'Endurance pacu pelancongan'

Oleh Shaarani Ismail


MENCEMAR DULI: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (tengah) dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah (kanan), bersama Idris menghadiri majlis perasmian Kejohanan Sultan's Cup Terengganu Endurance Challenge 2007

PERMAISURI: Penganjuran Kejohanan Endurance Piala Sultan Terengganu yang masuk kali kedua diharap mampu memacu industri pelancongan negeri dengan lebih berkesan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, acara itu menjadi antara acara penutup kalendar pelancongan negeri yang akan berakhir dengan penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyong akhir bulan ini.

"Penganjuran acara ini adalah satu daripada acara sukan antarabangsa yang mampu memperkenalkan Terengganu sebagai satu daripada lokasi penganjuran sukan yang cukup dikenali," katanya pada Majlis Perasmian Endurance Piala Sultan Terengganu, di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), dekat sini malam kelmarin.


Majlis disempurnakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Idris berkata, dengan penganjuran endurance yang kini menjadi sinonim dengan Terengganu yang dipopularkan Tuanku Mizan, sukan itu kini sudah menjadi semakin popular dan menjadi ingatan cukup kuat daripada rakyat terhadap Tuanku Mizan.

Seramai 41 penunggang dari 14 negara menyertai kejohanan kali ini yang turut menjadi acara pemanas badan sebelum berlangsungnya Kejohanan Endurance Dunia FEI yang akan berlangsung di lokasi sama tahun depan.


Antara negara yang menyertai kejohanan kali ini adalah Argentina, Brazil, Amerika Syarikat, Jepun, Sepanyol, Itali, Belgium, Portugal, Qatar, Emeriah Arab Bersatu, Afrika Selatan, Australia dan peserta negara.

Kejohanan kali ini juga turut disertai jaguh endurance dunia yang memegang ranking pertama dan kedua dunia iaitu Jack Begaud dari Perancis dan Maria Mercedes Alvarez Ponton dari Sepanyol.

0 comments: