Minda Pengarang: Penangguhan kata putus PPSMI untuk kebaikan bersama

Minda Pengarang: Penangguhan kata putus PPSMI untuk kebaikan bersama


KABINET yang kurang berpuas hati dengan hasil laporan Persidangan Meja Bulat Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sekali gus menolak cadangan yang dikemukakan Kementerian Pelajaran baru-baru ini seperti diumumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, tentu mengundang persoalan baru berkaitan masa depan dasar berkenaan. Isu PPSMI mendapat perhatian banyak pihak, bukan saja ibu bapa dan ahli akademik, malah pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sama ada mereka yang menyokong atau membantah pelaksanaan dasar itu. Mereka menunggu dengan penuh minat kerana ingin mengetahui apakah langkah bakal diputuskan Kementerian Pelajaran selepas Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengambil alih portfolio itu, yang sebelum ini diterajui Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Harapan mereka untuk melihat satu keputusan muktamad mengenainya dibuat dalam waktu terdekat masih belum menjadi kenyataan. Kita bersetuju dengan pandangan Muhyiddin yang tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan berhubung pelaksanaan dasar itu kerana apa juga keputusan yang dibuat harus mengambil kira semua sudut kerana ia bakal menentukan masa depan pelajar serta modal insan yang akan dilahirkan. Bagaimanapun, keputusan Muhyiddin yang membawa kepada penangguhan dasar PPSMI, kita harap tidak akan membuka ruang kepada pihak tertentu meneruskan polemik mengenainya sehingga mencetuskan satu lagi episod hitam dalam pendidikan dengan mengheret isu itu ke demonstrasi jalanan. Ada yang melihat pengumuman Muhyiddin agak bertentangan dengan janji serta jaminan Hishammuddin sebelum ini, bahawa sebarang keputusan mengenainya bergantung kepada input yang diperoleh daripada persidangan meja bulat membabitkan wakil pelbagai pihak, termasuk ahli akademik tempatan, yang pernah menjalankan kajian mengenai kesan pelaksanaan dasar PPSMI.

Pengumuman Muhyiddin itu juga sekali gus menolak hasil persidangan meja bulat lima sesi yang menggariskan tujuh cadangan untuk dipertimbangkan Kementerian Pelajaran serta kelulusan Kabinet sebelum ini. Mungkin ada pihak yang kecewa dengan keputusan Kabinet itu kerana banyak masa dihabiskan dengan mengadakan perbincangan demi perbincangan, termasuk kajian yang dijalankan ahli akademik. Bagaimanapun, kita berharap mereka yang terbabit, sama ada dalam menjalankan kajian, perbincangan mahu pun persidangan meja bulat supaya menerimanya dengan hati terbuka. Kita yakin keputusan Kabinet tidak bermakna cadangan yang dicapai sebelum ini tidak bernas atau relevan, tetapi seperti yang dikatakan Muhyiddin ia tidak memberi gambaran menyeluruh prestasi sebenar pelajar untuk dijadikan penanda aras tepat menentukan dasar PPSMI, sama ada boleh diteruskan, dihentikan atau diubah suai. Sebab itulah Kabinet mengarahkan Kementerian Pelajaran menjalankan satu kajian semula yang lebih menyeluruh bagi menyokong segala saranan yang dicapai dalam persidangan meja bulat sebelum ini. Kita harus memberi sedikit waktu kepada Muhyiddin kerana beliau baru mengambil alih kementerian berkenaan agar satu keputusan tepat dapat dibuat. Biarlah dasar yang bakal dilaksanakan itu tidak menjejaskan masa depan mana-mana golongan pelajar, lebih-lebih lagi di pedalaman dan luar bandar, sebaliknya ia benar-benar mampu melahirkan modal insan berkualiti yang bertaraf dunia seperti dihasratkan kerajaan.

0 comments: