu ekonomi negara mengalami pertumbuhan pesat.

Ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam - saluran utama mencipta kekekayaan - masih jauh tersasar daripada objektif 30 peratus.

Begitu juga dalam kategori guna tenaga bumiputera. Bagi pekerjaan utama peratusan peningkatannya memang signifikan tetapi sebahagian besarnya dalam kategori pendidikan. Pemegang jawatan utama khususnya dalam sektor korporat masih rendah. Sedangkan, dalam ekonomi sekarang dan mendatang, ia berpaksikan guna tenaga berpendapatan tinggi.

Sebab itu, dalam perjalanan perlaksanaannya, FIC dianggap satu instrumen yang kaku. Lebih-lebih lagi dalam suasana persekitaran global yang kini lebih mencabar dan kompetetif. Ekonomi seperti Vietnam, India, China dan Asia Barat memberi saingan hebat atas kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan kondusif.

Bagi pelabur asing dan juga tempatan, garis panduan FIC dianggap rintangan kepada mereka untuk menanam modal. Kepada bumiputera, selain kegagalan mencapai pemilikan 30 peratus ekuiti, pegangan saham tidak dapat dikekalkan dan tiada kesan limpahan ke atas peluang pekerjaan, komposisi pengurusan mahupun pembangunan vendor.

Dalam tempoh sehingga 2006, FIC sebenarnya telah berjaya mengagihkan sejumlah RM54 bilion ekuiti kepada bumiputera. Bagaimanapun hanya RM2 bilion kekal. Selebihnya dijual untuk mengejar keuntungan segera. Apakah kita mahu keadaan ini berterusan?

Justeru, langkah berani kerajaan menyusun semula FIC harus disertai dengan komitmen oleh golongan bumiputera sendiri. Pengurus-pengurus atau pemilik syarikat yang berjaya di luar negara umpamanya boleh kembali ke tanah air berbakti kepada nusa dan bangsa.

Model ekonomi baru yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini menyediakan peluang itu. Ia bukan sahaja bakal mengukuhkan kedudukan bumiputera tetapi juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi ke tahap lebih tinggi.

Asasnya, pertumbuhan ekonomi yang tinggi memungkinkan pengagihan kekayaan yang lebih meluas. Fakta membuktikan syarat dan peraturan FIC yang pada awalnya memihak kepada bumiputera tidak memberi kelebihan kepada kaum itu dalam jangka panjang.

Sebaliknya, menerusi penyusunan semula FIC dengan penubuhan satu institusi pelaburan baru, Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) akan memberi peluang baru kepada bumiputera untuk mencapai sasaran pegangan ekuiti yang seimbang bersama dengan kaum lain. Kerajaan juga telah memberi komitmen dengan menyediakan modal awal dana ekuiti ini iaitu RM500 juta sebelum nantinya dikembangkan menjadi RM10 bilion.

Apa relevannya penyusunan semula FIC dan penubuhan Ekuinas ini kepada bumiputera serta pertumbuhan ekonomi negara? Kejayaan pegangan ekuiti adalah sangat bergantung kepada penguasaan secara berterusan dan seterusnya menginstitusikan hak milik.

Seterusnya penguasaan dalam syarikat (bukan setakat 30 peratus) bakal memastikan bumiputera mempunyai kawalan terhadap operasi sesebuah syarikat. Sudah terbukti peruntukan saham khas dan pemilikan ekuiti melalui syarat lama FIC tidak kekal berikutan trend penjualan semula saham yang begitu ketara.

Melalui dana itu dan pemilihan usahawan bumiputera berdasarkan meritokrasi untuk mengurus syarikat tertentu, pegangan saham boleh kekal dalam jangka masa panjang. Malah, pelabur lain juga akan bersikap lebih terbuka kerana berlaku suntikan modal dan kepakaran.

Faedah yang diperoleh kesan penguasaan ekuiti ini tentunya melangkaui bukan sekadar peluang pekerjaan dan pengembangan perniagaan tetapi juga mewujudkan usahawan tulen antara bumiputera dengan bukan bumiputera.

Dalam erti kata lain, lebih elok mengawal sepenuhnya tiga syarikat tersenarai berbanding hanya menjadi sleeping partner atau Ali Baba kepada 10 buah syarikat korporat.

Bumiputera bukan sekadar penyeri majlis-majlis syarikat korporat tetapi mesti turut menentukan hala tujunya.

Secara langsung, ia akan menjadikan kehadiran lebih bermakna bumiputera dalam ekonomi negara khususnya menjelang Malaysia dinobatkan sebagai negara maju pada 2020.

0 comments: