|
|
SEWAKTU tumpuan diberikan oleh pihak media kepada calon-calon presiden dan naib presiden yang bakal menyertai gelanggang Pilihan Raya Presiden pada Julai ini, terdapat sebuah berita sedih mengenai seorang kanakkanak perempuan berusia empat.
Kanak-kanak itu meninggal dunia dengan penuh tragis kerana tersimbah kuah bakso - sejenis makanan lazat di Indonesia - setelah kereta sorong milik ibunya diterbalikkan oleh pihak berkuasa tempatan di Surabaya.
Siti Khoiyaroh ketika itu sedang digendong oleh ibunya yang cuba menyelamatkan kereta sorong berkenaan daripada dirampas oleh pihak berkuasa terbabit.
Seorang anggota penguatkuasa dikatakan menolak kereta sorong tersebut secara tiba-tiba dan menyebabkan kuah bakso yang sedang menggelegak di atas api, tertumpah ke atas tubuh mangsa.
Seluruh tubuh Siti Khoiyaroh melecur teruk. Visual yang disiarkan oleh stesen televisyen menunjukkan seluruh tubuhnya berbalut kecuali bahagian matanya sahaja ketika dirawat di sebuah hospital di Surabaya itu.
Bagaimanapun, sepasang mata bening itu akhir terus pejam buat selama-lamanya apabila Siti Khoiyaroh meninggal dunia sehari selepas dia dimasukkan ke hospital.
Anggota penguatkuasa terbabit tampil di kaca televisyen dengan memakai topeng ski dan yang kelihatan hanyalah sepasang matanya yang penuh dengan rasa bersalah.
Apa lagi yang dapat dilakukan olehnya selain memohon maaf dan menyatakan rasa kesal dengan tindakannya itu dan pihak berkuasa tempatan Surabaya juga senada.
Perbelanjaan perubatan, pengebumian dan pampasan yang keseluruhannya bernilai kirakira RM10,000 diberikan oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan kepada keluarga mangsa namun ia tidak dapat mengembalikan Siti Khoiyaroh.
Walaupun berita itu tidak menjadi laporan utama mana-mana akhbar atau televisyen di republik yang mempunyai hampir 300 juta penduduk ini, namun bagi penulis ia amat menyedihkan dan menyentuh perasaan.
Renungan sepasang mata bening Siti Khoiyaroh memang sukar dipadam daripada memori. Berita sebeginilah yang seharusnya menjadi berita utama, tetapi dianggap sebagai satu lagi kejadian yang kurang bermakna dan dibiarkan berlalu sebegitu sahaja.
Sebaliknya berita seorang rakyat Indonesia yang bernikah dengan keluarga diraja di Malaysia terus diusung oleh media-media tempatan sebagai berita utama kerana kononnya didera secara mental dan fizikal walaupun tiada kesahihannya.
Segala bukti yang diberikan tidak langsung diendahkan bahkan media Indonesia terus melakukan serangan membabi buta, sehingga mencetus demonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Lantas isu itu dikaitkan dengan pelbagai isu lain yang tidak relevan. Ia bukan sahaja boleh menjejaskan hubungan dua hala kerajaan bahkan hubungan baik antara rakyat keduadua negara berjiran ini.
Mudah-mudahan kerajaan kedua-dua negara tidak terpengaruh dengan emosi yang cuba dibakar oleh media dan terjerumus melakukan tindakan yang boleh mengeruhkan suasana.
Dua senario itu adalah hakikat yang menunjukkan bagaimana layanan berbeza diberikan kepada dua individu dari kelas berbeza iaitu bawahan dan atasan. Ia berlaku walaupun isu hak asasi manusia dan kebebasan media menjadi perkara pokok di negara ini.
Namun media tempatan mungkin 'mabuk' dengan isu hak asasi manusia dan kebebasan bersuara sehingga lupa soal kemanusiaan.
0 comments:
Post a Comment