Kukuhkan ikatan setia anggota sektor awam demi rakyat
BERI perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Itu amanat pertama Datuk Seri Najib Tun Razak kepada penjawat awam selepas dilantik menjadi Perdana Menteri.
Dan semalam mereka diingatkan lagi perihal tanggungjawab itu. Menurut Perdana Menteri, rakyat yang akan menjadi jurunilai prestasi penjawat awam.
Jika rakyat berpuas hati dengan kerajaan maka rakyat akan bersama-sama kerajaan. Jika sebaliknya, maka tidak mustahil penentangan secara terbuka termasuk melemahkan kerajaan sedia ada akan berlaku.
Riak-riak seperti itu telah pun wujud sebelum ini. Jika tidak ditangani segera dengan menggunakan pendekatan yang berkesan maka tidak mustahil keputusan akhirnya kelak ialah rakyat akan menjauhi kerajaan.
Sentimen rakyat membenci kerajaan itulah yang sedang dibendung supaya tidak menular. Riak-riak kecil mesti dikawal supaya tidak bertukar menjadi gelombang ganas.
Semestinya tugas tersebut terletak di bahu penjawat awam yang tugas seharian mereka adalah berurusan dengan rakyat.
Untuk membolehkan urusan 'luar' berjalan lancar maka perkara-perkara dalaman mesti diselesaikan terlebih dahulu.
Dalam hal ini, seperti yang diingatkan Perdana Menteri perlu ada persefahaman erat antara anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam. Perlu ada ikatan setia antara kedua-dua pihak supaya segala urusan di peringkat dalam dapat diselesaikan.
Dengan cara itu segala dasar yang disampaikan oleh barisan pemimpin kepada anggota pentadbiran seperti ketua-ketua jabatan dapat dipanjangkan kepada penjawat awam.
Dalam erti kata lain, gerak kerja yang dirancang untuk keberkesanan sektor awam dapat berjalan lancar dengan adanya aliran kerja yang diikat menerusi janji setia.
Paling penting adalah komitmen anggota pentadbiran menjaga kepentingan serta kebajikan penjawat awam.
Untuk itu sindrom mementingkan diri sendiri dan 'akulah bos' mesti dijauhi supaya kalangan penjawat awam ada rasa ingin setia kepada ketua jabatan masing-masing.
Jika anggota pentadbiran lepas laku dan tinggi lagaknya, maka timbul perasaan benci penjawat awam apatah lagi jika kebajikan mereka tidak dijaga.
Senario itu pasti memberi kesan kepada sistem penyampaian awam sekali gus menjejaskan kepentingan rakyat. Penjawat awam yang tidak dijaga kebajikannya akan memberontak dan melepaskan rasa marah kepada orang ramai.
Mereka juga akan mengabaikan tugas dengan membuat kerja-kerja sampingan untuk menambah pendapatan sehingga akhirnya piagam perkhidmatan terbiar begitu sahaja.
Maka apabila keadaan itu berlaku akan tercetuslah rasa tidak puas hati rakyat terhadap mutu perkhidmatan awam. Akan terdengar keluh kesah tentang layanan kurang memuaskan termasuk di kaunter-kaunter orang ramai.
Apabila rakyat yang menjadi penilai mutu kerja perkhidmatan awam tidak dilayan sedemikian rupa, sudah tentu markah yang diberi di bawah paras lulus.
Apabila keadaan itu berlaku mutu perkhidmatan awam akan kekal di takuk lama. Justeru peringatan Perdana Menteri supaya antara anggota pentadbiran dan penjawat awam perlu ada ikatan janji setia mesti dilaksanakan secara serius untuk mengangkat sektor awam ke tahap yang terbaik.
0 comments:
Post a Comment