ASEAN perlu tegas berhubung isu Myanmar

ASEAN perlu tegas berhubung isu Myanmar

Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA


KEPUTUSAN rejim Myanmar membicarakan tokoh demokrasi, Aung San Suu Kyi atas tuduhan melanggar syarat tahanan di rumah, jelas menunjukkan junta tentera itu terus berusaha meningkatkan cengkaman kuasa.

Suu Kyi dihadapkan ke mahkamah berpunca daripada insiden seorang lelaki Amerika Syarikat, John Yettaw, berenang menyeberangi tasik untuk ke rumahnya awal bulan ini.

Bagaimanapun, kes terbaru ini mengapungkan kembali nama pemimpin prodemokrasi Myanmar itu di persada antarabangsa. Para aktivis hak asasi ke

mbali bersuara membantah layanan junta tentera tersebut.

Khin Ohmar, Setiausaha Luar Negara bagi Forum untuk Demokrasi di Burma iaitu sebuah organisasi yang memayungi kumpulan-kumpulan politik dalam buangan berkata, seluruh pergerakan demokrasi berang dengan tindakan junta itu.

"Tetapi ia bukanlah sesuatu yang tidak dijangka, kami tahu mereka akan mencari jalan supaya beliau tidak dapat bergerak secara politik. Namun langkah junta itu menaikkan kemarahan kami.

"Sentimen sekarang amat kuat dan kami cuba menyuarakan bantahan supaya pemimpin seluruh dunia bangkit bertindak dan bukannya sekadar mengulas semata-mata,'' katanya.

Perbicaraan berkaitan kes pencerobohan Yettaw itu bakal menyaksikan Suu Kyi dikenakan hukuman penjara lima tahun sekiranya didapati bersalah.

Junta kelmarin memutuskan perbicaraan itu diadakan secara tertutup walaupun sebelum ini membenarkan para diplomat dan wartawan menghadirinya.

"Media tidak akan dibenarkan membuat liputan. Bagaimanapun junta tetap membenarkan mereka mengikutinya hanya sehari sahaja," jelas seorang pegawai junta.

Rejim Myanmar itu telah meletakkan Suu Kyi dalam tahanan di rumah sejak lebih 13 tahun lalu.

Pihak prodemokrasi mahukan tindakan keras diambil oleh komuniti antarabangsa ke atas Myanmar. Mereka mahukan sekatan dikenakan ke atas Myanmar supaya junta dapat di bawa ke meja rundingan.

Namun sejauh manakah AS dan Kesatuan Eropah (EU) bakal mengadakan sekatan ke atas Myanmar? AS pernah mengharamkan import batu permata Myanmar tahun lalu. Sekatan itu memang berhasil mengempiskan keuntungan pihak junta dan kroni-kroninya.

Mungkin sekatan boleh dijadikan alat memaksa junta tentera duduk di meja rundingan membincangkan isu tersebut. Tetapi sejauh manakah junta itu akan tunduk? Kita tidak mahu sekatan itu berterusan dan membawa kemudaratan kepada ekonomi rakyat Myanmar seperti yang berlaku ke atas Iraq. Pemimpin junta tentera Myanmar tidak akan merasai penderitaan akibat sekatan itu sebaliknya ia akan dirasai oleh rakyatnya.

Sehingga rencana ini ditulis, tiada negara yang mengumumkan sekatan baru ke atas Myanmar. Sekutu rapatnya iaitu China, Rusia dan India masih bersikap "duduk, tunggu dan lihat" sepanjang kes Suu Kyi ini. AS dan EU juga hanya mengkritik tetapi tiada tindakan lanjut diambil.

Nampaknya ASEAN tidak lagi boleh berlembut dan menutup mata. Ia harus mengambil pendirian terhadap Myanmar.

Kehadiran Myanmar dengan tindak-tanduknya itu bertentangan dengan aspirasi ASEAN dan menjejaskan imej blok serantau ini.

Lagipun blok ini telah meluluskan Piagam ASEAN yang mendokong demokrasi dan hak asasi manusia sebagai slogan utama. Jadi Myanmar tidak boleh dibiarkan bertindak sesuka hati dan melanggar piagam berkenaan.

Sekiranya ASEAN gagal melakukan sesuatu yang konkrit terhadap Myanmar, ia akan dilihat sebagai pertubuhan serantau yang gagal dan kredibilitinya akan terjejas.

Mungkin kedudukan Myanmar dalam ASEAN perlu dipertimbangkan semula bagi memberi pengajaran kepada junta tentera dan sekali gus menyelamatkan imej ASEAN.

Bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang juga bekas Wakil Khas PBB ke Myanmar, Tan Sri Razali Ismail pula menegaskan bahawa beliau terkejut Malaysia dan negara ASEAN lain masih belum membuat pendirian berhubung isu terbaru Suu Kyi tersebut.

"Saya faham mengapa kita tidak menyatakan sesuatu, kerana kita menganuti prinsip tidak campur tangan dalam urusan jiran. Tetapi apa yang berlaku terhadapnya mendatangkan kesan, khususnya tentang isu apakah kewajipan jiran terhadap situasi sedemikian.

"Rakyat kita juga ingin bertanya pendirian kita untuk apa? Jika tidak ada yang diperkatakan ia boleh ditakrif oleh tentera itu bahawa tidak ada kekangan serius, maka mereka boleh lakukan apa yang mereka suka terhadapnya, ini amat malang," kata Razali.

Sejak 12 tahun lalu, ASEAN mengamalkan pendekatan berlembut terhadap Myanmar bagi mendesak junta tentera membawa perubahan terutama berhubung amalan demokrasi namun tiada perubahan berlaku.

PENULIS ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM)

0 comments: