Pendekatan agama tangani mat rempit

Pendekatan agama tangani mat rempit

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
pengarang@utusan.com.my


MEMBACA tentang gejala mat rempit yang semakin berleluasa di negara kita bukanlah sesuatu untuk dibanggakan.

Adalah 'rahsia terbuka' bahawa majoriti remaja yang terlibat dalam kegiatan ini adalah Melayu dan beragama Islam. Inilah yang mencemaskan kita.

Rasulullah SAW bersabda yang antara lain bermaksud, Apabila melihat kemungkaran, hendaklah kamu tegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu tegah dengan lidahnya dan jika tidak mampu hendaklah membenci dengan hati dan itulah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)

Oleh itu, adalah tanggungjawab umat Islam untuk sama-sama mencari penyelesaian isu ini yang jika dibiarkan ibarat barah yang semakin serius.

Golongan mat rempit dilaporkan turut terbabit dalam jenayah seperti pergaduhan, rompak, ragut dan rogol. Malah, bagi yang lebih ekstrem sanggup membunuh.

Persoalannya, sampai bila masalah ini akan berlarutan. Undang-undang sudah ada, cuma barangkali ia belum cukup menggerunkan mat-mat rempit. Justeru pendekatan keagamaan boleh diguna pakai sebagai jalan keluar masalah ini.

Tugas utama tentunya terletak kepada ibu bapa. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak yang lahir adalah dalam fitrah. Dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (muttafaqun alaih).

Para pendakwah perlu turun padang untuk sama-sama menyinsing lengan membantu menangani gejala ini.

Ketika ini, nasihat atau kuliah agama di masjid dan surau tidak lagi berkesan. Sebabnya, majoriti mat rempit ini bukan 'melepak' di kawasan tersebut.

Sebaliknya, lokasi atau port mereka adalah di kawasan seperti Dataran Merdeka di Kuala Lumpur atau Dataran Espanade di Kuantan, Pahang. Memanglah kematian itu pasti akan berlaku kepada manusia. Tetapi melibatkan diri dalam kegiatan merempit, ibarat menjemput kematian dalam keadaan yang mengerikan.

Kalau terus mati akibat kemalangan tidak mengapa. Ini tidak. Ada mangsa yang terus merana akibat kecacatan kekal seperti kudung kaki atau tangan akibat kemalangan jalan raya.

Justeru, para pendakwah termasuk pertubuhan bukan kerajaan harus berganding bahu menyusun strategi agar mampu menembusi kelompok terbabit.

Golongan ahli politik tanpa mengira ideologi yang sayangkan bangsa dan agama juga perlu turut serta dalam usaha ini. Bukan hanya pandai 'berkokok' di atas pentas retorik.

Pada masa yang sama, usaha seperti menyediakan litar lumba bagi 'menghalalkan' kegiatan remaja ini perlu diusahakan. Mana tahu, ada di kalangan mereka yang mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa persis pelumba profesional Itali, Valentino Rossi.

Masjid-masjid juga perlu 'meraikan' golongan remaja begini. Para imam dan pegawai masjid mesti mempunyai kaedah hikmah dan psikologi.

Gunakan 'jarum suntikan' secara halus untuk menarik mereka kembali ke pangkal jalan.

Jika perlu adakan siri bimbingan fardu ain khas kepada golongan ini terutama tentang kepentingan solat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, waktu lapangmu sebelum waktu sibukmu, mudamu sebelum tuamu dan kekayaanmu sebelum kemiskinanmu". (Riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi).

PENULIS ialah Pengarang Agama Utusan Malaysia.

0 comments: