MBM patut bantu masalah anak muda

MBM patut bantu masalah anak muda

Oleh EZARUDDIN ABD. RAHMAN


SEKALI lagi Dataran Merdeka terus mendapat perhatian. Perhatian pada kali ini bukan kerana acara kebudayaan, majlis rasmi kerajaan tetapi sebaliknya operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas di Dataran Merdeka. Lebih 500 mat rempit diperiksa. Ini adalah satu fenomena yang biasa dilihat di hujung minggu.

Pelbagai kempen telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk mengatasi kegiatan lumba haram tetapi ia terus membiak dalam masyarakat muda mudi. Kemelut isu lumba haram terus berpanjangan dan seolah-olah isu ini tiada jalan penyelesaiannya. Kegiatan lumba haram adalah bukti pergerakan belia di negara ini masih lemah dan lesu.

Peranan Majlis Belia Malaysia (MBM) seperti hilang pedoman dan tiada apa yang ingin dibanggakan kepada mencetuskan minda yang positif di kalangan belia. Program belia dirancang untuk ahli-ahlinya semata-mata dan golongan belia yang lain tidak dijemput kerana program mereka langsung tidak menarik minat para belia.

Banyak program belia yang dianjurkan seperti 'syok sendiri' yang hanya mendidik golongan yang telah sedar tetapi golongan yang kurang sedar tidak dijemput.

Kegiatan rempit telah mencetuskan kegelisahan di negara ini kerana ia dikaitkan dengan jenayah dan pergaulan bebas. Dalam kegiatan belia di negara ini, MBM dilihat tidak lagi mewakili belia dan hanya mencari aktiviti berbaur politik demi menjaga periuk nasi masing-masing.

Pemimpin belia tidak pandai berjiwa belia sebaliknya apabila mereka telah mempunyai jawatan sudah mula mewujudkan perbezaan kerana menjaga imej.

Operasi memberkas mat rempit di Dataran Merdeka bukan hanya membuktikan belia hilang pedoman tetapi membuka pekung di dada program anjuran MBM tidak lagi relevan. MBM bukan lagi simbol kemegahan kepada suara belia sebaliknya telah menjadi medan untuk menonjolkan pemimpin belia semata-mata.

Pemimpin belia tidak boleh hanya sembang di kedai Starbuck sebaliknya bercampur gaul di mana-mana sahaja tempat golongan belia berkumpul. Pendorong utama yang menjadi nafas kepada memperkasakan golongan belia adalah dengan cara sentiasa berjumpa dengan golongan belia.

Ia bukan dengan cara menganjurkan program-program seperti konvensyen di hotel mewah dan menjemput cendekiawan tersohor.

Kadangkala cendekiawan bukan memahami masalah belia sebaliknya berdasarkan kajian dan pengumpulan data dan tidak mencerminkan masalah sebenar.

Pihak MBM perlu bekerjasama dengan pihak PDRM untuk turun padang bersama mendidik golongan muda. Sikap malas turun padang dan melepaskan usaha membanteras masalah sosial kepada pihak berkuasa tidak akan membantu golongan belia.

MBM sepatutnya membuka kaunter dan mengambil biodata golongan rempit untuk menjalankan aktiviti pada masa akan datang.

Masalah belia bukan soal sambil lewa dan remeh sebaliknya merupakan masalah rakyat kerana mereka adalah generasi untuk masa depan. Siapakah akan merubah nasib golongan belia sekiranya MBM tidak mampu menjadi pertubuhan yang prihatin terhadap belia?

0 comments: