JOHOR BAHRU 10 Nov. – Terlalu awal untuk membuat andaian bahawa syarikat-syarikat swasta enggan melabur di ketiga-tiga wilayah ekonomi yang diwujudkan di negara ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, ini kerana pelancaran Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) masih baru lagi.
“Pelancaran semua koridor ini masih baru lagi dan banyak perkara mungkin belum lengkap, malah, kebanyakan pelabur tempatan mengambil sikap melihat siapa yang perlu mengambil langkah pertama sebelum turut serta dalam pelaksanaannya.
“Oleh itu, adalah tidak adil membuat andaian bahawa syarikat swasta tidak berminat untuk melabur di wilayah-wilayah ekonomi itu,” katanya.
Mohamed Khaled diminta mengulas pendedahan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa ada segelintir syarikat swasta enggan melabur di koridor pembangunan ekonomi itu.
Khairy mendedahkan perkara itu ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, Mohamed Khaled merasmikan Kempen Kesedaran Alam Sekitar Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar peringkat Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri Permas di Taman Air Biru, dekat sini, hari ini.
0 comments:
Post a Comment