|
|
PEMIMPIN Hindraf sudah keterlaluan. Pembebasan mereka dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti tidak memberi sebarang makna malah mereka semakin berani membidas kerajaan.
Niat baik kerajaan membebaskan mereka selepas rayuan oleh keluarga masing-masing tidak dihargai. Kita yakin kerajaan tidak mengharapkan ucapan "terima kasih" tetapi mahu Hindraf sedar. Tetapi, harapan itu ternyata meleset.
Ahli falsafah China, Confusious berkata, sebuah tamadun memerlukan 100 tahun untuk dibina. Usia negara kita baru separuh abad. Oleh itu semua pihak bertanggungjawab untuk membentuk dan memelihara tamadun negara ini. Ia memerlukan kesabaran dan kerjasama.
Perpaduan kaum dan suasana harmoni harus menjadi keutamaan rakyat Malaysia. Perpaduan perlu dibina dalam tempoh yang lama tetapi ia boleh dihancurkan dalam tempoh sehari.
Memang sukar untuk memberi kepuasan kepada semua pihak. Kekuatan negara bertunjangkan kepada perpaduan rakyat dan sebarang usaha menggugatnya mesti ditentang habis-habisan. Kita tidak mampu nikmati bahagia jika ketenteraman tergugat.
Sehubungan itu, sebagai rakyat keturunan India, saya sangat berharap agar para pemimpin Hindraf untuk bersikap lebih matang. Berdamailah demi anak bangsa kita. Hindraf tidak sepatutnya membenarkan sesiapapun memperalatkan mereka demi kepentingan pihak tertentu.
Hindraf perlu sedar mereka telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan ke atas situasi kecelaruan di kalangan masyarakat India untuk kepentingan mereka, ibarat "menangguk di air keruh".
Pihak berkenaan sudah ketandusan idea dan untuk menghangatkan suasana mereka meniupkan 'semangat' di kalangan keturunan India untuk memberontak. Golongan itu memanipulasi situasi semasa.
Pemimpin Hindraf yang menganggap diri mereka golongan intelek perlu sedar bahawa perjuangan mereka jauh menyimpang daripada tujuan asal sebagai kumpulan pendesak untuk membawa perubahan kepada masyarakat India.
Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar bajet kepada sekolah-sekolah Tamil dan pelbagai peruntukan lain untuk pembangunan masyarakat India. Tetapi malangnya Hindraf tidak berterima kasih.
Hindraf sepatutnya memberi fokus kepada usaha membangunkan golongan belia dan bukannya menyesatkan mereka dengan mengheret ke jalanan untuk mengadakan demonstrasi.
Namun Hindraf perlu sedar bahawa mereka bukannya membawa suara majoriti kaum India. Masih ramai yang menaruh harapan kepada kerajaan untuk membela nasib mereka. Golongan belia yang menyokong Hindraf secara membabi buta dahulu ditinggalkan begitu sahaja tanpa pembelaan oleh pergerakan haram tersebut.
Sejarah penubuhan Hindraf adalah baik tetapi kini ia telah menyimpang. Hindraf atau Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu ditubuhkan untuk membela dan mempertahankan hak masyarakat keturunan India di Malaysia. Ia menggabungkan 30 buah persatuan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Antara matlamat asal ialah mencadangkan kepada kerajaan mengenai pelan pemulihan nasib masyarakat India. Namun ia kini seperti hilang arah tuju. Segelintir pemimpinnya sudah menjadi ahli politik di bawah naungan parti pembangkang.
Siapakah mereka ini sebelum ditahan polis? Berapa ramai masyarakat India mengenali mereka? Mereka jadi terkenal secara tiba-tiba dan kini berlagak seolah-olah 'wira' masyarakat India.
Saya juga tidak kenal pertubuhan ini sehinggalah beberapa pemimpinnya ditahan oleh polis kerana menganjurkan demonstrasi jalanan pada 2007.
Bertitik tolak daripada itu, saya mula meneliti tuntutan serta perkembangan Hindraf. Semasa membaca 18 tuntutan mereka, saya mula resah dan takut. Bimbang pertubuhan itu menimbulkan konflik perkauman di negara ini. Memang benar, mereka akhirnya terlibat dalam demonstrasi jalanan yang bukan merupakan budaya rakyat Malaysia.
Jika demonstrasi 25 November 2007 berterusan, akan selamatkah Malaysia?
Peristiwa itu menyebabkan pelbagai isu timbul. Paling teruk, kerajaan dan polis dituduh tidak berperikemanusiaan kerana menahan mereka yang mengadakan demonstrasi. Pelbagai cerita ditiup dan akhirnya perjuangan Hindraf mendapat sokongan parti pembangkang.
Isunya selepas itu bukan lagi 18 tuntutan Hindraf tetapi gambaran baru mengenai "layanan buruk kerajaan terhadap golongan minoriti" di negara ini.
Bagi majoriti masyarakat keturunan India, tuntutan-tuntutan oleh Hindraf itu bukannya sesuatu yang baru. Sebelum ini, ia juga diperjuangkan oleh parti-parti politik India yang lain.
Dan tidak boleh dinafikan bahawa masyarakat India turut mendapat pembelaan kerajaan. Banyak perubahan telah dibuat dan bakal menyusul. Tetapi perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Setiap kaum masih memerlukan bantuan kerajaan.
Di negara ini, tidak ada mana-mana kaum pun yang mendapat segala-galanya dan tidak ada juga kaum yang hak mereka dinafikan bulat-bulat.
Oleh itu, saya dan majoriti masyarakat India yang cintakan keamanan, ingin meminta para penyokong Hindraf untuk kembali ke pangkal jalan.
Ini tidak bererti kita akan secara membuta tuli menyokong tindakan kerajaan. Wujudkan mekanisme check and balance dalam kerajaan.
Seluruh rakyat Malaysia berketurunan India harus bersatu semula di bawah sebuah parti dan tampil dengan kekuatan untuk mengubah nasib bangsa Malaysia.
Alasan pemimpin-pemimpin MIC tidak betul adalah ibarat "marahkan nyamuk, kelambu dibakar". Marilah sama-sama menguatkan perpaduan di kalangan masyarakat India untuk terus berjuang demi membangunkan bangsa dan negara tercinta.
Ini kerana, ketika masyarakat Melayu memperkatakan perpecahan di kalangan mereka, penduduk keturunan India turut berpecah belah sebenarnya. Padahal sebagai golongan minoriti, kita wajar bersatu untuk membolehkan suara kita didengari.
Kegagalan parti-parti tertentu untuk membawa perubahan taraf hidup sosial dan ekonomi di kalangan masyarakat India dalam tempoh 50 tahun ini telah mencetuskan kemarahan.
Kita yakin keadaan ini pasti berubah jika kerajaan berusaha untuk memahami dan menyelesaikan masalah masyarakat India yang masih berkisar kepada kemudahankemudahan asas.
Sehubungan itu saya amat berharap kerajaan turut menubuhkan Unit Pengajian India di mana-mana universiti seperti Universiti Malaya untuk mengkaji pola pemikiran masyarakat India. Hasil kajian boleh digunakan sebagai panduan untuk menjalin hubungan lebih bermanfaat kepada semua pihak.
Sementara itu, masyarakat India juga perlu yakin semula bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional mampu menjamin masa depan kita. Marilah kita hidup sebagai sebuah bangsa Malaysia. Secara aman dan harmoni. Ketepikan semua perbezaan yang boleh memudaratkan negara dan perpaduan.
PENULIS ialah aktivis masyarakat
0 comments:
Post a Comment